Pages

Friday 6 September 2013

Transformasi pendidikan dilaksana dalam tiga gelombang

 

KUALA LUMPUR 6 Sept. - Transformasi pendidikan negara seperti yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 akan dilaksanakan dalam tiga gelombang.
 
Gelombang 1 (2013-2015) memberi penekanan kepada menambah baik sistem dengan mempercepat perubahan kaedah pelaksanaan program.
 
Dalam tempoh pelaksanaan itu, tumpuan diberi kepada kaedah peningkatan kualiti pengajaran dengan meningkatkan kualiti guru sedia ada, meningkatkan kualiti kepimpinan sekolah dan meningkatkan kadar literasi Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan numerasi.
 
“Menjelang akhir Gelombang 1, kementerian akan memastikan semua guru, pengetua/guru besar dan sekolah mencapai tahap minimum standard kualiti yang dihasratkan," menurut pelan yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.
 
Dalam Gelombang 2 (2016-2020), kementerian akan melaksana perubahan struktur pendidikan negara untuk mempercepat perjalanan perubahan kepada semua inisiatif yang bermula semasa Gelombang 1, antaranya pergerakan kesemua 410,000 guru dan 10,000 pengetua/guru besar kepada pakej kerjaya baharu dan penstrukturan semula kementerian.
 
Kurikulum standard sekolah rendah dan menengah yang disemak semula juga akan diperkenal dalam usaha menangani kebimbangan mengenai pengetahuan, kemahiran dan nilai untuk maju sesuai dengan perkembangan ekonomi dunia hari ini.
 
Gelombang 3 (2012-2025) akan memfokus kepada anjakan ke arah kecemerlangan dengan peningkatan keluwesan operasi, di mana pada permulaan gelombang ini, semua sekolah, guru dan pengetua/guru besar perlu menunjukkan prestasi melebihi standard minimum.
 
Kementerian juga akan menganjakkan kebanyakan sekolah kepada model pengurusan berasaskan sekolah dan membangunkan model kejayaan sekolah berdasarkan inovasi dalam pengajaran, dalam usaha membangunkan sistem pengekalan kemajuan kendiri yang mampu untuk mencetuskan inovasi dan meningkatkan pencapaian yang lebih tinggi. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130907/dn_03/Transformasi-pendidikan-dilaksana-dalam-tiga-gelombang#ixzz2e9mMJTKi
© Utusan Melayu (M) Bhd