Pages

Monday 18 February 2013

Port Dickson Pantai Peranginan Negara

MOHAMAD Hasan bersama sebahagian pegawai serta anggota tentera dan isteri selepas menyampaikan replika cek bernilai RM467,500 pada Majlis Makan Malam bersama Tentera di kediaman rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan, kelmarin.

SEREMBAN 8 Mei - Kawasan Port Dickson akan terus dibangunkan sebagai Pantai Peranginan Negara tanpa meninggalkan entiti bandar tersebut sebagai Bandar Tentera Darat.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, usaha pembangunan tersebut telah diputuskan sebagai dasar kerajaan negeri dan ia diharap dapat membantu memartabatkan organisasi ketenteraan negara sekali gus menambah kunjungan orang ramai ke negeri ini.
''Kita akan pastikan supaya kawasan bandar Port Dickson ini akan dijadikan sebagai dua entiti yang terkemuka termasuklah menjadikan bandar itu sebagai Pantai Peranginan Negara selain Bandar Tentera Darat.
''Ini merupakan satu usaha yang dilakukan oleh kerajaan dalam mengangkat martabat pasukan keselamatan ini dan sudah pastinya juga menambah kunjungan orang ramai ke negeri ini," katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap pada Majlis Makan Malam bersama Tentera di kediaman rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan di sini semalam.
Hadir sama Asisten Ketua Staf Bahagian Perkhidmatan Anggota Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Mejar Jeneral Datuk Abdul Aziz Ibrahim dan Panglima Tiga Divisyen Infantri, Mejar Jeneral Datuk Razali Ahmad.
Pada majlis tersebut, Mohamad turut menyampaikan sumbangan kerajaan negeri kepada 48 pasukan di bawah naungan Satu Briged.
Sementara itu, Menteri Besar turut melahirkan rasa terima kasih kepada pasukan tentera yang telah memberikan kerjasama dan bantuan kepada kerajaan negeri bagi memastikan keamanan dan kesejahteraan rakyat.
Ia termasuk bantuan tenaga ketika negeri ini menghadapi bencana banjir terutama di daerah Tampin dan daerah kecil Gemas, awal tahun lalu.