Pages

Showing posts with label pendidikan. Show all posts
Showing posts with label pendidikan. Show all posts

Friday, 4 April 2014

Pelancaran Pendidikan Islam Sepanjang Hayat

Pelancaran Pendidikan Islam Sepanjang Hayat oleh YAB Tan Sri Dato' Hj Mahyudin bin Hj Mohd Yasin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia bertempat di Kolej Komuniti Ledang, Tangkak, Johor

Saturday, 7 December 2013

Ulul Albab ke seluruh negara

 

Ulul Albab  ke seluruh negara 
Najib dan Muhyiddin bergambar bersama Perwakilan Kelab UMNO Luar Negara sempena Perhimpunan Agung UMNO Ke-67 di PWTC, Kuala Lumpur, semalam.
 
Setiap negeri laksana model pendidikan Islam mulai tahun depan

Kuala Lumpur: Model pendidikan Islam, Ulul Albab, akan diperluaskan ke seluruh negara tahun depan dengan sasaran awal sebuah sekolah di setiap negeri.

Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata empat sekolah agama bantuan kerajaan di Terengganu, sudah diangkat sebagai model perintis bagi tujuan itu.
Sistem yang menekankan keseimbangan antara pengajian akademik dan pendidikan Islam itu, katanya, mensyaratkan semua pelajar menamatkan hafazan al-Quran, sebelum menamatkan persekolahan peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Ini tuntutan sebahagian besar masyarakat Islam negara kita.

Bentuk pelajar cemerlang

“Diharapkan, sistem pendidikan ini dapat membentuk pelajar cemerlang dari konteks akademik serta memiliki pengetahuan dan penghayatan agama Islam yang tinggi," katanya dalam ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO, semalam.
Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata, keampuhan pendidikan Islam sebagai asas dan teras dalam kehidupan akan memberi pengaruh serta kesan yang amat besar pada keseluruhan umat Islam.

Mengulas lanjut beliau menyarankan, pendidikan Islam sepanjang hayat wajar menjadi wadah utama untuk ilmu dan kefahaman agama itu disebarkan secara meluas.

“Dalam perbincangan saya bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kita akan meluaskan peranan 85 Kolej Komuniti yang ada sekarang. Bukan saja Kolej Komuniti Islam, tetapi kolej komuniti sedia ada akan diintegrasikan dalam program khas untuk dilaksanakan secara menyeluruh,” katanya.

Kerajaan tegasnya, tidak pernah berdolak dalik dalam melaksanakan semua perakuan yang dibuat dalam Pelan Pendidikan Malaysia demi manfaat semua rakyat.

“Tujuan dan matlamat yang digariskan dalam pelan, angkat martabat masyarakat ke satu kedudukan tinggi menerusi sistem pendidikan kita,” katanya.

Sementara itu, katanya, kerajaan akan memperhalusi cadangan supaya mahasiswa Bumiputera yang tidak memperoleh ijazah kelas pertama turut diberi insentif pemotongan pinjaman atau biasiswa Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Katanya, kerajaan sentiasa melakukan proses penambahbaikan PTPTN secara berterusan supaya bertambah lestari dan berkekalan untuk jangka masa panjang.

Muhyiddin berkata, Sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dijangka dilaksanakan secara lebih berkesan pada April tahun depan bagi mengelak ia menjadi bebanan kepada guru.

“Apa yang jadi masalah bukan dasar tetapi pelaksanaannya menjadi bebanan kepada guru. Saya yakin perkara ini akan diteliti kita atasi dengan sebaiknya. Saya sudah arahkan kementerian supaya membaiki sistem akses maklumat berkenaan,” katanya.
Berita Harian 2013/12/08

Saturday, 2 November 2013

Ulul Albab di sekolah harian tahun depan

 

KUALA TERENGGANU 2 Nov. - Kementerian Pendidikan dijangka mula memperkenalkan pelaksanaan program Ulul Albab sekurang-kurangnya di satu sekolah harian di setiap negeri mulai tahun depan.
Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh walau bagaimanapun berkata, jika sekolah yang terpilih belum bersedia dari aspek peralatan pembelajaran dan kemampuan penerimaan pelajar, pelaksanaan itu boleh ditangguhkan ke tahun seterusnya.
Menurut beliau, program berkenaan yang diterap melalui pengubahsuaian kurikulum sedia ada bakal dilaksanakan secara berperingkat di sekolah rendah dan menengah bagi memberi penekanan lebih berkesan dan menyeluruh ke arah melahirkan generasi seimbang.
"Untuk memantapkan kurikulum pengajian Islam di seluruh sekolah terutama di sekolah menengah harian dan sekolah menengah agama, kita akan mengenal pasti sekurang-kurangnya satu sekolah di setiap negeri bagi tujuan itu.
"Insya-Allah, program itu akan bermula tahun depan atau tahun selepasnya mengikut kemampuan sekolah masing-masing," katanya selepas menyempurnakan penutup Majlis Khatam al-Quran Perdana dan pertandingan Kalam Jama'ie Sekolah-Sekolah Kementerian Pendidikan di sini hari ini.
Program Ulul Albab berteraskan tiga komponen utama iaitu Quranik, Ensaiklopedik dan Ijtihadik ke arah melahirkan generasi seimbang dari segi kecemerlangan akademik, ilmu agama dan berkeperibadian Islam.
Program ini telah diterapkan di rangkaian Sekolah Menengah Imtiaz kelolaan Yayasan Terengganu dan diperluaskan ke beberapa Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
Sementara itu, Idris berkata, kementerian akan memanjangkan program Khatam al-Quran yang merupakan tradisi ulama secara berterusan ke sekolah-sekolah melalui program Jawi, al-Quran dan Fardu Ain (j-Qaf) yang dilancarkan pada tahun 2005.
"Sejak itu, kita lihat perkembangan demi perkembangan pengajian Islam yang lebih mantap di sekolah-sekolah. Kali ini ditambah pula dengan Bahasa Arab melalui Arabic Chorus Speaking (pertuturan) dalam pertandingan Kalam Jama'ie.
"Melalui pelaksanaan program j-QAF ini, kebanyakan pelajar bukan saja mampu khatam al-Quran lebih awal iaitu sebelum menjejak kaki ke sekolah menengah malah dapat menguasai bahasa Arab dengan baik.
"Apa yang membanggakan, minat pelajar terhadap bahasa Arab terus meningkat sehingga mampu mengikuti program 'coral speaking' dalam bahasa itu dengan baik," katanya.

Tuesday, 24 September 2013

Profesion guru perlu dimartabat

 

 
Beliau berkata, antara langkah ialah menawarkan gaji lebih tinggi setimpal beban tugas, selain menyediakan kemudahan pengajaran dan pembelajaran mencukupi serta berkesan dengan suasana kerjaya terbaik.     

“Pengiktirafan ini penting kerana tugas mendidik anak bangsa berat, selain menggalakkan individu cemerlang menjadi guru dan melahirkan lebih banyak idea hebat dalam membantu meningkatkan sistem pendidikan negara.

Pembelajaran interaktif

“Ini juga akan membantu usaha kerajaan yang meletakkan pencapaian 7A sebagai syarat kelayakan untuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melanjutkan pengajian dalam bidang pendidikan,” katanya selepas Forum Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025: Bagaimana Merealisasikannya?’ di Fakulti Pendidikan UM, di sini semalam.

Forum turut disertai dua panel lain, iaitu Felo Penyelidik Kanan, Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Prof Emeritus Datuk Dr Isahak Haron; serta Profesor (Kurikulum) Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Dr Nagendralingan Ratnavadivel.
Ia dipengerusikan Felo Penyelidik Kanan, Jabatan Kurikulum dan Teknologi Pengajaran UM, Prof Emeritus Datuk Dr Abu Bakar Nordin.

Nagendralingan berkata, setiap guru sekolah rendah dan menengah perlu lebih bijak mewujudkan suasana pembelajaran interaktif serta aktif dan bukan pasif ketika mengajar.

“Guru harus berfikir dan mengeluarkan pendapat secara terbuka dalam mencari teknik pengajaran lebih menyeronokkan serta menarik minat dan keyakinan pelajar, selagi ia tidak menimbulkan masalah,” katanya
 
2013/09/25 - Berita Harian

Thursday, 19 September 2013

Sikap guru punca ponteng

 

Kuala Lumpur: Bosan dengan sikap dan personaliti guru yang terlalu mementingkan pencapaian akademik dikenal pasti antara sebab utama sebahagian besar pelajar sekolah menengah, ponteng.

Ketika di dalam kelas, pelajar yang dikategorikan sebagai lemah merasakan diri mereka dipinggir oleh guru yang lebih cenderung memberi tumpuan kepada pelajar bijak atau mudah memahami pelajaran dalam kelas.     
Ketua Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling Universiti Malaya, Dr Zahari Ishak, berkata personaliti guru dan keadaan persekitaran dalam sekolah adalah faktor utama punca pelajar tidak ke sekolah kerana mereka tertekan apabila kerap dimarahi di depan rakan sekelas menyebabkan mereka malu dan akhirnya mengambil jalan mudah untuk ponteng.     

Cara pengajaran guru

“Kajian dilakukan juga mendapati antara sebab pelajar hilang minat belajar dan seterusnya bertindak ponteng ialah cara pengajaran guru yang terlalu laju dan sukar difahami terutama bagi subjek kritikal seperti Matematik.

“Punca lain adalah personaliti guru yang bersikap negatif seperti terlalu garang, suka marah atau suka membebel serta meminggirkan pelajar yang kurang pandai ketika dalam kelas,” katanya pada pelancaran monograf bertajuk ‘Senario Ponteng Pelajar Sekolah Menengah: Suatu Analisis Statistikal’ di sini, semalam.

Monograf dilancarkan Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye itu adalah hasil kajian 10 bulan sejak April tahun lalu oleh sepasukan penyelidik diketuai Dr Zahari dan Dr Low Suet Fin, pensyarah Jabatan Ilmu Pendidikan dari Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas, serta beberapa pelajar ijazah sarjana.
Penyelidikan yang dibukukan dan sudah dicetak 1,000 naskhah sebagai rujukan itu diterbitkan MCPF dengan kerjasama Universiti Malaya dan Kementerian Pendidikan.

Dr Zahari berkata, hasil temubual yang dijalankan terhadap 472 pelajar ‘kaki ponteng’ sebagai sampel kajian dari 15 sekolah Semenanjung Malaysia di kawasan bandar, luar bandar, pulau dan FELDA, mendapati hampir 80 peratus menyatakan mereka suka ke sekolah tetapi sebaliknya tertekan dengan cara guru kelas.

Tidak kreatif

“Mereka tidak berasa seronok dengan cara penyampaian guru yang sukar difahami, tidak kreatif selain kerap dimarahi apabila sering mengajukan soalan sehingga menimbulkan rasa resah setiap kali berdepan guru yang mempunyai tabiat yang sama.

“Ada juga yang sanggup ponteng kerana tidak suka belajar subjek tertentu terutama Sejarah selain tidak suka dengan polisi pentadbiran sekolah yang mengutamakan pencapaian akademik hingga mengabaikan pelajar yang ketinggalan,” katanya.

Beliau berkata, kajian turut menunjukkan tidak semua kaki ponteng itu pelajar yang kurang bijak namun pihak sekolah dilihat gagal untuk memupuk rasa suka untuk pelajar datang ke sekolah atau memberi tumpuan khas untuk pelajar yang tidak cemerlang dalam akademik.

Sementara itu, Lam Thye berkata, berdasarkan rekod kementerian pada 2010 menunjukkan 111,484 pelajar terbabit dalam pelbagai masalah disiplin dan untuk kes ponteng sekolah, mencecah 19,545 kes.

Wednesday, 11 September 2013

Pendidikan Islam kunci keamanan

 

MUHYIDDIN Yassin menyampaikan ucaptama pada makan malam tahunan Lembaga Pemegang Amanah Pusat Pengajian Islam Oxford (OCIS) di Ditchley Park Country House, London, malam kelmarin. Turut hadir isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom, Datuk Seri Zakaria Sulong dan Ahmad Sarji Abdul Hamid. - BERNAMA
 
LONDON 11 Sept. - Malaysia percaya pendidikan Islam yang betul menjadi kunci kepada pembentukan sebuah masyarakat Islam yang mencintai keamanan.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, kemurnian pendidikan Islam yang diajar di sekolah-sekolah yang memberi penekanan kepada prinsip-prinsip kesederhanaan, toleransi agama serta amalan saling menghormati menjadi faktor penting yang membolehkan orang Islam dan kaum-kaum lain di Malaysia dapat hidup secara aman.
Sambil mengambil pengalaman Malaysia sebagai contoh, beliau berkata, pendidikan Islam bermula pada awal usia yang mana murid-murid Islam di sekolah-sekolah kerajaan diwajibkan mengambil mata pelajaran tersebut.
‘‘Kanak-kanak diajar bahawa menjadi seorang Islam yang warak juga bermakna menjadi seorang yang baik kepada orang lain. Mereka juga diajar bahawa menghormati orang bukan Islam malah membantu mereka, tidak akan menjadikan mereka ‘kurang Islam’," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama bertajuk Peranan negara-negara Islam dalam mewujudkan kestabilan: Pengalaman Malaysia, dalam majlis makan malam tahunan Lembaga Pemegang Amanah pusat Pengajian Islam Oxford (OCIS), di sini malam tadi.
Turut hadir Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid yang merupakan salah seorang ahli lembaga pemegang amanah OCIS.
Menurut Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan, oleh kerana tanggungjawab menyediakan pendidikan Islam yang betul merupakan salah satu keutamaan, kerajaan Malaysia telah melantik kira-kira 80,000 guru agama profesional untuk tujuan itu.
‘‘Mereka bukan sahaja dibayar gaji oleh kerajaan, mereka turut menjalani latihan di institusi-institusi perguruan sebelum menjadi guru agama.
‘‘Guru agama ini sama seperti guru-guru lain yang dilengkapi dengan pelbagai kemahiran moden untuk mengajar murid-murid Islam di sekolah.
‘‘Saya menaruh kepercayaan penuh bahawa pendidikan Islam yang betul adalah kunci kepada lahirnya satu masyarakat Islam yang mencintai keamanan untuk diri mereka sendiri dan juga untuk orang lain," tegasnya lagi.
Menurut Muhyiddin, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang dilancarkan beberapa hari lalu turut memberi fokus kepada nilai-nilai Islam dengan sasaran mewujudkan keharmonian agama dalam masyarakat berbilang kaum.
Bagaimanapun kata beliau, umat Islam di Malaysia turut berhadapan dengan beberapa cabaran baru yang dikaitkan dengan globalisasi dan penyebaran fahaman liberal moden.
Antaranya kata Muhyiddin, ungkapan ‘tiada paksaan dalam agama’ telah ditafsir oleh sesetengah pihak sebagai ‘hak untuk orang Islam meninggalkan Islam’ sedangkan makna sebenar yang difahami ialah seseorang bukan Islam tidak boleh dipaksa memeluk Islam.
Perkara yang sama kata beliau, turut berlaku dalam isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang tidak dapat diterima oleh majoriti Islam tetapi telah ‘dipromosikan’ oleh sesetengah kumpulan berkepentingan sedangkan sebagai negara Islam, Malaysia tidak mengiktiraf hak-hak LGBT.
Dalam pada itu Muhyiddin menegaskan, Malaysia walaupun hanya sebuah negara Islam kecil akan terus memainkan peranannya dengan apa cara sekalipun bagi mewujudkan keamanan dan kestabilan di negara-negara Islam dan di seluruh dunia.
Beliau yakin menerusi kerjasama yang efektif dalam bidang ekonomi, negara-negara Islam dapat mencapai kemajuan dan kemakmuran yang menjadi faktor penentu kepada kestabilan sosial dan politik.
‘‘Perkara ini akan dapat dicapai jika negara-negara Islam teguh bersatu dan saling membantu antara satu sama lain.
‘‘Saya percaya negara-negara Islam yang bersatu, makmur dan sentiasa aman akan dapat mencipta keamanan untuk seluruh dunia," tegasnya. - Oleh Rozaman Ismail UTUSAN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130912/dn_01/Pendidikan-Islam-kunci-keamanan#ixzz2eeELce9C
© Utusan Melayu (M) Bhd

Friday, 6 September 2013

Transformasi pendidikan dilaksana dalam tiga gelombang

 

KUALA LUMPUR 6 Sept. - Transformasi pendidikan negara seperti yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 akan dilaksanakan dalam tiga gelombang.
 
Gelombang 1 (2013-2015) memberi penekanan kepada menambah baik sistem dengan mempercepat perubahan kaedah pelaksanaan program.
 
Dalam tempoh pelaksanaan itu, tumpuan diberi kepada kaedah peningkatan kualiti pengajaran dengan meningkatkan kualiti guru sedia ada, meningkatkan kualiti kepimpinan sekolah dan meningkatkan kadar literasi Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan numerasi.
 
“Menjelang akhir Gelombang 1, kementerian akan memastikan semua guru, pengetua/guru besar dan sekolah mencapai tahap minimum standard kualiti yang dihasratkan," menurut pelan yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.
 
Dalam Gelombang 2 (2016-2020), kementerian akan melaksana perubahan struktur pendidikan negara untuk mempercepat perjalanan perubahan kepada semua inisiatif yang bermula semasa Gelombang 1, antaranya pergerakan kesemua 410,000 guru dan 10,000 pengetua/guru besar kepada pakej kerjaya baharu dan penstrukturan semula kementerian.
 
Kurikulum standard sekolah rendah dan menengah yang disemak semula juga akan diperkenal dalam usaha menangani kebimbangan mengenai pengetahuan, kemahiran dan nilai untuk maju sesuai dengan perkembangan ekonomi dunia hari ini.
 
Gelombang 3 (2012-2025) akan memfokus kepada anjakan ke arah kecemerlangan dengan peningkatan keluwesan operasi, di mana pada permulaan gelombang ini, semua sekolah, guru dan pengetua/guru besar perlu menunjukkan prestasi melebihi standard minimum.
 
Kementerian juga akan menganjakkan kebanyakan sekolah kepada model pengurusan berasaskan sekolah dan membangunkan model kejayaan sekolah berdasarkan inovasi dalam pengajaran, dalam usaha membangunkan sistem pengekalan kemajuan kendiri yang mampu untuk mencetuskan inovasi dan meningkatkan pencapaian yang lebih tinggi. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130907/dn_03/Transformasi-pendidikan-dilaksana-dalam-tiga-gelombang#ixzz2e9mMJTKi
© Utusan Melayu (M) Bhd

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025: Menuju Kelas Dunia

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025: <br>Menuju kelas dunia

Transformasi pendidikan lahir pelajar penuhi keperluan abad ke-21

Kuala Lumpur: Malaysia perlu melaksanakan perubahan besar terhadap keseluruhan sistem pendidikan negara untuk melonjakkan pencapaian memenuhi aspirasi yang tinggi dalam persekitaran global yang semakin kompetitif, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan pelajar memiliki kemahiran diperlukan pada abad ke-21.      
Katanya, bagi mencapai hasrat itu, kerajaan menggubal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang menyediakan kerangka pembangunan menyeluruh untuk menzahirkan transformasi sistem pendidikan secara pantas dan mapan sehingga 2025.

“Dalam usaha mencapai aspirasi tinggi dalam persekitaran persaingan global yang semakin sengit, kita tidak boleh lalai,” katanya dalam prakata pelan pendidikan itu yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam.

Najib berkata, transformasi pendidikan bukan sekadar menambah kakitangan dan kemudahan, malah menjurus kepada usaha memahami dan menambah baik proses pengajaran dan pembelajaran.

Perubahan besar

Katanya, bersandarkan inisiatif diperkenalkan di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara, pelan itu menggariskan perubahan besar yang dihasratkan.

Najib berkata, pelan itu dengan jelas menggambarkan faktor penambahbaikan penting bagi setiap langkah dalam perjalanan transformasi yang bakal dilalui dan walaupun semua matlamat itu melambangkan cita-cita yang tinggi, namun beliau yakin ia mampu dicapai.

Matlamat itu, menurut Najib, termasuk memastikan enrolmen sejagat pada pelbagai peringkat pendidikan iaitu daripada prasekolah hingga menengah atas dalam tempoh 10 tahun akan datang, selain mengurangkan jurang pencapaian antara kelompok kaya dengan miskin, bandar dan luar bandar serta antara negeri dalam tempoh yang sama.

“Hasrat ini mesti dicapai melalui pengagihan sumber yang terancang serta teliti dan seterusnya memastikan setiap ringgit dibelanjakan untuk meningkatkan keberhasilan dan kemenjadian murid,” katanya.

Mengakui bukan mudah melaksanakan transformasi sistem pendidikan, Najib memberi jaminan bahawa kerajaan, Kementerian Pendidikan dan beliau sendiri komited untuk mencapai semua matlamat dan aspirasi yang digariskan. - BERNAMA
 
2013/09/07 - Berita Harian                              

Thursday, 5 September 2013

TPM tinjau perkembangan Sekolah Amanah di Gelang Patah

Muhyiddin Yassin diiringi Mohamed Khaled Nordin (tiga dari kanan) melihat sesi pembelajaran di sebuah kelas ketika melawat SMK Gelang Patah, Johor, semalam.
 
NUSAJAYA 5 Sept. - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melawat Sekolah Menengah Kebangsaan Gelang Patah di sini yang merupakan salah sebuah daripada 13 buah sekolah terpilih menjadi Sekolah Amanah di negara ini.
Beliau yang juga Menteri Pendidikan meluangkan masa kira-kira sejam untuk meninjau keadaan dan prasarana sekolah tersebut selain menghadiri taklimat tertutup mengenai perkembangan dan pencapaian sekolah itu.
Sekolah Amanah adalah sekolah kerajaan atau bantuan kerajaan terpilih yang diurus secara usahasama oleh sektor swasta dan pentadbir-pentadbir sekolah di bawah naungan Kementerian Pendidikan.
Program tersebut diterajui oleh Yayasan Amir, sebuah yayasan di bawah Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) yang bertujuan meningkatkan pembangunan modal insan untuk melahirkan pemimpin masa hadapan.
Dari segi pengurusan sekolah pula, kementerian akan memberikan kebebasan kepada pentadbir, guru-guru dan pihak swasta dalam bidang-bidang tertentu seperti kurikulum, kewangan dan perolehan, pengurusan kakitangan serta carta aliran pelaporan di samping menyediakan garis panduan akauntabiliti bagi mengelak pertindihan tugas.
Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Pengarah Urusan Khazanah Nasional, Tan Sri Azman Mokhtar; Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Amir; Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim; Timbalan Pengerusi Khazanah Nasional, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Pengetua sekolah, Asmah Abdul Hamid;.
Sementara itu, Noor Rezan ketika ditemui pemberita berkata, perkembangan positif yang ditunjukkan oleh SMK Gelang Patah itu dari segi keputusan peperiksaan dan kedatangan pelajar ke sekolah nyata menggembirakan Timbalan Perdana Menteri.
"Timbalan Perdana Menteri memang nak datang dan melihat sendiri perkembangan Sekolah Amanah dan kebetulan beliau ada di sini, maka beliau meluangkan masa untuk melawat sekali gus mengetahui perkembangan sekolah tersebut yang berupakan antara 10 sekolah perintis bagi program ini," katanya.
Tambah Noor Rezan, antara intipati Sekolah Amanah yang dilancarkan pada tahun 2011 adalah memberi kemahiran kepada pelajar untuk berfikir, membina dan membuat keputusan selain mewujudkan suasana pembelajaran yang tidak berorientasikan peperiksaan semata-mata.
Beliau berkata, pihaknya turut merancang mewujudkan sekurang-kurangnya 15 lagi Sekolah Amanah di negeri ini termasuk dua sekolah yang sudah memberikan persetujuan iaitu Sekolah Kebangsaan Medini dan SMK Medini.
"Malah, sehingga kini kira-kira 10 syarikat swasta sudah menyatakan minat untuk menyertai program Sekolah Amanah tersebut dan ada juga alumni yang berminat untuk turut sama menyertainya," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130906/dn_02/TPM-tinjau-perkembangan-Sekolah-Amanah-di-Gelang-Patah#ixzz2e4WbiZTi
© Utusan Melayu (M) Bhd

Wednesday, 4 September 2013

Pembantu pentadbiran diwujudkan

Muhyiddin Yassin menjawab persoalan yang diajukan oleh Pengarah Eksekutif Operasi Berita dan Editorial Media Prima Berhad, Datuk Ahmad A. Talib dalam program Soal Jawab berhubung pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 - 2025 di studio TV3 Sri Pentas, Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor, semalam. - UTUSAN/MOHD. NAIM AZIZ

KUALA LUMPUR 4 Sept. - Sebanyak 10,000 jawatan pembantu pentadbiran akan diwujudkan di sekolah-sekolah seluruh negara bagi membantu meringankan beban guru dalam menjalankan tanggungjawab pentadbiran.
 
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, rancangan yang merupakan sebahagian daripada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 itu akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.
 
"Memang guru ada terasa beban dengan kerja-kerja pentadbiran tetapi itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab guru.
 
"Begitupun, antara langkah untuk mengurangkan beban ini adalah setiap sekolah akan dihantar seorang Pembantu Pentadbiran dan secara keseluruhannya seramai 10,000 kakitangan akan dihantar berperingkat-peringkat," katanya ketika menjadi tetamu dalam rancangan Soal Jawab TV3 di sini hari ini.
 
Menurut Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan, pelan yang mengambil tempoh dua tahun kajian itu sememangnya memberi penekanan besar kepada soal guru yang berkualiti dan berkemahiran.
Katanya, daripada 35,000 guru Bahasa Inggeris yang gagal mencapai tahap penguasaan penuh, sebanyak 5,000 guru telah diberikan latihan dan 10,000 guru lagi akan mengikuti latihan sama.
"Tidak hanya terbatas kepada guru Bahasa Inggeris, sebanyak 410,000 guru di seluruh negara akan dinilai dalam instrumen bersepadu," katanya.
 
Dalam pada itu, Muhyiddin memberitahu, PPPM akan memberi tumpuan untuk melonjakkan bidang matematik dan sains di samping melahirkan modal insan yang berkualiti.
 
"Kita mahu melahirkan pelajar cemerlang dari segi akademik dan kokurikulum serta ada perimbangan sahsiah diri dan budi pekerti, dengan kata lain, insan kamil yang lengkap serba-serbi," katanya.
 
Jelas beliau, PPPM dihasilkan menerusi pelbagai rundingan meja bulat, program hari terbuka dan telah menerima beribu-ribu memorandum daripada golongan pendidik, ibu bapa, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta segelintir golongan ekstrem.
 
"Dalam menyediakan laporan ini juga, kita mendapatkan pandangan pakar pendidikan dari Korea Selatan, Singapura dan Kanada serta pakar-pakar pendidikan tempatan," katanya.
Katanya, pelan yang mengambil tempoh kajian selama dua tahun itu meliputi segenap aspek termasuk dalam soal pendidikan vokasional, pendidikan Islam serta pendidikan khas untuk orang kurang upaya (OKU).
 
Tambahnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah memberi komitmen untuk menyokong sepenuhnya PPPM 2013-2025 yang akan dibentangkan Jumaat ini.
"Hanya dengan sokongan dan penglibatan semua pihak, baru kita dapat melihat hasil pelan ini dan dalam tempoh 13 tahun ini harus ada penambahbaikan dalam bidang pendidikan yang setara dengan negara-negara maju," katanya.

Oleh KAMIL MASLIH
pengarang@utusan.com.my
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130905/dn_01/Pembantu-pentadbiran-diwujudkan#ixzz2dymRKw5y
© Utusan Melayu (M) Bhd