Pages

Friday 21 June 2013

Floria Putrajaya 2013 sasar sejuta pengunjung

TENGKU Adnan Tengku Mansor (kanan) dan Aseh Che Mat (tiga dari kanan) menunjukkan bunga orkid kepada Puteri Swaziland, Sikhanyaish Diamindamini pada majlis Prapelancaran Floria Putrajaya 2013 di Putrajaya semalam.
 
PUTRAJAYA 30 Mei - Pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan di sini, sekali lagi bakal menjadi tumpuan pengunjung sempena penganjuran acara tahunan Festival Bunga dan Taman Putrajaya (Floria Putrajaya) 2013 bertemakan bunga orkid.
Bertempat di Pesisiran Tasik Putrajaya, Presint 2, pengunjung pasti terpukau dengan kreativiti dan keunikan hiasan seni reka taman yang mengandungi lebih 400,000 bunga terdiri daripada pelbagai spesies.
Floria Putrajaya 2013 itu akan berlangsung pada 22 Jun hingga 30 Jun ini dengan slogan Bunga Orkid-Khazanah Tropika.
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, tema orkid bertepatan kerana merupakan tanaman hiasan yang amat popular di Malaysia ekoran kesesuaian iklimnya yang panas dan lembap sepanjang tahun.
Beliau berkata, selain mudah ditanam dan dibiakkan orkid menjadi pilihan utama penggemar flora di negara ini kerana saiz, struktur dan bunganya yang pelbagai.
Katanya, orkid juga digunakan secara meluas dalam industri landskap di negara ini.
"Selain orkid, Floria Putrajaya 2013 turut mempamerkan beberapa jenis bunga lain seperti bonsai, heliconia dan bunga kertas untuk tatapan pengunjung.
"Sehubungan itu, saya menyeru orang ramai terutama penggemar landskap taman dan bunga-bungaan datang beramai-ramai ke Floria Putrajaya 2013 bagi menyaksikan sendiri keindahan yang bakal dipamerkan," katanya ketika berucap dalam majlis Prapelancaran Floria Putrajaya 2013 di sini hari ini.
Yang hadir sama, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. J. Loga Bala Mohan, Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Adnan Md. Ikhsan dan Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Tan Sri Aseh Che Mat.
Menurut Tengku Adnan, Floria Putrajaya 2013 yang dianjurkan PPj dijangka menarik lebih sejuta pengunjung sekali gus mengatasi rekod sebelumnya iaitu sekitar 800,000 pengunjung.
Selain itu, katanya, Floria Putrajaya 2013 turut menampilkan sebanyak 23 peserta antarabangsa dari 18 buah negara terdiri daripada pereka taman dan penggubah bunga yang akan mempamerkan taman dalaman, taman luaran dan taman orkid.
"Floria Putrajaya 2013 bukan sahaja mempamerkan keindahan dan keceriaan warna bunga dan tumbuh-tumbuhan yang terdapat di negara ini, malah menambah keindahan Putrajaya yang telah dirancang dan dibina dengan reka bentuk yang begitu unik dan rapi.
"Ini dapat menonjolkan identiti Putrajaya sebagai sebuah bandar dalam taman dan bandar bunga-bungaan, selain komitmen kementerian dan PPj membangun dan memajukan pusat pentadbiran ini sebagai bandar raya contoh yang ceria dan bertenaga dalam semua aspek," katanya.

Penginapan, hubungi Puan Marina ditalian 019-323 3848

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kota/20130531/wk_04/Floria-Putrajaya-2013-sasar-sejuta-pengunjung#ixzz2WqHL4oRf