Pages

Thursday, 17 October 2013

Port Dickson bercahaya, penuh aktiviti pelancongan

 

Orang ramai mengunjungi Dataran Muzium Tentera Darat, Port Dickson sempena Malam Pencahayaan Persiaran Pahlawan Bandar Tentera Darat dekat Port Dickson, baru-baru ini.
 





TELOK KEMANG 15 Okt. - Port Dickson bukannya 'bandar mati' tetapi sebuah bandar yang 'hidup' dengan kisah '1,001' macam peristiwa.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, adalah tidak benar persepsi yang menyatakan Port Dickson 'mati' pada waktu malam, tiada aktiviti dan kurang bercahaya sehingga tidak ramai yang datang ke bandar pelancongan ini pada waktu malam.
''Port Dickson tidak pernah 'mati'. Jika kita datang ke sini pada waktu malam, banyak aktiviti boleh dilihat. Setiap yang kita lihat itu ada pelbagai cerita.
''Yang terbaharu, kita 'hidupkan' Port Dickson dengan pencahayaan untuk memperlihatkan ia semakin bertenaga untuk dikunjungi pelancong," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Malam Pencahayaan Persiaran Pahlawan Bandar Tentera Darat di Dataran Muzium Tentera Darat, Port Dickson, dekat sini baru-baru ini.
Kata Mohamad, dengan konsep terbaharu itu bandar yang sebelum ini dipenuhi orang ramai pada waktu siang dan malam akan bertambah lagi tempat untuk dikunjungi selain wujudnya Waterfront PD.
Beliau turut berharap dengan adanya kawasan pencahayaan yang baharu itu pelancong akan melakukan riadah pada waktu malam sambil melihat persekitaran tentera darat.
''Kita telah menerima maklum balas daripada pengurusan tentera darat di sini untuk mengisi program pada waktu malam tertentu supaya dapat memberi nilai tambah kepada usaha pencahayaan yang dilakukan ini," katanya.
Jelas beliau, salah satu yang dicadangkan ialah membolehkan pelancong melihat tradisi ketenteraan pada majlis penamatan tugas pukul 10.30 malam selain upacara menaikkan bendera dan istiadat yang lain.
''Pelbagai acara akan disusun untuk menjadikan produk pelancongan berasaskan ketenteraan ini mendapat sambutan baik selain Muzium Tentera Darat yang tersedia ada ini," tegas beliau.



Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Selatan/20131016/ws_03/PD-bercahaya-penuh-aktiviti-pelancongan#ixzz2hyHwBvoa
© Utusan Melayu (M) Bhd