Pages

Friday 4 October 2013

'9 Keajaiban' pendekatan terbaharu pelancongan NS

 

SEREMBAN 2 Okt. - Negeri Sembilan akan menggunakan pendekatan '9 Keajaiban' dalam memastikan industri pelancongan negeri ini diperhebat lebih-lebih lagi menjelang Tahun Melawat Malaysia 2014.
 
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pendekatan terbaharu itu akan merujuk kepada sembilan tempat yang wajib dilawati pelancong sekiranya mereka melawat negeri ini kelak.
 
"Umpamanya jika kawasan Rekreasi Ulu Bendul di Kuala Pilah dimasukkan kelak, pelancong akan wajib berkunjung ke situ, selain lapan lagi tempat yang akan kita letakkan dalam '9 Keajaiban ini," katanya ketika menggulung perbahasan pada hari terakhir Persidangan Kedua Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan yang ke-13 di sini hari ini.
Kata Mohamad (BN-Rantau), dengan pendekatan terbaharu itu sasaran kerajaan untuk melihat pelancongan menjadi sebahagian dalam penyumbang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri akan tercapai melalui kehadiran yang dijangka mencecah lima juta orang itu.
 
"Ini akan kita kaji dan perhalusi sebagai sebahagian strategi bagi mengembangkan lagi minat pelancong datang ke negeri ini," ujarnya.
 
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan negeri, Tun Hairudin Abu Bakar memberitahu, antara usaha yang dilakukan kerajaan ialah memastikan pelancong akan menginap lama di hotel mahupun resort daripada satu setengah hari kepada sekurang-kurangnya dua setengah hari.
 
Untuk itu, katanya, tiga aspek utama untuk memastikan kehadiran pelancong tempatan dan luar negara ialah memperkasakan produk pelancongan sedia ada, memantapkan penganjuran acara pelancongan yang berimpak tinggi serta memperkenalkan pelancongan baharu bertaraf antarabangsa.
 
Tun Hairudin (BN-Bagan Pinang) yang menjawab soalan Abdul Rahman Mohd. Redza (BN-Linggi) berkata, ketiga-tiga aspek itu akan disokong dengan aktiviti promosi dan publisiti seperti misi jualan dalam dan luar negara, pengiklanan produk di papan iklan gergasi sepanjang lebuh raya, selain iklan dalam laman web.


Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Selatan/20131003/ws_02/9-Keajaiban-pendekatan-terbaharu-pelancongan-NS#ixzz2gp5OHkKh
© Utusan Melayu (M) Bhd