KUALA LUMPUR 25 Feb. — Sambutan Hari Tentera Darat ke-80 yang bakal mempamerkan lebih 100 aset dan kenderaan pelbagai jenis dalam inventori tentera darat, buat julung kalinya akan diadakan di Port Dickson, Negeri Sembilan pada Sabtu ini.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin berkata, pemilihan Port Dickson tahun ini adalah kerana ia merupakan tempat bersejarah bagi Tentera Darat kerana di situ lahir Briged Pertama Tentera Darat iaitu pada 1 Mac 1933 dengan pelantikan 25 anak Melayu oleh tentera British.
Selain itu, lebih 50 peratus penduduk di Port Dickson terdiri dari anggota tentera termasuk pesara yang telah membantu mengembangkan ekonomi kawasan tersebut, katanya dalam satu wawancara khas bersama media sempena Sambutan Ulang Tahun ke-80 Tentera Darat di Wisma Transit di sini hari ini.
Zulkifli berkata, sambutan Hari Tentera Darat kali ini juga akan mengetengahkan lebih 4,000 anggota mewakili 16 Kor dalam Tentera Darat yang akan membuat perbarisan dan perarakan di Dataran Tentera Darat, Port Dickson, Bandar Tentera Darat, Negeri Sembilan.
Acara tersebut bakal menampilkan Skuadron Istiadat Berkuda (SIB), Anjing Perang dari Pusat Latihan Tempur TD (PULADA), Lintas Hormat Pesawat Pasukan Udara TD (PUTD), penyertaan kontinjen dari anggota Veteran dan lain-lain lagi, katanya.
Katanya, tema sambutan ini ialah "80 tahun Perkhidmatan Diutamakan" yang sejajar dengan konsep 1Malaysia.
Sempena sambutan Hari Tentera kali ini, perbarisan Hari Tentera Darat di Dataran Panglima Tentera Darat di Kem Perdana Sungai Besi akan turut diadakan.
Pada majlis itu, Zulkifli turut melancar sebuah drama mengenai peperangan berjudul Kemboja di Laman Chin Peng yang akan disiarkan di saluran TV RTM sempena Hari Tentera pada pada pukul 9 malam, Jumaat ini.
"Drama itu adalah untuk memperingati sejarah perjuanganAllahyarham Leftenan Adnan dan mendiang Datuk Temenggong Kanang anak Langkau kepada negara. Ia menceritakan semula pengalaman sebenar semasa perang," katanya. - BERNAMA
Utusan Malaysia 26 Februari 2013.