Pages

Thursday, 7 February 2013

PD Waterfront jelmaan baharu industri pelancongan

TELOK KEMANG 30 Jan. - Kejayaan dalam fasa pertama projek PD Waterfront menyakinkan pemajunya, TSR Capital Bhd. (TSR) untuk terus membangunkan kawasan komersial di Port Dickson sebagai nadi baharu kepada sektor pelancongan berimpak besar.
Walaupun kawasan yang dahulunya 'mati' berikutan kemerosotan ekonomi dan terbiar tanpa kemajuan ia kini berubah landskap menjadi 'permata dalam denyut pembangunan' Port Dickson dengan pelaburan berjumlah RM1 bilion.
Pengerusi TSR Capital, Tan Sri Mohamad Noor Rahim berkata, ketika ini, beberapa unit komersial sudah memulakan operasi dan kini menjadi pilihan pengunjung.
"Antara yang membuka perniagaan termasuklah restoran makanan Korea, Thailand, Jepun serta kedai makanan segera, kedai kek, bistro, masakan tempatan, kopitiam dan banyak lagi.
"Saya percaya ini akan menjadi daya tarikan dalam aspek promosi bukan hanya kepada rakyat tempatan malah pengunjung dan pelancong dari luar negara," katanya di sini baru-baru ini.
Menurut beliau, kawasan itu juga dibangunkan dengan hotel dan bank komersial di bahagian hadapan menghadap laut sekali gus menjadi daya penarik kepada pengunjung.
"Fasa kedua dan ketiga dalam projek ini meliputi pembinaan hotel komersial, sekolah antarabangsa, hospital swasta, pusat konvensyen serta kediaman dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh lapan tahun dari sekarang," ujarnya.
Kata Mohamad Noor, projek itu apabila siap kelak akan menarik lebih ramai ahli perniagaan untuk melabur selain menjadi tarikan besar kepada orang ramai.
"Ini juga akan memberi peluang yang baik kepada penduduk di Port Dickson dan negeri ini apabila banyak pekerjaan disediakan selain pelbagai aktiviti dan sambutan boleh diadakan di sini dengan kapasiti yang lebih besar," katanya.
Jelasnya, walaupun TSR Capital menjalankan aktiviti asalnya dalam sektor pembinaan, ia kini memperluaskan skop perniagaan secara beransur-ansur dalam pembangunan hartanah.
"Beberapa lagi syarikat francais popular dijangka membuka perniagaan di kawasan PD Waterfront itu di bawah projek pembangunan fasa kedua ini.
"Di PD Waterfront ini akan turut memperlihatkan penyertaan lebih banyak bank komersial yang akan membuka operasi mereka selain beberapa kedai makanan segera sebaik fasa kedua siap kelak," katanya.
Dalam masa sama, Mohamad Noor optimis apabila siap kelak, PD Waterfront akan menjadi imej baharu kepada bandar pelancongan itu.

Utusan Malaysia Jan 2013.