Pages

Wednesday 11 September 2013

Pendidikan Islam kunci keamanan

 

MUHYIDDIN Yassin menyampaikan ucaptama pada makan malam tahunan Lembaga Pemegang Amanah Pusat Pengajian Islam Oxford (OCIS) di Ditchley Park Country House, London, malam kelmarin. Turut hadir isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom, Datuk Seri Zakaria Sulong dan Ahmad Sarji Abdul Hamid. - BERNAMA
 
LONDON 11 Sept. - Malaysia percaya pendidikan Islam yang betul menjadi kunci kepada pembentukan sebuah masyarakat Islam yang mencintai keamanan.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, kemurnian pendidikan Islam yang diajar di sekolah-sekolah yang memberi penekanan kepada prinsip-prinsip kesederhanaan, toleransi agama serta amalan saling menghormati menjadi faktor penting yang membolehkan orang Islam dan kaum-kaum lain di Malaysia dapat hidup secara aman.
Sambil mengambil pengalaman Malaysia sebagai contoh, beliau berkata, pendidikan Islam bermula pada awal usia yang mana murid-murid Islam di sekolah-sekolah kerajaan diwajibkan mengambil mata pelajaran tersebut.
‘‘Kanak-kanak diajar bahawa menjadi seorang Islam yang warak juga bermakna menjadi seorang yang baik kepada orang lain. Mereka juga diajar bahawa menghormati orang bukan Islam malah membantu mereka, tidak akan menjadikan mereka ‘kurang Islam’," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama bertajuk Peranan negara-negara Islam dalam mewujudkan kestabilan: Pengalaman Malaysia, dalam majlis makan malam tahunan Lembaga Pemegang Amanah pusat Pengajian Islam Oxford (OCIS), di sini malam tadi.
Turut hadir Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid yang merupakan salah seorang ahli lembaga pemegang amanah OCIS.
Menurut Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan, oleh kerana tanggungjawab menyediakan pendidikan Islam yang betul merupakan salah satu keutamaan, kerajaan Malaysia telah melantik kira-kira 80,000 guru agama profesional untuk tujuan itu.
‘‘Mereka bukan sahaja dibayar gaji oleh kerajaan, mereka turut menjalani latihan di institusi-institusi perguruan sebelum menjadi guru agama.
‘‘Guru agama ini sama seperti guru-guru lain yang dilengkapi dengan pelbagai kemahiran moden untuk mengajar murid-murid Islam di sekolah.
‘‘Saya menaruh kepercayaan penuh bahawa pendidikan Islam yang betul adalah kunci kepada lahirnya satu masyarakat Islam yang mencintai keamanan untuk diri mereka sendiri dan juga untuk orang lain," tegasnya lagi.
Menurut Muhyiddin, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang dilancarkan beberapa hari lalu turut memberi fokus kepada nilai-nilai Islam dengan sasaran mewujudkan keharmonian agama dalam masyarakat berbilang kaum.
Bagaimanapun kata beliau, umat Islam di Malaysia turut berhadapan dengan beberapa cabaran baru yang dikaitkan dengan globalisasi dan penyebaran fahaman liberal moden.
Antaranya kata Muhyiddin, ungkapan ‘tiada paksaan dalam agama’ telah ditafsir oleh sesetengah pihak sebagai ‘hak untuk orang Islam meninggalkan Islam’ sedangkan makna sebenar yang difahami ialah seseorang bukan Islam tidak boleh dipaksa memeluk Islam.
Perkara yang sama kata beliau, turut berlaku dalam isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang tidak dapat diterima oleh majoriti Islam tetapi telah ‘dipromosikan’ oleh sesetengah kumpulan berkepentingan sedangkan sebagai negara Islam, Malaysia tidak mengiktiraf hak-hak LGBT.
Dalam pada itu Muhyiddin menegaskan, Malaysia walaupun hanya sebuah negara Islam kecil akan terus memainkan peranannya dengan apa cara sekalipun bagi mewujudkan keamanan dan kestabilan di negara-negara Islam dan di seluruh dunia.
Beliau yakin menerusi kerjasama yang efektif dalam bidang ekonomi, negara-negara Islam dapat mencapai kemajuan dan kemakmuran yang menjadi faktor penentu kepada kestabilan sosial dan politik.
‘‘Perkara ini akan dapat dicapai jika negara-negara Islam teguh bersatu dan saling membantu antara satu sama lain.
‘‘Saya percaya negara-negara Islam yang bersatu, makmur dan sentiasa aman akan dapat mencipta keamanan untuk seluruh dunia," tegasnya. - Oleh Rozaman Ismail UTUSAN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130912/dn_01/Pendidikan-Islam-kunci-keamanan#ixzz2eeELce9C
© Utusan Melayu (M) Bhd