Pages

Wednesday, 4 September 2013

Hentikan manipulasi pemain hartanah, punca rakyat gagal miliki rumah

 

MANIPULASI dan dominasi pemain (ejen) sektor hartanah antara gejala utama yang menyebabkan pekerja berijazah gagal memiliki rumah walaupun setelah bekerja selama 10 tahun.
 
Khamis lalu, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim mencadangkan supaya bayaran muka pembelian rumah dilupuskan bagi mengurangkan beban orang ramai khususnya golongan muda untuk memiliki sebuah rumah sendiri memandangkan harganya yang semakin mahal.
 
Presiden Majlis Belia Selangor itu mungkin sudah banyak mendengar rintihan dan rungutan generasi muda termasuk golongan berijazah tentang nasib dan kesukaran mereka untuk memiliki rumah sendiri.
 
Berdasarkan harga rumah di Kuala Lumpur dan bandar-bandar baharu di pinggir ibu kota yang ditawarkan oleh pemaju, golongan muda sukar untuk membelinya memandangkan gaji bulanan mereka tidak mencukupi.
 
Rumah kos sederhana rendah dan menengah yang berharga antara RM200,000 hingga RM300,000 yang menjadi sasaran pekerja berijazah, sebenarnya dikuasai dan dimonopoli oleh pemain sektor hartanah.
 
Irmohizam memberitahu Utusan, dengan gaji bersih antara RM3,000 hingga RM5,000, kemampuan pekerja berijazah hanya menyasarkan rumah kos sederhana sebagai rumah mampu milik, namun kegagalan memiliki wang bayaran muka dan guaman menyebabkan peluang mereka dirampas.
 
Mereka yang memiliki pendapatan bersih antara RM20,000 dan RM25,000 sebulan, pelaburan paling menarik ialah membeli rumah kos sederhana bagi mendapat keuntungan bulanan dan margin jualan yang tinggi sebagai satu pelaburan masa depan.
Persekitaran industri sekarang, pihak bank akan meluluskan pinjaman bagi rumah kedua, ketiga malah keempat, bagi kumpulan berpendapatan tinggi untuk memiliki rumah kos sederhana dengan kadar bayaran antara RM800 hingga RM1,300 sebulan.
 
Menarik kaji selidik Irmohizam bahawa rumah-rumah tersebut akan disewa dengan kadar bulanan antara RM1,300 hingga RM2,000, sekali gus membolehkan pemilik rumah mendapat keuntungan bulanan dan mengggunakan wang sewaan sebagai bayaran ansuran kepada bank.
 
Malah kadar kenaikan harga rumah yang tinggi setiap tahun, membolehkan pemain hartanah ini mengaut keuntungan ratusan ribu ringgit apabila menjual semula rumah tersebut selepas lima tahun.
 
Oleh itu ada kewajaran cadangan Ahli Parlimen Kuala Selangor itu supaya bayaran muka bagi membeli rumah terutama bagi pekerja berijazah di bawah 35 tahun dihapuskan dan pada masa yang sama caruman 10 peratus daripada akaun kedua Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dikeluarkan untuk tujuan menanggung kos guaman elok disokong.
 
Misalnya, untuk pinjaman rumah RM180,000 hingga RM300,000, kos guaman yang dikenakan ialah sekitar RM7,000 dan bayangkanlah pembeli perlu menanggung dua kos guaman iaitu satu bagi perjanjian pembelian dengan pemaju, satu lagi penjanjian pinjaman dengan bank.
 
Kita sokong idea pemimpin muda ini. Sudah sampai masanya kerajaan menghalang monopoli dan dominasi pemain hartanah dengan menjadikan syarat pembelian rumah kos sederhana dikhaskan kepada pekerja bergaji antara RM3,000 hingga RM5,000 sahaja.
 
Agak menghairankan, walaupun di atas kertas, pembinaan rumah kos sederhana banyak dibangunkan, namun projek ini sebenarnya menjadi lubuk pemain hartanah mengaut untung dengan membeli dan menyewakan rumah tersebut kepada kumpulan sasaran mereka iaitu pekerja berijazah yang tidak mampu memiliki rumah.
 
Mesej Irmohizam; “Biarlah pemain sektor hartanah bermain di kawasan pelaburan yang lain, kita perlu kawal pelaburan hartanah terutama rumah kos sederhana, supaya pekerja muda kita mampu memiliki rumah sendiri.”
 
Barangkali bertuah pekerja muda sekarang yang ibu bapa mereka telah membeli dan memiliki dua atau tiga buah rumah ketika harganya mampu dibeli. Bolehlah mereka menyambung bayaran dan mendudukinya.
 
Bagaimana nasib golongan lain, kedudukan mereka ‘parah’ dan entah bila mampu untuk membeli rumah dengan harga yang mendadak naik sejak lima tahun lalu.
Sesuatu perlu dilakukan kerajaan, dan tidak membiarkan pemain hartanah bermaharajalela.
Sumber: Utusan Melayu (M) Bhd