Pages

Friday 8 February 2013

Laluan kereta api Seremban-PD perlu dibuka semula

TELOK KEMANG 2 Feb. - Pembukaan semula laluan kereta api dari Seremban ke Port Dickson amat penting, bukan sekadar menjadikannya 'gerabak warisan' tetapi nilai tambah dalam usaha melonjakkan sektor pelancongan di pantai peranginan ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, cadangan itu telah dikemukakan tiga tahun lalu melalui surat kepada pihak berkaitan tetapi tidak disambut.
Pada Disember lalu katanya, beliau sekali lagi menekankan kepentingan laluan itu kepada pihak berkenaan dengan harapan dapat dipertimbangkan.
"Kita tidak membina laluan baru kerana tahu kosnya mahal. Apa yang kita mahu ialah laluan sedia ada dihidupkan semula kerana sebelum ini pernah digunakan sebagai laluan perdagangan dari Port Dickson ke Seremban," katanya di sini hari ini.
Beliau menjelaskan, laluan kereta api itu masih ada dan tanah rezabnya juga sedia ada, maka kos untuk menghidupkan laluan tersebut tidaklah begitu mahal.
"Kerajaan negeri optimis laluan sutera ini akan menjadi satu daya tarikan baru kepada pelancong yang datang dari seluruh negara melalui stesen kereta api di Seremban dan menaiki gerabak ke Port Dickson," ujarnya.
Beliau juga memberitahu, ketika ini pelancong yang hendak datang ke Port Dickson menggunakan jalan raya, sedangkan ada alternatif lain iaitu laluan kereta api.
"Ketika ini kerja pelebaran laluan kereta api sedang dibangunkan di negeri ini. Stesen kereta api di Seremban akan dinaik taraf seperti KL Sentral. Kita sudah ada komuter sehingga ke Sungai Gadut. Laluan kereta api laju sehingga ke Gemas juga sedang dibina.
"Maka di Port Dickson ini memang menjadi hasrat kerajaan negeri supaya laluan kereta api dibangunkan. Maka pada masa yang sama juga, Port Dickson akan menjadi kawasan kediaman, pelaburan dan sebagainya.
"Orang ramai boleh duduk di Port Dickson, naik kereta api sehingga ke stesen kereta api Seremban dan menaiki komuter ke Kuala Lumpur. Saya percaya dengan adanya kemudahan ini kelak, orang ramai akan berpusu-pusu untuk duduk di Port Dickson, sambil menikmati keindahan pantainya yang nyaman," ujar Mohamad.
Mengenai pembangunan di Stesen Kereta Api Seremban, Mohamad berkata, ketika ini ruang letak kereta telah pun siap dibina, sementara menunggu pembinaan kawasan kediaman, pusat komersial, hotel dan lainnya.

Utusan Malaysia 3 Februari 2013.