Pages

Sunday 21 June 2015

Ilmu Bisnes Siri 5




 
Pertama: Jangan buka projek bisnes atas dorongan 'nak cari duit sebab sekarang tak cukup duit'.

Banyak orang yang sangka, apabila mereka tidak cukup duit, dengan membuka bisnes mereka akan dapat banyak duit.

Sangkaan macam itu sangat bahaya!

Membuka bisnes ada peluangnya dan ada risikonya. Kita mungkin dapat banyak duit. Kita mungkin hilang lebih banyak duit!

Banyak orang menjadi lebih miskin selepas mereka membuka bisnes. Duit yang hendak dicari, tetapi hutang berkepuk-kepuk yang didapat.

KEDUA: Hutang dan Harta

Berapakah 'harta' atau aset yang dimiliki oleh syarikat kita? Berapakah hutang syarikat kita?

Nilai harta syarikat mestilah lebih tinggi daripada nilai hutang syarikat. Jika hutang syarikat adalah RM100k, nilai aset hendaklah lebih daripada itu.

Seandainya sesuatu berlaku, syarikat boleh menjual asetnya bagi melangsaikan hutang-hutangnya.

Jika syarikat tidak mempunyai aset, maka ALP syarikat yang akan dikejar oleh bank

KETIGA: GAME BISNES

Bagi 'orang bisnes', walaupun dia sudah mempunyai banyak duit, dia tetap membuka projek bisnes baru.

Didorong oleh DNA-bisnesnya kuat, mereka membuka bisnes bukan kerana mereka tidak cukup duit.

Mereka menggunakan duit yang ada bagi memulakan bisnes baru kerana bagi mereka 'bisnes adalah game' yang sangat memuaskan jiwa mereka.

Bagi golongan berDNA-bisnes, duit adalah sejenis 'outcome' game yang mereka mainkan. Tidak lebih daripada itu.

Kalau mereka pandai main game itu, duit akan datang. Kalau mereka bodoh, duit akan hilang.

Apabila mereka bermain game itu dengan betul, maka bisnesnya dapat survive, lalu bisnesnya perlahan-lahan dapat dikembangkan. Hasilnya, duit pun datang sendiri.

Bagi orang DNA-bisnes, mereka tidak boleh berhenti main game. Jiwa mereka tersiksa!

Kepuasan mereka bukan datang dari duit. Game itu sendiri adalah kepuasan mereka.

KEEMPAT: Ada 3 modal utama memulakan bisnes:

1. Modal sosial <--- personaliti, akhlak, networking, reputasi, latar belakang keluarga, pasangan hidup, bekas majikan, mentor, sahabat, bekas sekolah, persatuan, kelab.

2. Modal intelektual <--- bakat, kepintaran, aptitud, ijazah, pengalaman, ilmu, latihan, ilham, idea, karya, harta intelek.

3. Modal material <--- wang, hartanah, alat kerja, jentera, mesin, kenderaan.

Seandainya kita tidak memiliki banyak modal, jalankan bisnes dengan mengambil business partners yang memiliki banyak modal-modal itu.

KELIMA: Jangan ambil sebarang peluang bisnes yang kerugiannya tidak mampu diserap.

Contoh: Membuka kedai francais dengan menggunakan duit pinjaman bank.

Apakah maksud ‘mampu diserap’?

Maksudnya, jika bisnes itu lingkup, dan modal kita hangus, kita masih dapat bangun semula dengan mudah.

Kita masih mempunyai baki duit dalam simpanan bagi memulakan bisnes baru yang lain.

KEENAM: + Jangan sekali-kali memilih bisnes yang modalnya besar, sampai terpaksa meminjam duit kaum keluarga ataupun bank. Nanti hubungan keluarga rosak. Bank pula akan lelong hartanah yang dicagarkan.

+ Pilih bisnes yang memerlukan modal kecil sahaja bagi memulakannya. Berapa duit yang ada, itu sahaja yang digunakan sebagai modal.

+ Pilih bisnes yang duit masuk cepat. Modal yang kecil dapat dipusing-pusingkan dengan laju. Bisnes pasar malam adalah contoh bisnes yang modalnya kecil.

+ Jangan pilih bisnes yang terpaksa menunggu lama sebelum duit yang dikeluarkan boleh masuk balik. Bisnes pasar malam adalah contoh bisnes yang duit sangat cepat keluar-masuknya.

+ Pilih bisnes servis yang kita pandai jalankan sendiri.

KETUJUH: Emosi kita adalah salah satu faktor yang boleh menjadi punca kita mensabotaj diri sendiri daripada maju ke hadapan.

Emosi benci boleh menyebabkan otak kita terfokus kepada melayan kebencian-kebencian kita. Kebencian tidak menghasilkan angka-angka positif dalam akaun bank syarikat.

Orang bisnes jangan membenci muka sesiapa.

Duit tidak kenal muka orang! Jalan terus....

KELAPAN: Imej apa?

Dalam bisnes, sangat mustahak kita memilih imej apa yang mahu digunakan bagi mendapatkan keyakinan pelabur, pembekal, pengedar, pekedai, pembeli dan pelanggan.

Apabila tersalah memilih imej, duit terbakar sia-sia, bisnes pun tidak menjadi.

KESEMBILAN: Risiko kejayaan yang datang mendadak....

Ada kejayaan bisnes yang datangnya merangkak-rangkak perlahan macam siput baru terkena hujan. Bertahun-tahun kita mengusahakan bisnes itu, barulah mula nampak hasilnya.

 Ada kejayaan bisnes yang datang mendadak. Sekali cuba, terus jualan naik melambung-lambung dan duit masuk mencurah-curah.

Kejayaan mendadak tidak menyediakan kita dengan skill-skill bisnes yang sangat penting dalam pengurusan kewangan syarikat.

Inilah faktor yang menyebabkan businessman yang mengalami kejayaan mendadak sukar dapat survive apabila trend bisnes jatuh dan syarikat mengalami pelbagai kesukaran.

KESEPULUH:  Apa itu holding company?

Holding company disebut juga 'parent company' atau 'syarikat induk'.

Holding company memiliki saham majoriti dalam syarikat lain. Saham majoriti adalah 51% ataupun lebih banyak. Kurang daripada 51%, ia adalah saham minoriti.
Contoh holding company:

1. Hj. Bakhil memiliki 99% saham syarikat "HB Ventures Sdn. Bhd." (holding company)

2. "HB Ventures Sdn. Bhd." memiliki 51% saham syarikat "Sudin Burger Sdn. Bhd." (anak syarikat)

3. "HB Ventures Sdn. Bhd." memiliki 60% saham syarikat "Ramlee Records Sdn. Bhd." (anak syarikat)

4. "HB Ventures Sdn. Bhd." memiliki 54% saham syarikat "Ajis Satay Sdn. Bhd." (anak syarikat)

Catatan:
Memiliki saham. <--- Ini lain.
Memiliki syarikat. <--- Ini lain.

Contoh:

Haji bakhil memiliki 99% saham dalam syarikat "HB Ventures Sdn. Bhd."

"HB Ventures Sdn. Bhd." memiliki 10% saham dalam "Sudin Burger Sdn. Bhd."

Dalam kes ini, Hj. Bakhil tidak boleh mengatakan dia memiliki syarikat "Sudin Burger Sdn. Bhd." Saham 10% adalah saham minoriti.

Bagi memiliki sesebuah syarikat, Hj. Bakhil wajib memiliki minimum 51% saham syarikat itu.

KESEBELAS: Mulakan bisnes dengan syarikat PLT (Perkongsian Liabiliti Terhad) dan Sendirian Berhad.

Bisnes dan syarikat boleh diwariskan.

Bisnes dan syarikat boleh dijual sahamnya.

Bisnes dan syarikat boleh kaya dan mengKAYAkan

 
KEDUA BELAS: Tanya: Kami telah jual syarikat sdn bhd kami. Bagaimana dengan hutang-hutang yang sedia ada. Hutang setiausaha syarikat, gaji staff, bengkel, kedai tayar dan kedai alat ganti? Siapakah yang harus menanggung? Pembeli sudah beroperasi menggunakan nama syarikat yang sama.

Jawab: Jual beli syarikat bukan macam jual-beli gula dan tepung.

+ Prosedur jual-beli syarikat sdn bhd hendaklah dilaksanakan oleh setiausaha syarikat.

+ Ada prosedur SSM dan Akta Syarikat 1965 yang mesti dipatuhi kerana ia melibatkan perubahan nama ALP dan nama pemilik-pemilik saham.

+ Jual beli syarikat hendaklah dijalankan dengan mempunyai perjanjian jual-beli. Tidak cukup dengan main cakap-cakap sahaja.

+ Dalam perjanjian itu disebutkan perkara-perkara yang setuju dijual dan dibeli. Sebagai contoh:

 > Apakah pembeli setuju mengambil alih semua hutang piutang syarikat?

 > Apakah pembeli setuju menyimpan semua staff syarikat yang ada dan tidak memecat mereka?

 > Apakah penjualan itu termasuk (a) syarikat (b) semua aset milik syarikat dan (c) perniagaan milik syarikat?

 > Bagaimana dengan kedudukan duit dalam akaun-akaun bank atas nama syarikat itu?

Dan hal-hal lain....

KETIGA BELAS: Hayat 'syarikat enterprise'...

Sebenarnya, apa yang disebut 'syarikat enterprise' itu bukan syarikat.

Ia cuma sejenis sijil pendaftaran atau lesen menjalankan bisnes sahaja.

+ Tiap-tiap tahun lesen pendaftaran 'syarikat enterprise' wajib diperbaharui, atau disambung.

+ Kalau tidak disambung, lesen itu akan mati ikut tarikh tempoh yang ditulis pada sijil itu.

+ Kalau kita terlupa menyambung lesen itu, tidak apa, kita masih boleh sambung lagi. Kita tidak didenda.

+ Tetapi kalau lesen itu sudah mati lebih 1 tahun, lesen itu dengan sendirinya terbatal. Maknanya lesen itu mati.

+ Apabila lesen itu mati, segala lesen, sijil, permit, yang diberikan atas nama 'syarikat enterprise' itu pun ikut terbatal secara automatik.

+ Apabila lesen sudah mati lebih 1 tahun, kalau kita mahu sambung lagi, kita akan dikenakan penalti oleh SSM.

KEEMPAT BELAS: Pengetahuan membuka syarikat serta menyediakan SOP kewangan adalah penting untuk dimiliki oleh usahawan.

Ini bagi memastikan tindakan yang betul telah diambil ketika menubuhkan sesebuah syarikat.

Setiap keputusan syarikat, mestilah dibuat setelah melihat angka-angka yang ada di dalam rekod kewangan.

Ini penting agar syarikat kita dapat memiliki keuntungan dan tidak terjerat dengan hutang.

Cash Flow atau Aliran Tunai, adalah rekod penting untuk dilihat pada setiap bulan.

Bak kata guru, pastikan cash flow kita tidak tercekik!

Rujukan Puan Ainon Mohd & Mentee

15-20 Jun 2015