Pages

Sunday 31 May 2015

Ilmu Pengurusan Bisnes Siri 2

Pertama: Skill Menjadi Pendiri Syarikat

Jangan lakukan 3 perkara di bawah ini. Ketiga-tiganya bukan berlandaskan analisis data-data dari bisnes kita.

Ketiga-tiganya datang dari ego kita:

+ Jangan jadikan diri kita orang yang paling genius dalam syarikat. Hanya idea-idea kita sahaja yang digunapakai dalam syarikat kita.

+ Jangan jadikan diri kita orang yang paling tahu semua perkara tentang bisnes kita. Kita sahaja yang memberikan penyelesaian kepada semua masalah dalam syarikat kita. Kita sahaja yang tahu apa yang bagus untuk syarikat kita.

+ Jangan jadikan diri kita orang yang paling berkuasa dalam syarikat. Kita sahaja yang boleh memberi kata putus.

 
Kedua: Membuat keputusan menggunakan memori....

Peniaga yang menguruskan bisnesnya dengan menggunakan gaya towkay tidak percaya kepada peri pentingnya peranan data.

Towkay juga tidak mementingkan sistem yang dituliskan dalam bentuk SOP-SOP.

Semua sistem dan SOP disimpan dalam peti memorinya seorang. Dia membuat semua keputusan dengan menggunakan memorinya sahaja.

Tanpa sistem dan SOP, semua staff perlu bertanya kepada sang towkay dahulu sebelum membuat keputusan yang remeh-temeh sekalipun.

 
Ketiga: Surat gaji CEO, COO, CFO....

Bagaimana cara kita tentukan jumlah gaji yang layak diterima oleh CEO, COO, CFO dan staff-staff syarikat yang lain? Adakah Chairman syarikat menerima gaji? Ataupun sekadar elaun sahaja? Jawapan: Ditentukan oleh Ahli Lembaga Pengarah

Keempat: Bersedia Dipantau

Apabila kita tidak mahu meminjam duit bank, kita boleh memulakan ataupun mengembangkan bisnes dengan menggunakan duit pelabur.

Apabila kita mengambil duit pelabur profesional, kita terpaksa menghantar 2 laporan kepada pelabur kita:

1. Laporan bulanan kemajuan bisnes.
Menyediakan laporan ini sangat leceh. Ia memerlukan sistem simpanan rekod bisnes yang teliti.

2. Laporan bulanan kedudukan kewangan syarikat.
Laporan ini disediakan dengan mematuhi format laporan kewangan profesional. Ini bermakna semua dokumen kewangan mesti lengkap.

Kita juga mesti sanggup ditanya oleh pelabur berkenaan maklumat yang terdapat dalam 2 laporan itu.

Laporan adalah alat yang digunakan oleh pelabur profesional bagi memantau bagaimana kita membelanjakan duit mereka.

+ Pelabur profesional bukan mahukan profit dan dividen.

+ Pelabur mahu tengok duit mereka dibelanjakan dengan cara-cara yang betul.

Disebabkan pelabur mahukan laporan bulanan yang tepat, faktor ini sangat membantu bisnes kita sentiasa berada di atas landasan yang betul

 
Kelima: Harga sebuah kebebasan dalam menjalankan perniagaan....

Banyak orang muda tidak suka dipantau. Mereka mahu bebas menjalankan bisnes mereka.

Kelebihan meminjam duit bank:

+ Apabila kita meminjam duit bank, bank tidak akan pantau bisnes kita. Kita bebas. Kita tidak perlu menjawab kepada sesiapa.

+ Bank tidak kisah apa kita buat dengan duit pinjaman itu. Kita boleh berbelanja ikut suka hati kita. Tiada siapa persoal kita.

+ Bank tidak peduli apakah kita survive ataupun kita lingkup. Kita tidak perlu memberi sebarang penjelasan kepada sesiapa.

Tiap-tiap bulan bank mahu kita bayar ansuran hutangnya. Yang lain, bank tidak mahu tahu.

Kalau lambat sehari, bank naikkan faedah pinjamannya. Lama-lama jumlah faedah boleh menjadi lebih besar daripada hutang pokok!

 
Keenam: Jangan sekali-kali ambil LOAN. Jangan!

Di manakah bahayanya duit LOAN?
+ Duit loan adalah duit cash yang diberikan kepada peminjam. Duit itu selepuk diserahkan kepada orang yang tidak ada duit! Di sinilah bahayanya.

+ Orang muda belum biasa tengok duit banyak. Apatah lagi memegang duit banyak. Mudah jadi gelap mata dibuatnya!

+ Kepada orang yang tidak ada duit, apabila dia tiba-tiba dapat duit banyak, dia boleh menjadi kurang siuman!

+ Jangankan orang muda, orang tua pun boleh hilang siuman apabila dapat duit banyak!

Hutang pokok RM20k. Selepas bisnes bungkus, kita tidak mampu men-servis hutang.

Faedah yang tertunggak sudah menjadi pokok. Sehingga jumlah faedahnya menjadi RM32k.

Jumlah hutang tertunggak RM52k.

Dengan statistik menunjukkan 93% bisnes bungkus dalam tempoh 3 tahun selepas beroperasi, risiko kita terjerumus adalah sangat tinggi.

 
Ketujuh:Jangan sailang kawan-bisnes sendiri....

Ambil contoh yang banyak berlaku dalam bisnes training, dalam kalangan trainers yang masih baru dalam pasaran.

Ramlee sudah 20 tahun dalam sektor training. Syarikatnya, DOREMI Consulting PLT menjadi training provider kepada banyak kementerian, jabatan kerajaan, GLC dan korporat swasta.

Hj. Bakhil mempunyai syarikat yang memerlukan staffnya supaya belajar membangunkan mobile app untuk bisesnya.

Dia melantik DOREMI Consulting PLT sebagai kontraktor bagi melatih stafnya dengan yuran servis RM20k.

DOREMI Consulting melantik pula jutera Ajis sebagai trainer dan sub-kontraktor untuk job itu. Yuran Ajis adalah RM5k.

Semasa menjalankan latihan, Ajis sempat berkenalan dengan Training Manager Hj. Bakhil. Dia menawarkan, untuk kumpulan lain, dia sanggup menjalankan training dengan yuran RM10k sahaja. Tidak perlu melalui DOREMI Consulting.

Ajis tidak tahu bahawa Training Manager Hj. Bakhil itu dan Ramlee sudah lama berkenalan.

Ramlee dapat tahu dari Training Manager itu akan percubaan Ajis men-sailang bisnesnya.

Itulah kali terakhir Ajis dapat job dari DOREMI Consulting.

Padahal DOREMI Consulting sudah lama dalam pasaran. Senarai kliennya sudah banyak. Kalau dia tidak buat sailang, memang banyak job sudah menunggu untuknya

Kelapan: Usia bisnes enterprise.

Apakah tuan menjalankan bisnes menggunakan apa yang selalu disebut sebagai 'syarikat enterprise'?

Dari sudut undang-undang, apa yang disebut 'syarikat enterprise' itu sebenarnya BUKAN syarikat. Ia adalah suatu perniagaan yang didaftarkan.

Apakah implikasi berniaga menggunakan sijil pendaftaran 'enterprise'?

+ Disebabkan 'enterprise' itu BUKAN syarikat, usia pendaftarannya adalah sama panjang dengan usia pemilik pendaftaran itu.

+ Apabila si pemilik perniagaan itu meninggal dunia, tamatlah usia 'enterprise' itu. Sijil enterprise itu tidak boleh digunakan lagi.

+ Apabila pemilik enterprise meninggal dunia, bank akan bekukan akaun banknya.

 Ini yang paling merugikan dan menyusahkan keluarga yang ditinggalkan.

Berpuluh-puluh ribu ringgit duit dalam akaun tak dapat dikeluarkan.

+ Duit dalam akaun itu akan diserahkan kepada Amanah Raya!
+ Sijil 'enterprise' itu tidak boleh diwarisi.
+ Bisnes yang dijalankan menggunakan sijil 'enterprise' itu tidak boleh diwasiatkan. Kalau diwasiatkan juga, wasiat itu dapat dicabar di mahkamah

 
Kesembilan: Dua jenis syarikat ini berbeza:

+ Syarikat keluarga. Disebut juga sebagai family-business.
Syarikat jenis ini dimiliki 100% oleh sesuatu keluarga. Pengurusan harian syarikat juga dijalankan oleh anggota keluarga itu.

 
Malah jawatan-jawatan penting dalam syarikat dipegang oleh anggota keluarga itu.
Syarikat jenis ini amat sukar bertahan lama dalam pasaran. Pergaduhan dalam keluarga adalah musuh utama survival syarikat jenis ini.

 
+ Syarikat milik keluarga. Disebut juga sebagai family-owned-company.
Dalam syarikat jenis ini, majoriti saham dimiliki oleh anggota sesuatu keluarga. Tetapi keluarga itu tidak menguasai pengurusan syarikat.

Mereka melantik barisan pengurus profesional.

Syarikat jenis ini berpeluang dapat survive lama dalam pasaran. Malah ia dapat bekembang sehingga menjadi korporat gergasi.

Kesepuluh: Marketing

Marketing bukan hanya dilakukan oleh syarikat besar. Semua syarikat perlu melakukan kerja-kerja marketing.

Syarikat yang sudah wujud lama memang mampu menyisihkan duit khusus untuk aktiviti marketing.

Bagi peniaga yang baru hendak memulakan bisnes pertama, modal mereka sangat kecil. Mereka start-up yang ikat perut.

Cara-cara marketing untuk start-up tidak boleh sama dan serupa dengan marketing syarikat yang sudah kukuh.

Kesebelas: Bak kata Steve Jobs

"Memang tak masuk akal apabila kita ambil orang pandai bekerja, kemudian kita beritahu dia apa dia patut buat. Sepatutnya, kita ambil orang pandai bekerja supaya dia beritahu kita apa kita patut buat!"

 
Kedua belas: Kita membayangkan, dengan membuka syarikat dan bisnes maka kita akan dapat menghimpun harta dan menjadi kaya-raya.

Tidak semestinya! Banyak orang yang sebelum dia membuka syarikat dan memulakan bisnes, dia mempunyai banyak wang simpanan dan harta.

Selepas dia membuka syarikat dan bisnes, wang simpanannya habis, hartanya pun terjual dan tergadai."

Ketiga belas; Kesan negatif kehadiran kaum kerabat ataupun kawan baik dalam syarikat....

ABS tidak menggalakkan langkah mengambil kaum kerabat dan kawan-kawan baik sebagai rakan-kongsi ataupun sebagai staff penting dalam syarikat.

Ia bukan suatu perkara yang 'haram'. Ia setakat 'tidak ideal'. Sesuatu yang tidak ideal pastilah lebih banyak mudaratnya daripada baiknya.

Antara kesan-kesan negatif mengambil kaum kerabat dan kawan baik adalah:

+ Kita cenderung mempunyai kepercayaan palsu bahawa mereka takkan melakukan kesalahan, khususnya kesalahan yang menyebabkan kerugian kepada syarikat.

+ Disebabkan kepercayaan palsu itu, kita tidak menyegerakan implementasi SOP-SOP kawalan keselamatan kewangan dan inventori.

+ Tanpa implementasi ketat SOP-SOP kawalan kewangan dan inventori, itulah faktor utama yang memudahkan ketirisan dan kebocoran berlaku..

Keempat belas: Fenomena mahu untung sedikit, tetapi kemudian rugi banyak....

Fenomena ini banyak dialami oleh trader kecil, khususnya yang belum lama menjalankan bisnesnya. Ia adalah kesilapan yang banyak berlaku.

Beginilah proses bagaimana ia berlaku....

Hj. Bakhil adalah pengedar yang mengedarkan banyak produk keluaran syarikat-syarikat lain.

Salah satu produk yang diedarkan oleh Hj. Bakhil adalah kopi segera buatan Melayu dengan nama "Kopi Duda" keluaran kilang Ramlee.

Sudin adalah trader kecil. Dia menjadi pemborong Kopi Duda dari Hj. Bakhil. Sebagai pemborong Sudin menerima 25% diskaun dari Hj. Bakhil.

Kemudian permintaan untuk Kopi Duda naik melambung-lambung. Ia sangat laku.

Sudin pun pergi berjumpa Ramlee dan membeli Kopi Duda terus dari kilang Ramlee. Dia menerima 35% diskaun dari Ramlee. Di situ Sudin sudah untung 10% diskaun.

Kemudian, Sudin mahu menambah produk-produk tradingnya. Dia tidak dapat cover semua kos operasinya kalau cuma mengedarkan Kopi Duda sahaja.

Dia perlu naikkan bisnesnya. Dia perlu menjual banyak produk-produk lain.

Di manakah Sudin mahu mendapatkan produk-produk lain?

Hj. Bakhil mempunyai banyak produk-produk lain. Tetapi, Sudin tidak dapat hendak pergi berjumpa Hj. Bakhil lagi.

Kelima belas: Tentang strategi bisnes....

Strategi adalah alat kerja. Pilih strategi yang sesuai dengan bisnes kita.

Tidak ada 1 strategi bisnes yang sesuai digunakan untuk semua jenis bisnes. Banyak orang muda keliru berkenaan perkara ini.

Keenam belas: Jangan sekali-kali kita menyewakan ataupun meminjamkan kepada sesiapa pun perkara-perkara di bawah ini:

+ Nama kita dan kad pengenalan kita
+ Nama dan cop syarikat kita
+ Lesen
+ Permit
+ Sijil

Risikonya sangat serius! .

 
Ketujuh belas: Dalam bisnes, jarak emosi perlu diurus.

Apabila jarak emosi terlalu rapat, kita mencipta hubungan mesra.
Hubungan mesra boleh menyukarkan hubungan bisnes.

Kita menjadi serba-salah apabila mahu menyampaikan pandangan dan pendapat bisnes kita, atas nama menjaga hati orang itu.

+ Hubungan baik. <— Inilah hubungan yang diutamakan dalam dunia bisnes dan dunia profesional.
+ Hubungan mesra. <— Ini hanya untuk kaum keluarga dan sahabat karib.

Kelapan belas : Budaya kerja tetap wujud di tempat kerja. Sama ada kita suka ataupun tidak.

Asal sahaja ada 2 orang ataupun lebih bekerja berama, budaya kerja akan tercipta dengan sendirinya.

Di gerai pun ada budaya kerja. Di restoran pun budaya kerja.

Sebagai entrepreneur, kita perlu rancang budaya kerja yang macam mana yang kita mahu diamalkan di tempat kerja kita.

Di ABS, budaya kerja yang dipilih adalah budaya inovasi, agiliti, perubahan dan growth.

Kesembilan belas : Introvert adalah pemalu, tidak berani bercakap di depan khalayak. Mereka lebih suka duduk dalam dunianya sendiri.

Mereka hanya selesa berada dengan orang-orang yang sudah sedia rapat dengan mereka
Dalam dunia bisnes, banyak entrepreneur yang sangat berjaya adalah introvert.

Otak bisnes mereka tajam. Mereka nampak peluang, dan bijak membuat pilihan serta keputusan.

Yang paling penting, mereka pandai memilih orang-orang yang memiliki bakat diperlukan apabila membangunkan pasukan bisnes mereka.

Inilah kelebihan entrepreneur introvert.

Kedua puluh: Idea Bisnes lawan Tim Bisnes

Sebagai orang bisnes, biasalah kalau kita mempunyai banyak idea-idea bisnes yang bagus-bagus, yang berpotensi membawa keuntungan.

Orang bisnes memang banyak idea!

Idea-idea bisnes yang bagus adalah modal bisnes yang sangat berharga.

Namun, yang lebih berharga daripada idea adalah Tim Bisnes kita.

Dengan mempunyai Tim Bisnes yang bagus, idea bisnes yang biasa-biasa pun dapat menghasilkan banyak keuntungan.

Kedua puluh satu: Apa itu di sebalik syarikat yang bernama 'ABS Ainon Holdings Sdn Bhd', yang lebih dikenali sebagai 'ABS Holdings' sahaja.

Syarikat ABS Holdings adalah sebuah syarikat yang berfungsi sebagai 'syarikat Abu Talib'.
Apakah itu 'syarikat Abu Talib'?

Kita kembali kepada sejarah di mana MM belajar ilmu-ilmu bisnes di sebuah 'sekolah bisnes'.

Di sekolah bisnes itu, businessman yang bernama Abu Talib menjadi mentor-cum-guru bisnes kepada MM yang remaja.

MM belajar di 'Sekolah Bisnes Abu Talib' itu selama 6 tahun, sejak usia 12 hingga 18 tahun.

'Sekolah Bisnes Abu Talib' adalah sebuah 'syarikat' dan ia juga sebuah 'sekolah bisnes'.

'Sekolah Bisnes Abu Talib' di mana MM menjadi pelajarnya itu adalah sebuah 'syarikat bergerak'. Sekolah itu bergerak membawa barang-barang dagangan.

Di sekolah itulah MM belajar teori dan praktis bisnes dalam sektor commerce, trading, distribusi, serta ekport dan import.

'Sekolah Bisnes Abu Talib' tidak memisahkan 2 fasa iaitu:

(a) Fasa belajar ilmu-ilmu bisnes dari segi teorinya, dan
(b) Fasa menjalankan kerja-kerja bisnes yang real.

Selama 6 tahun MM menuntut di 'Sekolah Bisnes Abu Talib' itu beliau belajar bisnes secara praktikal.

ABS sebagai sebuah sekolah bisnes cuba menghidupkan semula konsep 'Sekolah Bisnes Abu Talib' itu.

'ABS Ainon Holdings Sdn Bhd' adalah bayangan 'Sekolah Bisnes Abu Talib'. Ia sebuah syarikat yang juga berfungsi sebagai sebuah sekolah bisnes. Dengan izin Allah.

Kedua puluh dua: Siapakah yang mendukung bisnes kita?

Orang bisnes yang berjaya, mereka bukan berjaya atas kekuatan bakat, ilmu, dan semangatnya sendiri, sebagaimana yang selalu menjadi sangkaan dalam kalangan orang yang tidak berniaga

Peniaga-peniaga yang berjaya adalah mereka yang mempunyai senarai panjang peniaga-peniaga lain yang mendukung bisnes mereka.

Disebabkan mereka didukung oleh peniaga-peniaga lain, mereka ibarat pokok yang mempunyai akar tunjang, sangat sukar ditumbangkan.

Bisnes mereka bukan hanya sukar tumbang, malah mudah membesar.

Dalam dunia bisnes, supaya berjaya kita perlu memiliki strategi dan taktik bagaimana mendapatkan sebanyak-banyak peniaga lain supaya mereka mahu mendukung bisnes kita.

Sebagai peniaga, kita mungkin kenal banyak orang, tetapi mereka belum tentu mahu mendukung bisnes kita.

Mereka bukan musuh kita, tetapi meskipun bukan musuh namun mereka tidak mahu mendukung bisnes kita.

Apabila kita memerlukan kerjasama mereka, mereka tidak berminat membantu.

Jangan sekali-kali kita buat tidak elok kepada peniaga lain. Kita tidak tahu bila masanya kita akan terpaksa meminta kerjasama mereka.

Apabila kita buat tak elok kepada peniaga lain, ia ibarat perbuatan kita mencantas kaki sendiri!

Kedua puluh tiga: Hutang Janda Businessman

Banyak peniaga Melayu membuka syarikat enterprise dan menjalankan bisnes menggunakan nama syarikat enterprise itu dengan tidak mengetahui implikasi undang-undangnya.

+ Kos menubuhkan syarikat enterprise sangat murah. Hanya RM100 sahaja.
+ Proses mendaftarkan syarikat enterprise juga sangat mudah dan cepat. 1 hari sahaja.
NOTA: Syarikat enterprise bukan syarikat. Ia cuma lesen-berniaga

Di manakah risiko berniaga dengan menggunakan nama syarikat enterprise?

Risikonya adalah dalam kes HUTANG.

+ Dari segi undang-undang, hutang syarikat enterprise tidak diasingkan daripada hutang peribadi. Hutang syarikat enterprise adalah hutang peribadi. Di sinilah risikonya.

+ Jika kita SATU orang sahaja yang memiliki syarikat enterprise itu, kita seorang sahaja yang menanggung hutang-hutang yang kita ambil atas nama syarikat enterprise itu.

+ Jika kita mempunyai RAKAN-KONGSI dalam syarikat enterprise itu, risikonya sangat berat.

+ Katakanlah kita berkongsi 50-50 modal membuka bisnes syarikat enterprise itu. Kalau rakan-kongsi kita itu tidak mahu sama-sama membayar hutang syarikat, maka 100% hutang itu menjadi hutang peribadi kita.

+ Ah Long, ceti, syarikat finance tidak peduli siapa yang mengambil pinjaman itu bagi pihak syarikat enterprise. Mereka berhak menagih hutang itu dari rakan-kongsinya.

Contoh: Isteri dan suami membuka syarikat enterprise. Suami mengambil hutang atas nama syarikat. Kemudian mereka bercerai. Suami tidak mahu membayar hutang. Jandanya yang dikejar oleh ah long, ceti dan bank!

Kedua puluh tiga: Apa tanggungjawab seorang CEO sebuah startup?

 Matt Blumberg mengatakan tanggungjawab CEO itu 3 sahaja:

 1. Terangkan dengan berkali-kali, dan berulang-ulang, supaya orang faham dan jelas apa prinsip, nilai-nilai tonggak, strategi, misi dan visi syarikat kepada semua orang yang ada kaitan dengan syarikat.

2. Tubuhkan pasukan pengurusan yang terdiri daripada individu-individu yang berbakat, berkebolehan, ber-komitmen.

 3. Pastikan supaya pada setiap hujung bulan syarikat ada duit dalam akaunnya bagi membayar semua bill-bill yang wajib dibayar.

 
Kedua puluh empat: Cerita kejayaan peniaga Melayu disebar-luaskan di media perdana dengan harapan cerita-cerita begitu dapat mendorong orang Melayu berniaga.

Kegagalan teruk dalam bisnes tidak diceritakan.
Balik kepada fakta dan statistik:

+ 93% bisnes ditutup dalam tempoh 3 tahun selepas mula beroperasi.
 
+ 74% produk baru tersungkur dalam pasaran.

+ 80% bisnes yang dibuka dengan menggunakan modal pinjaman bank dan grant kerajaan berakhir gulung tikar.

 
Kedua puluh lima: Ilmu membangunkan syarikat dan mengembangkan bisnes secara bersyarikat adalah lebih susah daripada ilmu menerbangkan pesawat Airbus A380.

Calon pilot pesawat Airbus A380 boleh belajar menerbangkan pesawat itu di dalam bilik flight simulator dibimbing oleh seorang jurulatih.

Dalam bisnes, bilik simulator-nya adalah dengan berkuli dalam syarikat sebenar. Bukan dalam dewan kuliah, kursus dan seminar

Kedua puluh enam: Pandai Berniaga lawan Pandai Bersyarikat

Bagi menerangkan perbezaan antara ‘pandai berniaga’ dan ‘pandai bersyarikat’, kita gunakan contoh ini:

Sudin pandai membuat satay. Lalu dia pun mengeluarkan modal RM200 sehari membuat satay.

Malam-malam dia sendiri membakar satay dan menjual satay. Tiap-tiap malam sataynya habis terjual.

Keuntungan kasar setiap malam adalah RM120.00

Besok pagi dia membeli daging dan ayam lagi, mencucuk satay lagi, malam-malam dia membakar satay lagi.

Begitulah Sudin berniaga satay. Sudah 3 tahun dia berniaga.

Sudin adalah contoh orang yang pandai berniaga satay. Tetapi sudah 3 tahun bisnes sataynya masih macam itu juga. Dia tidak pandai berniaga dengan cara bersyarikat.

Rangkaian restoran Satay Kajang Hj. Samuri adalah contoh peniaga satay yang pandai berniaga dengan cara bersyarikat.

 
Kedua puluh tujuh: Beli Orang Dahulu

Banyak peniaga Melayu, apabila dia memulakan bisnes, dia tidak mahu membeli orang. Tetapi dia membeli kenderaan!

Tanpa mahu membeli orang, dia sanggup membuat semua kerja bisnesnya sendiri. Bekerja sorang-sorang, teruk-teruk, mengalahkan kerbau yang bekerja di bendang.

Beginilah cara dia berfikir: Selagi dia dapat membuat semua kerja, dia akan buat semua kerja. Jadi, dia dapat jimatkan kos. Kos yang dijimatkan itu menjadi sumber keuntungan.

Dalam perancangannya, dia mahu kumpulkan duit dahulu, kemudian apabila kerja sudah banyak sampai tak terbuat sendiri, dan duit pun sudah banyak untuk membayar gaji, barulah dia mahu ambil pekerja.

Dapatkah kita menjalankan bisnes jika kita tidak mahu membeli orang? Orang adalah modal bisnes yang sangat penting.

Jangan terus beli graduate. Graduate mahal. Beli lepasan diploma. Beli lepasan SPM pun boleh.

Jangan terus mahu beli orang yang sudah ada pengalaman. Mereka mahal. Beli yang tidak ada pengalaman pun boleh.

Kedua puluh lapan: Pandai Berkawan lawan Pandai Bekerjasama

Tip: Apabila memilih rakan-kongsi dan staff, pilih calon yang sangat pandai bekerjasama. Tidak mengapa jika bakat teknikalnya rendah sedikit.

Pandai bekerjasama lebih penting daripada pandai bekerja.

Dua skill sosial ini berbeza. Individu yang amat pandai berkawan-kawan belum tentu dia pandai bekerjasama, khususnya bekerjasama sebagai anggota kumpulan yang panjang hayatnya.

Contoh kumpulan yang panjang hayatnya:

+ Tim kerja di tempat kerja
+ Tim parti politik
+ Tim persatuan

Lebih banyak orang memiliki skill berkawan-kawan daripada skill bekerjasama dalam kumpulan yang panjang hayatnya.

+ Mereka popular. Mereka cepat mesra. Baru kenal sekejap, sudah berasa macam kenal lama.

+ Mereka banyak kenalan. Ke mana mereka pergi, ada sahaja orang yang kenal mereka.

+ Orang-orang lain suka duduk minum-minum di meja kopi dengan mereka sambil berbual-bual dan berketawa.

Tetapi di tempat kerja dan dalam persatuan dan parti, mereka tidak diterima oleh kumpulan.

Skill bekerjasama dalam kumpulan sangat berkait rapat dengan kejayaan dalam kerjaya profesional, dan dalam bisnes.

Banyak individu yang rendah skill bekerjasamanya tidak tahan bekerja di bawah seliaan ketua.
 
+ Mereka tidak pandai berketua.

+ Mereka tidak pandai menjadi orang bawah.
+ Mereka banyak berkonflik pendapat dengan ketua.

Kemudian mereka berhenti kerja dan membuka bisnes sendiri.

Dalam menjalankan bisnesnya sendiri, mereka mengalami banyak masalah hubungan kerja dengan staff.

Banyak individu yang berjaya sebenarnya mereka itu tidak berapa pandai berkawan-kawan. Kawan mereka tidak banyak.

+ Mereka introvert.
+ Mereka pemalu.

Tetapi mereka sangat pandai bekerjasama. Ke mana-mana mereka pergi, orang lain suka bekerja dengan mereka.

Apabila mereka membuka bisnes, staff mereka suka bekerja dalam syarikatnya

Kedua puluh Sembilan: Membangunkan TEAM Bisnes

Apabila kita membuka syarikat dan membangunkan bisnes, secara automatik kita adalah CEO syarikat kita.

Sebagai CEO syarikat kita sendiri, kita mesti mempunyai TEAM.

Siapakah yang layak dianggap sebagai TEAM kita?

TEAM kita adalah individu-individu dalam syarikat kita yang sentiasa kita bawa berunding, yang pendapatnya kita minta, sebelum kita membuat sesuatu keputusan bisnes.

+ Pilih anggota Team kita sejak awal-awal kita memulakan bisnes. Semakin cepat kita melantik Team, semakin bagus.

+ Pilih Team kita selepas satu, satu. Jangan pilih semua serentak.

+ Anggota Team kita boleh terdiri daripada rakan-kongsi, boleh juga dari kalangan staff.

+ Pilih orang yang memiliki kelebihan yang tidak ada pada diri kita. Seandainya kita tidak pandai marketing, ambil orang yang pandai marketing.

+ Jangan pilih orang yang lebih pandai daripada kita dalam perkara yang kita sendiri sudah pandai.

Seandainya kita pandai menjual, jangan ambil orang yang lebih pandai menjual dibandingkan dengan kita sendiri.

+ Jangan ambil orang yang sangat pandai bekerja, melainkan orang itu juga pandai bekerjasama dengan orang-orang lain.

Banyak orang yang sangat pandai bekerja tetapi dia banyak bergaduh dengan rakan-rakan sekerjanya. Jangan ambil orang macam itu.

+ Jangan ambil eksekutif yang sangat berjaya dalam syarikat gergasi. Mereka tidak pandai bekerja dalam syarikat kecil.

+ Cari orang-orang yang pandai mengembangkan bisnes kecil kita, dan mereka pandai membesarkan syarikat kecil kita.

Ketiga puluh : Model Bisnes Canvas (BMC) Model bisnes adalah ibarat tasik dan kolam.

+ Ada model bisnes yang umpama tasik besar.

+ Ada model bisnes yang umpama kolam kecil.

Ada business model yang memang dari semula saiznya kecil. Dan saiznya akan kekal kecil. Saiz bisnes itu tidak dapat dikembangkan.

Sebagai contoh: Kita membuka bisnes booth burger di mana kita juga yang menjadi operatornya.

Jika itulah model bisnes kita, maka begitulah bisnesnya. Kita takkan dapat membesarkan bisnes burger kita.

Dalam model bisnes itu, kita adalah pengusaha, kita juga menjadi operator booth.

Apakah kita terperangkap dalam model bisnes yang saiznya memang kecil?

Sudah sampai masanya kita duduk di bawah pokok dan berfikir…. Sampai bila kita mahu terperangkap dalam model bisnes sekarang

Ketiga puluh satu: Kita berniaga sebab mahukan kebebasan. Jangan kita menjadi hamba kepada duit orang lain.

Itulah yang akan berlaku apabila kita mengambil duit modal dari pemodal yang amatur. Kita jadi hamba kepada duit orang.

Pemodal amatur adalah orang yang mempunyai duit tunai, dan mereka mahu membuat keuntungan cepat.

Ada pemodal amatur yang meminta dividen tiap-tiap hujung bulan!

Dalam Akta Syarikat, dividen dibayarkan kepada pemegang saham setahun sekali.

Bertanyalah kepada mereka yang pernah melakukan kesilapan menerima duit dari pemodal amatur.

Betapa tertekannya jiwa mereka dibuat oleh perangai pemodal amatur yang tidak tahu bagaimana realiti dunia bisnes beroperasi.

Ketiga puluh dua : Fenomena anak muda termakan cakap buaya yang mengajak dia terjun masuk sungai....

Di luar sana, banyak orang memberikan nasihat-nasihat percuma kepada anak-anak muda tentang cara-cara buat bisnes yang cepat untung dan untungnya sangat besar pula.

Anak-anak muda itu baru lepas belajar di IPT. Mereka memang masih fakir-ilmu-bisnes. Nasihat buaya pun mereka percaya sebagai nasihat yang betul.

Mendengar nasihat percuma si buaya, lalu mereka terjun ke dalam sungai. Kenyanglah si buaya!

TANYA: Siapa-siapakah 'buaya-buaya' itu?

JAWAB: Sesiapa yang mendapatkan keuntungan kewangan daripada orang-orang yang menerima nasihat bisnes yang diberikannya secara percuma itu.

Contoh buaya:

+ Wakil syarikat francaisor yang memberi nasihat percuma kepada anak-anak muda supaya membuka bisnes francais.

+ Wakil kilang OEM yang memberi nasihat percuma kepada anak-anak muda supaya mengeluarkan sendiri produk kesihatan, kelangsingan, kecantikan secara OEM.

+ Kontraktor bangunan rumah burung walit yang memberi nasihat percuma kepada anak muda supaya membuka bisnes pengeluaran sarang burung.

+ Pemilik traktor back-hoe yang memberi nasihat percuma kepada anak muda supaya membuka bisnes pengeluaran ikan keli, ikan talipia, udang, menggunakan kolam-kolam.

+ Kontraktor pembinaan kandang ternakan yang memberi nasihat percuma kepada anak muda supaya membuka bisnes menjual susu kambing segar.

 + Pengusaha nurseri anak kayu jati yang memberi nasihat percuma kepada anak muda supaya membuka ladang pokok kayu jati.

NOTA tambahan: Orang pencen, orang pesara, orang VSS pun dalam kategori yang sama dengan anak-anak muda.

 Ketiga puluh tiga: Apa itu 'unfair advantage'? Konsep ini dipopularkan oleh Robert Kiyosaki.

Dunia bisnes memang 'tidak adil'. Ada orang yang menikmati kelebihan-kelebihan yang tidak diberikan kepada orang-orang lain. Ini sangat tidak adil.

Contoh-contoh 'unfair advantage' dalam dunia bisnes:

+ Ada anak muda yang dilahirkan dalam keluarga bisnes turun-temurun.

Setiap hari dia mendengar wacana bisnes di rumahnya. Dari kecil mereka sudah dididik supaya memahami logik-logik bisnes.

Manakala banyak anak muda dilahirkan dalam keluarga makan gaji ataupun petani dan nelayan.

 > Tadika ABS cuba mencipta 'unfair advantage' untuk pelajar-pelajarnya dengan memperkenalkan modul keusahawanan Kelab ARAF (Abd. Rahman bin Auf).

+ Ada orang muda yang mendapat rakan-kongsi yang sudah kukuh bisnesnya.

Manakala banyak anak muda berpartner sesama mereka yang sama-sama miskin dalam modal wang, dan fakir dalam modal ilmu bisnes.

> ABS cuba mencipta 'unfair advantage' untuk anak-anak muda yang berkuli di ABS dengan memperkenalkan Skim SBSB (skim berkuli sampai berpartner).

+ Ada anak-anak muda yang terselamat daripada membayar cukai kebodohan. Seringgit pun mereka tidak membayar cukai kebodohan itu.

Manakala banyak anak muda harus membayar cukai kebodohan sampai ratusan ribu ringgit.

> ABS cuba mencipta 'unfair advantage' untuk anak-anak muda yang diambil sebagai junior partner dengan tidak mengizinkan mereka meminjam dari bank, sebaliknya menyediakan modal dari pelabur-Khadijah ABS.

Ketiga puluh empat: Apa itu marketing?

+ Jika kita membuka kedai gunting, marketing adalah memberitahu orang yang mempunyai rambut di kepala mereka bahawa kedai gunting kita wujud. Supaya lain kali, apabila mereka mahu memotong rambut, mereka sudah tahu di mana kedai gunting kita.

+ Jika kita menjual sambal hitam Rompin dalam internet, marketing adalah memberitahu pengguna internet yang mencari sambal hitam Rompin bahawa kita ada menjual sambal hitam Rompin. Mereka boleh beli sambal dari kita.

+ Jika kita menjalankan bisnes servis menghapus anai-anai, marketing adalah memberitahu penduduk dalam zon pasaran kita bahawa kita wujud dan kita dapat menyelesaikan masalah anai-anai mereka.

Ketiga puluuh lima: Risiko menjadi penjamin pinjaman bank.

Apabila syarikat sendirian berhad memohon pinjaman bank, semua ALP syarikat itu akan dipaksa oleh bank supaya menandatangani dokumen persetujuan menjadi penjamin ke atas pinjaman itu.

Jaminan itu adalah secara jointly-and-severally. Ini memang ditulis begitu dalam dokumen perjanjian.

Senang cakap, maksud penjamin jointly-and-severally adalah begini….

+ Kalau bisnes syarikat itu lingkup, lalu syarikat gagal membayar hutang bank, maka semua ALP sama-sama bertanggungjawab membayar hutang itu.

+ Kalau ada ALP yang cabut lari dan pindah rumah sampai sukar dikesan oleh bank, ataupun pindah ke luar negara, sebab dia tidak mahu membayar hutang bank itu, maka ALP-ALP yang lain akan bertanggungjawab membayar semua hutang itu.

+ Kalau semua ALP cabut lari, pindah rumah, pindah ke bandar lain, tinggal kita seorang sahaja ALP yang dapat dikesan oleh bank, maka bank akan paksa kita seorang diri membayar semua hutang itu.

Ketiga puluh enam: Bergilir-gilir mengalah....

Apabila kita berniaga secara bersyarikat, kita tidak boleh ada perangai macam towkay. Towkay adalah orang yang suka menang.

Dalam budaya bersyarikat, kita berniaga secara berpasukan.

Dalam budaya berpasukan, pasukan mesti menang. Kita kalah, tidak apa-apa.

Supaya pasukan kukuh dan stabil, skill yang sangat diperlukan adalah skill bergilir-gilir mengalah.

 + Hari ini Ramlee mengalah meskipun dia yakin ideanya lebih baik, biar idea Sudin diterima oleh semua ALP.

+ Lain kali Sudin pula mengalah, biar idea Ajis diterima oleh semua ALP.

+ Lain kali lagi, Ajis pula yang mengalah, biar idea Ramlee yang dirasakannya idea itu idea yang comot, diterima oleh semua ALP.

Memberi peluang kepada semua orang berasa dia menang adalah lebih penting daripada memilih idea yang terbaik.

Terima dulu idea yang comot itu, besok lusa, idea itu boleh dibaiki, ataupun dimesyuaratkan semula, dan digantikan dengan idea yang lebih cantik.

Chairman ALP perlu bercakap begini: "Baiklah! Kita terima cadangan Tuan Sudin. Kita cuba jalankan idea beliau. Kita tengok kemajuannya. Jika bagus, kita teruskan. Jika ada yang kekurangan, kita baiki."

Yang lebih penting, semua ALP terus bersemangat dan sanggup bekerja keras mahu mengembangkan bisnes dan membesarkan syarikat!

Ketiga puluh tujuh : Apakah itu yang dikatakan 'menurunkan kuasa'?

Banyak peniaga mahu menurunkan kuasa kepada staff, tetapi mereka tidak berani. Mereka takut nanti staff akan menyalah-gunakan kuasa.

Cara menurunkan kuasa adalah dengan menggunakan SOP-SOP. Serahkan kuasa kepada staff bersama-sama dengan SOP-SOP kerja.

Jangan turunkan kuasa dengan cakap mulut sahaja. Itu macam kita serahkan blank cheque kepada staf!

Ketiga puluh lapan: Bergaduh, berpecah-belah, dan bercerai-berai antara sesama rakan-kongsi syarikat bukan perkara yang jarang berlaku.

Peniaga yang pandai berniaga secara solo, dengan gaya towkay, belum tentu pandai berniaga secara rakan-kongsi.

Apabila berniaga secara solo, kita bebas membuat semua keputusan. Kita tidak perlu berpakat dengan sesiapa. Kita bebas ikut suka kepala kita.

Apabila kita berniaga secara bersyarikat, Akta Syarikat 1965 mengawal cara-cara kita membuat keputusan!

Jika kita tidak ikut prosedur membuat keputusan sebagaimana yang ditetapkan di bawah Akta Syarikat, keputusan itu tidak sah.

Keputusan yang dibuat dengan tidak ikut prosedur Akta Syarikat 1965 memang berisiko akan menyebabkan sesama rakan-kongsi bergaduh, berpecah-belah, bercerai-berai dan mungkin bermusuh.

Ketiga puluh Sembilan: Apa itu ‘sunk cost’?

Sesuatu bisnes menjadi ‘bad investment’ apabila kita mula menanggung ‘sunk cost’, yakni ‘kos karam’.

Kapal itu memang akan karam. Semua tanda-tanda yang ada menunjukkan kapal akan karam, tetapi kita masih cuba menyelamatkan kapal itu.

+ Kita ambil loan baru. Loan sudah bertambah banyak. Loan lama pun tidak dapat diservis, sekarang kita tambah loan lagi.

 

+ Duit loan itu digunakan bagi meneruskan bisnes yang menuju era lingkup.
Hasilnya, apabila bisnes itu lingkup juga, diri kita menanggung banyak hutang. Kita pun muflis.
Lazimnya, dorongan mahu menyelamatkan kapal yang akan karam itu adalah dorongan emosional.

Kita meletakkan nilai emosi yang sangat kuat terhadap bisnes itu, sehingga sukar bagi kita hendak membubarkan sahaja bisnes yang pastinya akan bungkus juga.

Dalam bisnes, jangan gunakan emosi. Bahaya!

Keempat puluh: Syarikat enterprise. <—- Kaya tetapi tidak kaya-raya.

Ambil senario ini….

Tuan menjalankan bisnes menggunakan ‘syarikat enterprise’.

Bisnes tuan dalam keadaan bagus. Produk laku. Jualan setiap bulan melebihi RM50k.

Dalam akaun bank ‘syarikat enterprise’ tuan, jumlah wang tunai melebihi RM300k.

Tuan mahu membeli rumah kedai 4 tingkat di Selayang yang berharga RM2.1j.

Apakah bank akan memberi pinjaman kepada ‘syarikat enterprise’ tuan bagi membeli rumah kedai itu?

Sebelum meluluskan permohonan pinjaman tuan itu, bank mahukan 3 dokumen ini:

1. Akaun bank selama 6 bulan terakhir.

Syarikat enterprise boleh menunjukkan akaun bank selama 6 bulan terakhir. No problem! Akaun bank tuan memang setiap bulan menunjukkan jumlah positif.

2. Laporan kewangan teraudit selama 3 tahun terakhir.

Tuan tersangkut di sini! Syarikat enterprise tidak mempunyai laporan kewangan teraudit!

3. Dokumen persetujuan ahli lembaga pengarah (ALP) menjadi penjamin peribadi kepada pinjaman syarikat.
Tuan tersangkut di sini. Syarikat enterprise tidak mempunyai ALP.

NOTA: Apa yang selalu disebut 'syarikat enterprise' itu bukan syarikat. Ia cuma lesen-niaga. Ia adalah sijil pendaftaran perniagaan.

 

Rujukan: Ainon Mohd, PTS Group

25 Mei 2015