Pages

Tuesday 3 September 2013

Kereta Kabel Rentas Laut Tarikan Terbaru di Port Dickson

 

SEREMBAN: Negeri Sembilan akan mempunyai perkhidmatan kereta kabel merentasi laut menghubungkan sebuah bandar baru di Port Dickson dengan Pulau Arang, kata Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Projek kereta kebal sejauh satu kilometer itu merupakan satu tarikan di bandar baru PD Waterfront yang dimajukan oleh syarikat tempatan, TSR Ocean Park Sdn Bhd.     
"Keseluruhan projek PD Waterfront ini termasuk kereta kabel menelan belanja RM1.8 bilion. Kereta kabel akan dibina pada fasa kedua. Fasa pertama projek ini sudah hampir siap," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat exco kerajaan negeri hari ini.
Mohamad berkata, beliau yakin kereta kabel itu akan menjadi tarikan utama pelancongan kerana kali pertama konsep kereta kabel merentasi laut diperkenalkan di negara ini.

"Pulau Arang mempunyai hutan simpan semula jadi yang mengandungi pelbagai spesies pokok dan tumbuhan," katanya.

Mohamad berkata, kerajaan negeri juga merancang untuk menjadikan sebuah kawasan perniagaan di PD Waterfront sebagai zon bebas cukai.

PD Waterfront di kawasan seluas 20 hektar mempunyai kemudahan jeti, hotel dan pusat membeli belah.
Beliau yakin projek PD Waterfront akan mendapat sambutan pelabur memandangkan pelancong luar negara dan tempatan yang mengunjungi pantainya boleh mencecah sehingga kepada 1.5 juta orang.

Mohamad berkata, dalam fasa dua dan fasa tiga, PD Waterfront akan mempunyai hotel tiga dan empat bintang serta pusat perubatan, taman tema dan sebuah pusat konvensyen. - BERNAMA
 
2011/08/10 - 16:56:32  Berita Harian