Pages

Monday, 9 June 2014

Stresnya masuk bandaraya Melaka...

 
BANDARAYA MELAKA - Sesuatu yang menyeronokkan apabila membawa keluarga bersiar-siar di Bandaraya Melaka setiap kali cuti hujung minggu. Di samping boleh mengunjungi pelbagai tempat menarik, ia juga sebagai salah satu cara menghabiskan masa bersama keluarga dengan kegiatan berfaedah.

Namun, keseronokan itu pasti bertukar sesuatu yang membosankan apabila percutian tidak seperti diharapkan. Bayangkan, anda terpaksa menghabiskan masa berjam-jam dalam kereta akibat kesesakan lalu-lintas di tengah bandaraya, selain masalah parkir.

Akhirnya, percutian anda menjadi sia-sia, sekali gus menyebabkan usaha kerajaan negeri mahu menaikkan jumlah pelancong, terjejas. Masalah itu bukan isu baru. Bahkan, orang luar juga seolah-olah sudah tahu masalah kesesakan di kota pelancongan itu. Tidak hairanlah apabila ada yang berkata "Malaslah hendak pergi ke Melaka. Bila cuti, mesti jem teruk" sekali gus menunjukkan sesuatu perlu dilakukan segera.

Tidak seperti dulu

Tinjauan Sinar Harian di sekitar Bandaraya Melaka semalam, turut mendapati jalan-jalan utama penuh kenderaan bermula sejak Jumaat lagi. Keadaan lebih meruncing pada Sabtu dan Ahad sehinggakan ada pengunjung terpaksa mengambil masa beberapa jam ke destinasi pilihan. Seorang pengunjung, Kamardi Samsur, 35, Melaka sememangnya menjadi pilihannya untuk bercuti bersama isteri dan anak-anak.

Bagaimanapun, katanya, dibandingkan dua tahun lalu, keadaannya sudah jauh berubah apabila dibebani masalah kesesakan lalu-lintas “Pembangunan di Melaka amat membanggakan tetapi kesannya kami berdepan kesesakan lalu-lintas kerana terlalu ramai datang ke sini.

“Kalau dulu hendak ke satu destinasi hanya mengambil masa beberapa minit saja, tapi sekarang dua, tiga jam pun belum tentu, masih di dalam kereta,” katanya yang menginap di sebuah hotel di Bukit Cina. Kamardi berkata, perjalanan dari hotel ke Bandar Hilir juga mengambil masa lama kerana kesesakan.

“Malam kelmarin (Jumaat) pun sama, kami tersekat hampir satu jam ketika ke Bandar Hilir. Mungkin sekarang musim cuti sekolah, pengunjung lebih ramai dari biasa,” katanya yang datang dari Selangor. Bagi Miskiah Ngadeni, 43, pula, sepanjang dua hari berada di Melaka, dia terkejut keadaan lalu-lintas sangat sesak dan hampir menyamai di bandaraya Kuala Lumpur.

“Ingatkan apabila pulang ke Melaka dapatlah elak dari jam. Tapi, terpaksa melalui perkara sama," katanya. Menurut pengunjung dari Perak ini, dia selalu ke Melaka tetapi mereka tidak pernah terlepas daripada kesesakan lalu-lintas di negeri ini.

Seorang lagi pengunjung, Abdul Rauf Buyong, 48, berkata, dia terpaksa keluar lebih awal untuk mengelakkan kesesakan lalu-lintas. "Saya keluar seawal jam 9 pagi untuk ke Bandar Hilir untuk mengelakkan kesesakan," katanya.

Sebagai orang luar, katanya, dia berharap kerajaan negeri dan pihak berkaitan cuba mengatasi masalah ini. “Memang sukar nak elakkan kesesakan lalu-lintas, tetapi mungkin pihak berkenaan boleh cari jalan mengurangkannya khususnya di waktu hujung minggu dan cuti-cuti am.

“Bahkan pihak berkuasa seperti polis boleh bertugas mengawal lalu-lintas di kawasan yang telah dikenal pasti. “Mungkin dengan cara ini dapat memudahkan pengunjung untuk ke destinasi pilihan dan mengurangkan kesesakan di sini,” katanya yang memberitahu waktu malam di Melaka dilihat lebih sesak berbanding siang.

Pihak berkuasa perlu main berperanan

Pendapat sama turut dirasai seorang pemandu teksi dikenali sebagai Ismail, 46, yang mengharapkan pihak berkuasa supaya lebih tegas terhadap pengguna jalan raya. “Musim cuti memang menjadi masalah besar di Melaka kerana jalan raya penuh dengan kenderaan.

“Ia menjadi lebih teruk apabila ada pengguna jalan raya berani meletakkan kenderaan di bahu jalan. Ini juga antara penyebab kepada kesesakan lalu-lintas di sini,” katanya. Dia yang sudah 10 tahun menjadi pemandu teksi di Melaka turut mengakui berdepan kesesakan lalu-lintas.

“Jika dulu dari Bandar Hilir ke Melaka Sentral hanya mengambil masa 20 minit tetapi sekarang hampir satu jam setengah. “Masalah ini tidak akan berkurangan jika tiada tindakan tegas pihak berkuasa. Walaupun pengguna kereta semakin bertambah tetapi perlu ada jalan untuk menyelesaikan perkara ini.

“Saya yakin pelbagai alternatif boleh diambil untuk memastikan kesesakan di sini lebih terurus,” katanya yang turut menambah parkir berlapis menyumbang kepada kesesakan lalu lintas. Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Zali Mat Yasin berkata, setakat ini pihaknya sedang mengemas kini sistem lampu isyarat di bawah kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

“Lampu isyarat turut memainkan peranan apabila kesesakan lalu-lintas berlaku. Apabila lampu menyala terlalu lama, ia akan menyebabkan kereta lebih banyak berhenti dan menunggu masa panjang untuk bergerak kembali.

"Jadi kita cuba tukarkan kepada sistem automatik untuk mengawal kesesakan berlaku,” katanya semua lampu isyarat di bawah MPHTJ bermula dari Tol Ayer Keroh sehingga ke persimpangan Peringgit akan dikemas kini.