Pages

Monday 18 February 2013

Tingkat kemudahan di pantai Port Dickson



Kesesakan jalan raya mula berlaku dari Jalan Sunggala Gateway menuju ke Telok Kemang semasa cuti Tahun Baharu Cina baru-baru ini membosankan pengunjung pantai Port Dickson.
TELOK KEMANG 12 Feb. - Kesesakan lalu lintas di sepanjang jalan tepi pantai di sini setiap kali cuti umum, membuktikan Port Dickson masih menjadi pilihan pelancong sebagai destinasi percutian bersama keluarga dan kenalan.
Bandar yang dibanjiri pelancong dari dalam dan luar negara itu seharusnya mempunyai pelbagai kemudahan yang disediakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi menjamin keselesaan ketika berkunjung ke situ.
Namun masih ada beberapa masalah yang disuarakan pengunjung terutamanya dalam meningkatkan kualiti kemudahan awam di pusat peranginan tersebut.
Seorang pengunjung, V. Murali, 42, berkata, setiap tahun jumlah pengunjung ke pantai peranginan itu semakin bertambah.
"Pelbagai kemudahan harus dipertingkatkan bagi menjamin keselesaan pengunjung. Lihatlah kemudahan tandas bukan sahaja sedikit malah saiznya terlalu kecil menyebabkan pengunjung terpaksa beratur panjang," ujarnya.
Seorang lagi pengunjung, Azmi Fabil, 32, berkata, amat mengecewakan apabila surau yang disediakan tiada kemudahan air bagi tujuan mengambil wuduk.
"Kami bukan sahaja terpaksa beratur panjang bersama pengunjung lain di tandas bagi mengambil wuduk malah dikenakan bayaran," katanya.
Ain Ramli, 35, pula berkata, PBT perlu mencari kawasan yang sesuai bagi pelancong meletakkan kenderaan mereka.
''Ini kerana kawasan yang disediakan begitu terhad dan tidak boleh menampung jumlah kenderaan yang menuju ke sini," katanya

Utusan Malaysia 13 Februari 2013