Setiap negeri laksana model pendidikan Islam mulai tahun depan
Kuala Lumpur: Model pendidikan Islam, Ulul Albab, akan diperluaskan ke seluruh negara tahun depan dengan sasaran awal sebuah sekolah di setiap negeri.
Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata empat sekolah agama bantuan kerajaan di Terengganu, sudah diangkat sebagai model perintis bagi tujuan itu.
Kuala Lumpur: Model pendidikan Islam, Ulul Albab, akan diperluaskan ke seluruh negara tahun depan dengan sasaran awal sebuah sekolah di setiap negeri.
Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata empat sekolah agama bantuan kerajaan di Terengganu, sudah diangkat sebagai model perintis bagi tujuan itu.
Sistem yang menekankan keseimbangan antara pengajian akademik dan pendidikan Islam itu, katanya, mensyaratkan semua pelajar menamatkan hafazan al-Quran, sebelum menamatkan persekolahan peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Ini tuntutan sebahagian besar masyarakat Islam negara kita.
Bentuk pelajar cemerlang
“Diharapkan, sistem pendidikan ini dapat membentuk pelajar cemerlang dari konteks akademik serta memiliki pengetahuan dan penghayatan agama Islam yang tinggi," katanya dalam ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO, semalam.
Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata, keampuhan pendidikan Islam sebagai asas dan teras dalam kehidupan akan memberi pengaruh serta kesan yang amat besar pada keseluruhan umat Islam.
Mengulas lanjut beliau menyarankan, pendidikan Islam sepanjang hayat wajar menjadi wadah utama untuk ilmu dan kefahaman agama itu disebarkan secara meluas.
“Dalam perbincangan saya bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kita akan meluaskan peranan 85 Kolej Komuniti yang ada sekarang. Bukan saja Kolej Komuniti Islam, tetapi kolej komuniti sedia ada akan diintegrasikan dalam program khas untuk dilaksanakan secara menyeluruh,” katanya.
Kerajaan tegasnya, tidak pernah berdolak dalik dalam melaksanakan semua perakuan yang dibuat dalam Pelan Pendidikan Malaysia demi manfaat semua rakyat.
“Tujuan dan matlamat yang digariskan dalam pelan, angkat martabat masyarakat ke satu kedudukan tinggi menerusi sistem pendidikan kita,” katanya.
Sementara itu, katanya, kerajaan akan memperhalusi cadangan supaya mahasiswa Bumiputera yang tidak memperoleh ijazah kelas pertama turut diberi insentif pemotongan pinjaman atau biasiswa Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Katanya, kerajaan sentiasa melakukan proses penambahbaikan PTPTN secara berterusan supaya bertambah lestari dan berkekalan untuk jangka masa panjang.
Muhyiddin berkata, Sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dijangka dilaksanakan secara lebih berkesan pada April tahun depan bagi mengelak ia menjadi bebanan kepada guru.
“Apa yang jadi masalah bukan dasar tetapi pelaksanaannya menjadi bebanan kepada guru. Saya yakin perkara ini akan diteliti kita atasi dengan sebaiknya. Saya sudah arahkan kementerian supaya membaiki sistem akses maklumat berkenaan,” katanya.
Berita Harian 2013/12/08