Pages

Thursday 7 March 2013

Potensi Chuah, Port Dickson dalam pelancongan

Tempat istirahat dan bersantai yang disediakan untuk penduduk dan pelancong yang mengunjungi Sungai Nipah di Port Dickson, Telok Kemang.
 
TELOK KEMANG 18 Feb 2013. - Chuah yang terletak di Mukim Jimah, Port Dickson dekat sini mempunyai potensi yang sangat besar dalam bidang pelancongan terutamanya yang berkaitan dengan alam sekitar.
Tumbuhan semula jadi seperti pokok bakau dan aktiviti penternakan ikan sangkar oleh para nelayan di kawasan berkenaan memberikan daya tarikan yang tersendiri.
Kerajaan negeri juga mempunyai rancangan untuk membangunkan muara Sungai Bawah, Bukit Pelandok sebagai kawasan pelancongan pada masa hadapan.
Kerajaan juga tidak mengamalkan pilih kasih dalam melaksanakan projek pembangunan di kawasan yang dikuasai parti pembangkang.
Ini terbukti apabila pelbagai infrastruktur telah dan sedang dibina di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chuah yang dimenangi DAP pada pilihan raya umum lalu.
Ketua MCA Telok Kemang, Yit Lee Kok memberitahu, rakyat kawasan itu sering berjumpa dengan beliau bagi membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk.
"Ini disebabkan segala aduan yang dibuat mereka kepada pembangkang tidak dapat diselesaikan dengan sempurna.
"Bagi menjamin keselesaan dan keselamatan penduduk, kerajaan telah menjalankan pelbagai pembangunan di kawasan ini sejak lima tahun lalu," ujarnya.
Antaranya, kata beliau, sebanyak 90 peratus jalan raya di bawah kawasan operasi Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) dan sebanyak 50 peratus jalan kawasan pejabat daerah telah diturap.
Menurutnya, kerajaan juga telah membina tiga pintu gerbang di Sungai Nipah, Tanah Merah Site A dan Tanah Merah Site C yang mana peruntukan pembinaan itu diterima daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Tambahnya, sebanyak tiga projek juga telah dilaksanakan di Sungai Bawah iaitu menambak tanah dari jeti hingga ke jalan berhampiran bagi mengelak banjir, pembinaan jeti nelayan dan menyalurkan bekalan elektrik dengan mendirikan 13 tiang dengan memasang tujuh lampu jalan.
"Ini semua bagi memudahkan urusan harian penduduk di kawasan ini yang mana majoritinya terdiri daripada para nelayan," katanya.
Lee Kok berkata, pintu air juga sedang dibina dengan lebih besar dan akan mempunyai fungsi automatik.
"Pintu air yang sedia ada adalah secara manual dan kecil yang menyebabkan banjir sewaktu hujan lebat. Projek ini telah bermula pada 1 Februari dan dijangka siap sebelum 31 Disember tahun ini," katanya.
Beliau memberitahu, sebanyak RM280,000 telah diperuntukkan Kementerian Pelancongan untuk menaik taraf dan membina wakaf untuk Inap desa Pachitan.
Tambahnya, kerajaan negeri dan Pusat sentiasa mengutamakan rakyat dalam menjaga kebajikan mereka.
"Lihatlah pelbagai projek yang telah dilaksanakan dalam tempoh tersebut. Rakyat seharusnya faham kebajikan mereka akan lebih terbela dengan kepimpinan kerajaan yang sedia ada," katanya.

Utusan Malaysia