Pages

Thursday 5 September 2013

TPM tinjau perkembangan Sekolah Amanah di Gelang Patah

Muhyiddin Yassin diiringi Mohamed Khaled Nordin (tiga dari kanan) melihat sesi pembelajaran di sebuah kelas ketika melawat SMK Gelang Patah, Johor, semalam.
 
NUSAJAYA 5 Sept. - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melawat Sekolah Menengah Kebangsaan Gelang Patah di sini yang merupakan salah sebuah daripada 13 buah sekolah terpilih menjadi Sekolah Amanah di negara ini.
Beliau yang juga Menteri Pendidikan meluangkan masa kira-kira sejam untuk meninjau keadaan dan prasarana sekolah tersebut selain menghadiri taklimat tertutup mengenai perkembangan dan pencapaian sekolah itu.
Sekolah Amanah adalah sekolah kerajaan atau bantuan kerajaan terpilih yang diurus secara usahasama oleh sektor swasta dan pentadbir-pentadbir sekolah di bawah naungan Kementerian Pendidikan.
Program tersebut diterajui oleh Yayasan Amir, sebuah yayasan di bawah Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) yang bertujuan meningkatkan pembangunan modal insan untuk melahirkan pemimpin masa hadapan.
Dari segi pengurusan sekolah pula, kementerian akan memberikan kebebasan kepada pentadbir, guru-guru dan pihak swasta dalam bidang-bidang tertentu seperti kurikulum, kewangan dan perolehan, pengurusan kakitangan serta carta aliran pelaporan di samping menyediakan garis panduan akauntabiliti bagi mengelak pertindihan tugas.
Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Pengarah Urusan Khazanah Nasional, Tan Sri Azman Mokhtar; Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Amir; Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim; Timbalan Pengerusi Khazanah Nasional, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Pengetua sekolah, Asmah Abdul Hamid;.
Sementara itu, Noor Rezan ketika ditemui pemberita berkata, perkembangan positif yang ditunjukkan oleh SMK Gelang Patah itu dari segi keputusan peperiksaan dan kedatangan pelajar ke sekolah nyata menggembirakan Timbalan Perdana Menteri.
"Timbalan Perdana Menteri memang nak datang dan melihat sendiri perkembangan Sekolah Amanah dan kebetulan beliau ada di sini, maka beliau meluangkan masa untuk melawat sekali gus mengetahui perkembangan sekolah tersebut yang berupakan antara 10 sekolah perintis bagi program ini," katanya.
Tambah Noor Rezan, antara intipati Sekolah Amanah yang dilancarkan pada tahun 2011 adalah memberi kemahiran kepada pelajar untuk berfikir, membina dan membuat keputusan selain mewujudkan suasana pembelajaran yang tidak berorientasikan peperiksaan semata-mata.
Beliau berkata, pihaknya turut merancang mewujudkan sekurang-kurangnya 15 lagi Sekolah Amanah di negeri ini termasuk dua sekolah yang sudah memberikan persetujuan iaitu Sekolah Kebangsaan Medini dan SMK Medini.
"Malah, sehingga kini kira-kira 10 syarikat swasta sudah menyatakan minat untuk menyertai program Sekolah Amanah tersebut dan ada juga alumni yang berminat untuk turut sama menyertainya," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130906/dn_02/TPM-tinjau-perkembangan-Sekolah-Amanah-di-Gelang-Patah#ixzz2e4WbiZTi
© Utusan Melayu (M) Bhd