Pages

Monday, 18 February 2013

Karnival Wow! promosi keunikan Putrajaya datang lagi

PUTRAJAYA 6 Feb. - Karnival Wow! Putrajaya 2013 akan kembali menemui orang ramai pada 28 Februari hingga 3 Mac ini bertemakan Undiscovered Jewel.
Karnival anjuran Perbadanan Putrajaya (PPj) itu bertujuan mempromosikan keistimewaan dan keunikan Putrajaya yang berpotensi menjadi destinasi pelancongan menarik di dunia.
PPj dalam kenyataannya memberitahu, selain mempromosikan Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, penganjuran Karnival Wow! juga bersempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan.
''Kita juga mahu mempromosi Putrajaya sebagai destinasi pelancongan terunggul serta badan raya bersemangat dan bertenaga,'' kata kenyataan itu.
Bertempat di Laman 1Malaysia, Presint 2, pelbagai acara menarik telah diatur untuk mengisi permintaan orang ramai berikutan sambutan hangat Karnival Wow! pertama yang diadakan pada tahun lepas.
Pertunjukan bunga api, konsert Wow! Putrajaya, peluang menaiki helikopter, sukan lasak 4 x 4 dan belon panas antara acara yang ditunggu-tunggu oleh pengunjung.
Selain itu, pelbagai pertandingan turut diadakan sesuai dengan pengunjung pelbagai peringkat umur serta penyertaan pasukan keselamatan negara seperti Polis Diraja Malaysia.
Pencarian Bintang Wow! juga akan dilangsungkan bagi memeriahkan suasana serta mencungkil bakat terpendam di kalangan pengunjung yang gemarkan aktiviti karaoke.
Turut dianjurkan sukaneka kanak-kanak, pameran pelancongan cuti-cuti Malaysia, showcase Upin & Ipin, serta lawak Wow! yang akan membariskan pelawak terkenal seperti Shuib Sepahtu, Abon dan Jambu.
Karnival Wow! Putrajaya 2013 akan dirasmikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin pada 28 Februari ini.

Utusan Malaysia 7 Februari 2013.