Friday, 16 September 2016

Putrajaya memperkenalkan dua produk pelancongan baharu

PUTRAJAYA 12 Sept. – Putrajaya memperkenalkan dua produk pelancongan baharu dalam usaha menarik lebih ramai kehadiran pengunjung ke Pusat Pentadbiran Persekutuan tersebut. Yang pertama produk eko pelancongan menerusi penjenamaan semula Pusat Rekreasi Air Putrajaya dan kedua, Taman Burung Merbuk yang masing-masing terletak di Taman Wetland. Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Seri Hasim Ismail berkata, Pusat Rekreasi Air Putrajaya yang berkeluasan 62 hektar menaarkan produk eko pelanco­ngan yang unik di tengah kepesatan pembangunan Putrajaya.
Jelasnya, orang ramai tidak perlu pergi ke kawasan pendalaman semata-mata untuk memancing kerana Pusat Rekreasi Air Putrajaya mempunyai pelbagai jenis ikan eksotik seperti kelah, patin dan temoleh. "Di samping itu, tempat ini menawarkan pelbagai aktiviti lain antaranya seperti berbasikal, water rafting dan perkhemahan. "Terletak di Presint 13, Pusat Rekreasi Air Putrajaya merupakan usaha terbaharu kita untuk menaik taraf dan meningkatkan kualiti produk pelancongan di Putrajaya," katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Pusat Rekreasi Air Putrajaya di sini baru-baru ini.
Sementara itu, Hasim membe­ritahu, Padang Semarak di Taman Wetland akan dijadikan Taman Burung Merbuk dan dengan sekali gus pertandingan seni suara merbuk dijadikan acara bulanan di lokasi tersebut. Katanya, pihaknya membina 1,500 tiang burung merbuk bagi memberi peluang kepada penggemar haiwan peliharaan itu mende­ngar kelunakan suara burung berkenaan. "PPj berkerjasama dengan Persatuan Seniman Merbuk Malaysia untuk menganjurkan Gurindam Merbuk Putrajaya yang merupakan kesinambungan kejayaan pertan­dingan Seni Suara Merbuk Putrajaya pada Jun lalu. "Penganjuran Gurindam Merbuk Putrajaya pada setiap bulan menjangkakan lebih ramai ramai penyertaan dan pengunjung dari dalam dan luar negara ke Putrajaya," katanya lagi.