Pengarah Eksekutif Tanco Holdings Bhd, Chan Chee Meng, berkata projek yang akan dikenali sebagai Splash Park Serviced Suites itu mampu menarik lebih ramai pelancong ke Port Dickson, sekali gus menjadikannya sebagai destinasi pelancongan pilihan pada masa akan datang.
Struktur kapal dalam air
Katanya, taman tema air yang dijangka siap pada awal 2015 itu akan turut dilengkapi dengan struktur kapal dalam air terbesar di Malaysia, hotel, resort, restoran dan kedai runcit.
Pembangunan Splash Park ini akan melengkapi kemudahan lain yang sudah sedia ada di dalam kawasan Palm Springs Resort termasuk Kelab Golf Diraja Palm Springs, Club Village dan taman ekstrem, katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis memeterai Perjanjian Pengurusan Hospitaliti dengan Impiana Hotels and Resort Management Sdn Bhd (IHRM). Pada majlis itu, Tanco Holdings diwakili oleh Chee Meng, manakala IHRM diwakili oleh Pengarah Eksekutif Strategi Korporat dan Operasi Hotel IHRM, Francis Hung.
Menerusi perjanjian itu, IHRM dilantik bagi mengurus dan mengendalikan resort suite servis di Splash Park Serviced Suites.
Mengulas lanjut mengenainya, Chee Meng berkata pihaknya memilih IHRM kerana yakin dengan kemampuan syarikat berkenaan yang mempunyai pengalaman luas dan kepakaran dalam mengurus dan mengendali hotel resort di Malaysia dan di rantau ini, selain pernah memenangi pelbagai anugerah.
Dengan pengalaman luas sebegini, kami yakin IHRM bukan saja mampu menaikkan standard dan nama Splash Park Serviced Suites, malah mampu konsisten mengekalkan pulangan sewa untuk resort ini pada masa akan datang, katanya.
Sementara itu, Hung berkata, dengan perjanjian itu, ia menyaksikan bilangan kunci yang dimiliki Impiana meningkat dengan ketara sebanyak 66 peratus kepada 2,000 daripada 1,200.
Berita Harian 30 Ogos 2013: Ekonomi