Pages

Monday 16 December 2013

Kuah kari Deen menyengat


Aromanya saja sudah membuatkan perut yang berkeroncong semakin kuat bunyinya. Inikan pula menu yang dinanti-nanti itu sudah terhidang di atas meja.
Tidak ada apa lagi yang perlu ditunggu selain menjamah hidangan yang cukup popular di Port Dickson, Negeri Sembilan itu hingga menjilat jari.
Menyajikan hidangan kari kepala ikan yang cukup popular dan menjadi kegemaran pengunjungnya sejak 17 tahun lalu, senjata utama menu ini ialah kuah kari­nya.

Pemilik Restoran Deen Berjaya, Alaudeen Samad berkata, sepanjang 17 tahun berniaga, kuah kari kepala ikan menjadi tarikan dan digemari pengunjung.
Foto
PENGGUNAAN rempah dan cara memasak tersendiri menjadikan kari kepala ikan Deen cukup menyengat.
Foto
HIDANGAN ringkas tapi menyelerakan.
Foto
RASAI keenakan kari kepala ikan Deen yang terkenal di Negeri Sembilan.

“Sesiapa saja boleh memasak kari kepala ikan ini tetapi dalam setiap hida­ngan itu, kuah kari adalah kekuatannya, sekali gus menjadikan ia hida­ngan kari kepala ikan terbaik.

“Keba­nyakan pelanggan tetap yang datang ke sini kerana sukakan kuah kari kepala ikan yang disediakan selain kepala ikan yang dihidangkan adalah segar dari laut,” katanya yang pernah berniaga di Bangsar, Kuala Lumpur sebelum berpindah ke Port Dickson.

Menceritakan sedikit rahsia penyediaan kari kepala ikan Deen yang terbaik di negeri ini, kata Alaudeen, rempah ratus yang digunakan adalah ramuannya sendiri.

“Rempah yang digunakan untuk menyediakan kuah kari ini adalah rempah yang dibancuh sendiri.

“Ia kemudian dihantar ke kilang menggiling rempah supaya rempah itu sebati dan digunakan setiap hari untuk memasak hida­ngan ini,” katanya.

Selain itu, tambah Alaudeen, cara memasaknya juga memainkan peranan utama dalam penyediaan hidangan yang lazat ini.

“Untuk menghasilkan apa juga hidangan yang lazat, cara memasak sesuatu menu sangat penting.

“Itu juga yang diterapkan di sini di mana kami mempunyai cara tersendiri dalam memasak kari kepala ikan yang terbaik dan tidak sama dengan hidangan kari kepala ikan yang lain­,” katanya.

Restoran Deen Berjaya ini dibuka dari jam 7 pagi hingga 5 petang tetapi hidangan kari kepala ikan ini dihidangkan bermula jam 11.30 pagi hingga 4 petang.

Kari Kepala Ikan Deen ini biasanya menggunakan kepala ikan jenahak, ikan merah dan ikan kerapu yang segar dari laut.

Setiap hari sebanyak lebih kurang 30 kepala ikan disajikan kepada pengunjung dan harganya ditentukan menerusi saiz kepala ikan.

Selain kari kepala ikan, hidangan lain seperti ayam madu, sotong goreng, ikan dan banyak lain yang menanti pengunjung di Restoran Deen Berjaya Port Dickson ini.

Anda penggemar kari kepala ikan atau bercuti di Port Dickson dan mencari lokasi menjamu selera yang terbaik?

Kunjungan anda ke Restoran Deen Berjaya yang terletak bersebelahan Balai Polis Besar Port Dickson ini pastinya tidak mengecewakan.