Pages

Tuesday, 4 March 2014

Demonstrasi bakar semangat


ADEGAN letupan bom antara demonstrasi yang diadakan oleh Angkatan Tentera Malaysia bagi mengimbas kembali operasi Lahad Datu, Sabah sempena Hari Tentera Darat Ke-81 di Pantai Saujana, semalam. - utusan/KHAIRUL NAJIB ASARULAH KHAN
TELOK KEMANG 2 Mac - Peranan dan tanggungjawab Angkatan Tentera Malaysia (ATM) lebih jelas tergambar apabila demonstrasi keupayaan tentera dipamerkan kepada umum sempena sambutan Hari Tentera Darat ke-81 yang berlangsung di Pantai Saujana, Batu 4, Port Dickson, dekat sini, hari ini.
Demonstrasi tersebut turut disaksikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.
Pengunjung, Sakuan Md Deli, 65, berkata, sambutan yang turut melibatkan masyarakat awam itu secara tidak langsung memberi pendedahan kepada orang awam terhadap skop kerja tentera.
''Mereka bukan sahaja sanggup berkorban tenaga malah nyawa bagi mempertahankan negara daripada ancaman pihak tidak bertanggungjawab.
''Selepas melihat demonstrasi yang dipersembahkan, ia amat menyentuh setiap jiwa yang cintakan negara sekali gus menaikkan semangat bagi memastikan kedaulatan negara sentiasa terjamin," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.
Bagi, Najatul Haya Razali, 43, program sedemikian secara tidak langsung mendekatkan lagi jurang di antara ATM dengan masyarakat.
''Kita dapat memahami serta mendalami tugasan tentera yang berperanan menjaga keamanan negara.
''Pengorbanan dan kesetiaan mereka perlu dipuji malah ia turut dapat mendidik anak-anak apabila pertunjukkan sebegini dipersembahkan kepada umum.
''Ini secara tidak langsung, dapat mendidik mereka dalam menghargai serta meminati bidang ketenteraan ini," katanya.
Ibrahim Yahya, 60, berkata, dia berkunjung ke Port Dickson hari ini semata-mata ingin melihat demonstrasi tersebut.
"Saya tahu mengenai sambutan Hari Tentera Darat ini melalui siaran radio dan terus merancang bersama keluarga untuk meluangkan masa menghadiri sambutan yang menyediakan pelbagai aktiviti berhubung ketenteraan.
''Saya juga menyarankan anak untuk memasuki bidang ini dan berasa bangga jika berupaya menyarung uniform kelak," jelasnya yang datang dari Pulau Pinang


Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Selatan/20140303/ws_01/Demonstrasi-bakar-semangat#ixzz2uzcoCYMN
© Utusan Melayu (M) Bhd