Pages

Sunday 3 May 2015

Ilmu Kewangan Bisnes

PERTAMA: Jaga cash-flow dan SOP kewangan

Banyak peniaga amatur menyangka PROFIT adalah nyawa bisnes kita. Mereka percaya, kalau syarikat buat profit, syarikat akan terus hidup. Ini sangkaan yang tidak betul.

+ Banyak syarikat yang sebenarnya membuat profit, tetapi hidupnya terkial-kial hendak membayar gaji, sewa, hutang pembekal dll.
+ Banyak peniaga yang berasa bisnesnya macam buat untung, tetapi dia hairan sebab duitnya tidak pernah cukup.
Nyawa bisnes adalah pada cash-flow atau aliran-tunai.
Banyak peniaga pandai membuat sale. Barangnya laku. Duit pun masuk, bukan tak masuk.
Tetapi asal hujung bulan dia stress sebab duit tak cukup hendak membayar gaji, sewa, hutang pembekal dll.
Salah satu punca cash-flow asyik tercekik adalah disebabkan si peniaga berniaga dengan tidak ada SOP kewangan yang betul
Pencuri No. 1 duit syarikat kita adalah diri kita sendiri!
SOP kewangan mesti dipelajari sebelum bisnes dimulakan. Ia umpamanya belajar memandu sebelum membeli kereta.
+ Rekod kewangan syarikat wajib diaudit.
+ Selepas diaudit, laporan penyata kewangan itu wajib di hantar ke LHDN dan ke SSM. Kalau tidak dihantar, ALP syarikat akan didenda.
+ Auditor mahu pastikan semua rekod kewangan dalam keadaan yang betul.
+ Apabila SOP kewangan sudah digunakan sejak hari pertama bises dijalankan, banyak urusan dengan auditor, LHDN dan SSM berjalan lancar.
 
"Bukan berapa banyak duit yang masuk, tetapi berapa banyak duit yang keluar."
Banyak peniaga amatur fokus memikirkan dan menjalankan kerja-kerja yang dapat membawa lebih banyak duit masuk.
Mereka lebih-lebih lagi fokus pada kerja-kerja bagi menaikkan angka jualan, kerana jualan yang membawa duit masuk.
Yang mereka fokuskan adalah sale, sale, sale.
Dalam pengurusan kewangan syarikat, jangan hanya tengok duit yang masuk. Tengok juga duit yang keluar.
Duit masuk mungkin banyak, tetapi jika duit yang keluar lebih banyak daripada duit yang masuk, bisnes kita takkan survive.
Banyak peniaga kecil mengalami cash-flow tercekik sehingga hendak membayar gaji pun tersangkut-sangkut, apatah lagi hendak membayar hutang-hutang pembekal.
Apabila hutang pembekal lambat dibayar, mereka tidak akan menghantar bekalan baru selagi hutang lama masih belum dibayar.

KEDUA: Siapakah dalam syarikat kita yang mempunyai ilmu pengetahuan dalam perkara-perkara di bawah ini?
1. Tahu pelbagai strategi bagi mendapatkan sumber-sumber modal bagi membiayai perkembangan bisnes syarikat kita. Yang biasa kita tahu, modal datang dari pinjaman bank sahaja, yang lain kita tidak tahu.
2. Tahu pelbagai strategi memberanak-pinakkan duit modal. Duit adalah suatu benda yang mempunyai daya menambahkan jumlahnya sendiri. Jika kita tahu apa yang dapat dilakukan kepada duit yang ada, duit itu dapat menghasilkan lebih banyak duit.
3. Tahu pelbagai strategi membeli dan mengambil alih syarikat lain.
4. Tahu bagaimana merancang perkembangan masa depan kewangan syarikat.
5. Tahu pelbagai strategi menguruskan wang tunai milik syarikat.
Lima perkara di atas adalah tugas dan tanggungjawab seorang Pengurus Finance.
Perkara-perkara yang sentiasa bermain dalam kepala seseorang Pengurus Finance adalah:
+ Matlamat jangka panjang syarikat.
+ Likuiditi kewangan syarikat.
+ Fleksibiliti kewangan syarikat.
+ Pematuhan kepada undang-undang, baik undang-undang negara, antarabangsa, mahupun syariah
KETIGA: Syarikat kita memerlukan 2 bakat-duit ini:
+ Bakat menjaga duit syarikat. <--- Ilmu ini diajarkan kepada pelajar jurusan perakaunan.
+ Bakat meningkatkan nilai duit syarikat <--- Ilmu ini diajarkan kepada pelajar jurusan finance
 
KEEMPAT: Tanya: Mengapa puan memilih keuntungan bersih 3% sahaja?
Jawab: Formula keuntungan 3% nett adalah bagus.
+ Banyak syarikat korporat antarabangsa yang sudah wujud puluhan tahun menggunakan target 3% keuntungan bersih.
+ Keuntungan 3% itu memudahkan bisnes kita terus survive dalam pasaran. Ia membolehkan produk kita dijual pada harga amat berpatutan.
+ Akal orang biasa memang menganggap 3% itu sangat nipis. Jangan tengok pada angka %. Tengok pada duit sebenar yang masuk bank kita. Cuba kira berapa jumlah 3% daripada jualan RM40j setahun
Berapa banyak keuntungan?
Lazimnya, buku-buku pengurusan bisnes mengajar supaya kita mentargetkan keuntungan syarikat pada kadar 10%.
KELIMA: Fenomena untung tinggi, tetapi syarikat tiada duit.
Salah satu bahaya yang banyak berlaku adalah di mana akaun syarikat menunjukkan angka keuntungan yang tinggi.
Tetapi, mengapakah duit tidak ada dalam akaun bank? Mahu bayar gaji staff pun sakit. Padahal tidak ada penyalahgunaan duit syarikat?
Fenomena di mana penyata kewangan syarikat menunjukkan angka keuntungan yang tinggi tetapi syarikat tiada duit dalam bank, kes begini banyak berlaku dalam syarikat yang menjalankan trading secara kredit.
+ Barang laku. Stok keluar laju. Angka jualan tinggi. <--- Angka ini yang menjadi angka keuntungan dalam penyata akaun syarikat.
+ Angka jualan tinggi. Tetapi duit tunai tidak masuk bank! Ini berlaku apabila 'hutang' jualan secara kredit tidak dikutip. <--- Ini kes di mana angka jualan yang tinggi itu tidak menjadi duit tunai dalam bank
Dari ABS: Barang Laku tetapi Bisnes Rugi
Peniaga amatur kerap mengalami fenomena barangnya laku, stoknya habis, tetapi apabila dikira-kira, bisnesnya sebenarnya rugi.
Salah satu faktor yang menyebabkan fenomena barang laku tetapi bisnes rugi adalah isu titik-pulang-modal.
Apakah itu titik pulang modal?
Katakanlah.....
+ Margin 1 paket mihun = 10 sen.
+ Kita menggunakan van dan pemandu ke Shah Alam menghantar mihun ke 1 buah kedai runcit.
+ Kos van, minyak, tol, gaji pemandu = RM80
Berapa paket mihun kita kena hantar supaya dapat cover RM80 itu?
Jumlah mihun yang kena dihantar itulah titik pulang modal bagi 1 penghantaran itu.
Banyak peniaga amatur sangat seronok apabila ada orang order barangnya. Dia pun cepat-cepat menghantar barangnya.
Banyak yang menggunakan kereta peribadi bagi menghantar barang kepada pembeli, ataupun ke pejabat Poslaju.
Mereka tidak mengawal kos penghantaran! Akibatnya margin habis dimakan oleh kos penghantaran....
KEENAM: Fasa pertama bisnes adalah fasa survival.
Dalam fasa ini kita cuma hendak hidupkan bisnes. Kalau tak bungkus pun, sudah cukup beruntung!
Fasa ini lazimnya selama 3 tahun. 93% bisnes bungkus dalam fasa ini!
Dalam fasa survival, jangan gopoh hendak membesarkan bisnes.
Fokus dalam fasa awal ini adalah cash-flow, cash-flow, cash-flow….
KETUJUH: Dari ABS: Hutang kawan dan keluarga.
Asingkan duit syarikat dan duit peribadi:

+ Semua urusan peribadi hendaklah menggunakan duit peribadi.
+ Semua urusan bisnes hendaklah menggunakan duit bisnes.
Apabila kawan dan keluarga minta hendak meminjam duit, berikan duit peribadi.
Jangan usik duit bisnes.

Jika tidak ada duit peribadi yang hendak diberikan, habis di situ.
Ingat! 90% peratus kawan dan keluarga yang meminjam tidak membayar balik duit kita.
KELAPAN: Dari ABS:  Merompak Syarikat Sendiri
Barangkali kita perasan fenomena begini: Kedai makan Melayu yang sudah dibuka 2 ataupun 3 tahun, tidak menukar peralatannya yang sudah lusuh dan buruk.
Pinggan mangkuknya sudah calar-calar. Sudu dan garpunya sudah bengkok. Kaca gelas dan cawannya sudah kusam.
Tetapi towkay kedai makan itu menukar keretanya dengan kereta baru!
Salah satu punca bisnes kita terkial-kial hendak berkembang adalah disebabkan kita merompak duit syarikat kita sendiri.
Akibat rompakan itu, syarikat tidak dapat menyimpan wang yang diperlukan bagi mengembangkan bisnesnya.
Meskipun kita sudah lama berniaga, syarikat kita sentiasa dalam keadaan tidak ada duit. Apabila hendak mengembangkan bisnes, kita asyik tidak cukup modal.
Syarikat kita perlu menyimpan wang tunai dalam bank.
Wang tunai itu digunakan sebagai cagaran apabila kita memohon kemudahan bank bagi mendapatkan modal tambahan.
Sebagai contoh, apabila kita mempunyai wang tunai RM200k, bank boleh meluluskan permohonan fasiliti sebanyak RM300k.
Sentiasa tokok wang simpanan kita. Semakin banyak wang tunai kita dalam bank, semakin bank berani menaikkan jumlah fasiliti untuk kita.
Begitulah caranya kita menggunakan wang bagi membuat lebih banyak wang!

Barulah duit kita mula bekerja untuk kita.
KESEMBILAN: DIBELIT HUTANG....
Hutang wajib dibayar. Biar perlahan-lahan, sedikit demi sedikit, asalkan dibayar.
Hutang peribadi, lain. Hutang bisnes, lain.

Hutang peribadi dibayar menggunakan duit peribadi.

Hutang bisnes mesti dibayar secara bisnes!
Ini sangat penting diingat. Hutang bisnes jangan dijadikan hutang peribadi.
Hutang bisnes jangan dibayar menggunakan duit peribadi kita. Ini cara yang salah bagi membayar hutang bisnes. Tidak betul.
Kita mesti mempunyai syarikat yang aktiviti bisnesnya yang dapat membayar hutang-hutang bisnes kita.
Dengan cara itu staff syarikat kita yang bekerja kuat bagi membayar hutang bisnes kita!
Ia serupa macam kita membeli bangunan yang dimiliki oleh syarikat kita. Staff syarikat yang bekerja kuat membayarkan
SEPULUH:APA ITU 'BAYARAN TERTANGGUH'?
Apabila kita membuka bisnes, banyak bayaran terpaksa ditangguhkan bayarannya.

Sebagai contoh:
Gaji kita sendiri sebagai COO syarikat adalah RM5k sebulan. Tetapi tiap-tiap bulan syarikat tidak mampu membayar gaji kita. Jadi, syarikat kita 'berhutang' kepada kita RM5k sebulan.
Bagaimanakah syarikat akan membayar gaji kita itu?
Kita sendiri mesti bekerja keras membawa duit masuk. Apabila syarikat ada duit, barulah syarikat dapat membayar sedikit demi sedikit hutangnya kepada kita.
Saya kongsikan pengalaman saya sendiri semasa membuka syarikat penerbit buku PTS.
Selama 3 tahun PTS tidak mampu membayat gaji saya. Saya ditanggung oleh suami yang makan gaji. Masuk tahun keempat, barulah hutang-hutang gaji saya itu dibayar.... Banyak duit saya!
Banyak orang muda silap di sini. Mereka tidak ambil gaji disebabkan syarikat tidak mampu membayat gaji.
Mesti ambil gaji. Cuma gaji itu diambil secara tertangguh!
Rekodkan berapa jumlah hutang yang syarikat perlu bayar kepada kita. Nanti semangat kita untuk terus bekerja kuat akan sentiasa tinggi.
Apabila kita tidak ambil gaji, lama-lama kita patah semangat, maklumlah kita berasa sia-sia bekerja sedangkan gaji tak dapat....
Rujukan: Puan Ainon Mohd, PTS Group