Pages

Thursday 14 March 2013

Pusat Penetasan Penyu Port Dickson

TELOK KEMANG 13 Mac 2012 - Pantai Port Dickson dari Glory Beach Resort (GBR) dekat sini hingga ke sempadan Melaka dikenal pasti sebagai pusat mendarat penyu spesies karah untuk menetaskan telurnya.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Adat Istiadat Melayu negeri, Datuk Muhammad Razi Kail berkata, berikutan itu, pengunjung boleh menjadi ejen untuk memaklumkan perkara berkenaan di Pusat Penetasan Penyu GBR untuk pengasingan dan pengeraman.
''Ini bagi memastikan spesies penyu karah tidak pupus dan pada masa yang sama menggalakkan kawasan pantai berkenaan sebagai pilihan penyu untuk penetasan telur," katanya kepada pemberita selepas melepaskan penyu di GBR, dekat sini semalam.
Katanya, usaha akan dirancang kerajaan negeri untuk mewujudkan sebuah pusat penerangan eko pelancongan berkaitan penyu dan lainnya di Port Dickson ini sebagai medan maklumat kewujudan reptilia berkenaan.
Penyu karah juga dikenali sebagai penyu sisik dan pengecamannya mudah dengan susunan kulit badannya yang bertindih menampakkan seperti bersisik dan berwarna coklat tua atau kuning dan coklat.
Seperkara lagi, kata Muhammad Razi, bentuk mulutnya menyerupai paruh burung helang, manakala saiz badannya sederhana dan saiz cengkerangnya antara 70 hingga 90 sentimeter dengan berat badannya boleh mencapai sehingga 75 kilogram.
"Musim bertelur adalah antara Mac hingga Jun dengan jumlah telur sebanyak 90 hingga 120 biji. Telurnya bulat, kulit lembik dengan garis pusat 2.5 hingga 3.5 sentimeter," katanya.
Muhammad Razi berharap, selepas 45 hari telur dieram, ia akan dapat ditetaskan di pusat berkenaan sebelum dilepaskan kembali ke laut.
''Kita bukan sahaja mahu menjaga spesies ini daripada pupus, tetapi mendidik orang ramai terhadap pentingnya menjaga kehidupan laut ini serta tidak memusnahkannya, jika ia ditemui mendarat di pantai ini," katanya.
Oleh itu, katanya, orang ramai perlu menyelamatkan penyu karah yang mendarat untuk menetaskan telurnya di sini dan tidak menjual telur itu untuk tujuan lain

Utusan Malaysia