PUTRAJAYA 23 Jun - Pesisiran Tasik Putrajaya di Presint 2, Putrajaya malam tadi bermandikan limpahan cahaya daripada sebanyak 14 buah bot berhias yang menyertai acara Magic of the Night anjuran Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.
Penganjuran kali ketiga dengan tema Colours of Harmony itu berjaya menarik perhatian pengunjung ke bandar pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan ini untuk menyaksikan perarakan sejauh tiga kilometer bot berhias berkenaan.
Majlis perasmian acara yang mendapat kerjasama Perbadanan Putrajaya (PPj) sempena penganjuran Floria Putrajaya 2013 itu dirasmikan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
Beliau berkata, acara itu bukan sahaja dapat mempromosi Putrajaya malah menjadikan Malaysia sebagai destinasi unik di peringkat global.
"Kami sasarkan lebih sejuta pengunjung termasuk dari luar negara dan tempatan memeriahkan festival yang berlangsung selama sembilan hari ini," katanya.
Yang hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Dr. Ong Hong Peng dan Presiden PPj, Tan Sri Dr. Aseh Che Mat.
Penganjuran acara yang bermula malam tadi hingga Ahad depan itu turut dimeriahkan dengan pertunjukan bunga api.
Penyertaan bot terdiri daripada wakil China (Suzhou), Perak, Negeri Sembilan, Perlis, Terengganu Pahang, Sarawak, Melaka, Johor, dan Sabah.
Antara agensi yang turut terlibat adalah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Tourism Malaysia, Perbadanan Putrajaya, dan Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada).
Mohamed Nazri berkata, penganjuran acara itu selari dengan usaha mempromosi negara sempena Tahun Melawat Malaysia 2014.
Dalam masa sama, tambah beliau, melalui acara itu para peserta dapat mempamerkan kreativiti dengan menghias bot-bot berkenaan.
"Antaranya dengan tema flora dan fauna, ikon serta produk-produk pelancongan dan kebudayaan yang menjadi tarikan mengikut negara, negeri atau organisasi masing-masing," katanya.
Penginapan, hubungi 019-323 3848