BERSANTAI bersama keluarga di tepi pantai pada waktu malam adalah aktiviti yang sangat mengujakan. Suasana damai dan tenang bertemankan panorama malam merupakan nikmat yang tidak mampu diluahkan dengan kata-kata.
Sebab itulah, ramai orang mencari masa terluang untuk melakukan aktiviti itu terutama ketika musim cuti sekolah atau hujung minggu.
Ia bukan sahaja dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim, malah ia boleh menenangkan fikiran daripada bebanan sewaktu bekerja.
Tinjauan S2 di Pangkalan Nelayan Batu Empat, Port Dickson, Negeri Sembilan baru-baru ini mendapati, menjelang detik 12 malam, ternampak kelibat pengunjung di sekitar pantai peranginan itu menikmati keindahan alam ketika bot-bot nelayan meninggalkan jeti bagi mencari hasil tangkapan ikan.
Pengunjung, Md. Sidek Md. Yunus, 42, berkata, beliau berpuas hati kerana pantai di situ bersih dan layanan yang diberikan penduduk tempatan amat mesra.
"Pelbagai aktiviti dijalankan di sini termasuk memancing, menangkap kerang dan ketam," katanya yang datang bersama keluarga.
Tambahnya, mereka yang terlibat dengan aktiviti memancing ini perlu banyak bersabar kerana bukan setiap hari akan membawa pulang hasil lumayan.
"Sebab itulah, bukan semua orang suka memancing atau gemar menangkap kerang dan ketam. Orang lebih suka makan, daripada menangkapnya sendiri.
"Pada masa sama, ramai juga yang baru terlibat dengan aktiviti ini berkongsi pengalaman memancing atau menangkap kerang. Ada juga yang membawa keluarga dan selepas hasil tangkapan diperoleh, mereka akan menikmatinya bersama-sama di tepi pantai," katanya.
Seorang lagi pengunjung, Abdul Shukor Rashid, 44, berpendapat, kemudahan asas yang ada menjadikan kawasan itu sesuai aktiviti keluarga.
"Kita bukan sahaja boleh memancing malah menikmati keindahan alam sambil menghirup udara laut yang segar.
"Lokasi ini juga tidak jauh dari pekan, jadi mudah untuk keluar membeli barang atau menjamu selera jika perut berasa lapar," katanya yang datang dari Keratong, Pahang.
Sementara itu, seorang pelajar, Nor Shamrymie Abdul Ghani, 17, berkata, kawasan pelancongan itu sentiasa dijaga dengan rapi.
"Bagaimanapun, saya harap pihak berkuasa mengambil serius soal kebersihan dan penyenggaraan kemudahan di sini supaya ia tidak menjejaskan imej pantai peranginan berkenaan," tegasnya.
Nor Shamrymie juga mencadangkan supaya perkhidmatan bot nelayan digunakan untuk membawa pelancong memancing di tepi pantai kerana ia pastinya menyeronokkan.
Utusan Malaysia 7/4/2012