Pages

Tuesday 8 October 2013

Koperasi tunjang perkasa bumiputera

 

Mungkin ada yang kata negara ini telah langkaui angka tersebut tetapi ramai yang tidak sedar pendapatan per kapita 'rakyat Malaysia' masih mempunyai jurang besar dengan pendapatan per kapita 'kaum bumiputera'.
 
Kerana itu juga dasar atau Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera amat penting bagi menjamin status negara maju dalam tempoh tujuh tahun lagi memberi makna yang sama bagi bumiputera seperti juga kepada bukan bumiputera, khususnya dari sudut perkongsian kekayaan negara.
Memperkasa ekonomi bumiputera bukan hanya bergantung kepada sektor awam dan swasta, malahan mampu didukung sektor koperasi sebagai tunjang ketiga dan instrumen paling tepat memberi kesan langsung kepada warga pribumi.
 
Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah menjelaskan sektor koperasi telah membangun hampir dua kali ganda kini berbanding 2008 dengan pendapatan tahunan melebihi RM31 bilion dan nilai aset semasa RM100 bilion.
 
Menurut beliau, terdapat lebih 8 juta ahli dalam 10,600 koperasi di seluruh negara dengan 90 peratus daripadanya adalah bumiputera yang lebih berminat dengan konsep gotong-royong, berjemaah seperti disarankan dalam Islam serta fokus kepada tolong-menolong.
 
"Kerajaan patut gunakan koperasi sebagai alat pemerkasaan ekonomi bumiputera kerana keberkesanannya telah terbukti, berpotensi besar dan tiada batasan untuk berkembang.
 
"Sektor koperasi kita sebenarnya menawarkan ruang terbaik dan berkesan membantu kerajaan merealisasi hasrat ini dan perlu diberikan ruang serta peluang seperti sektor swasta merebut setiap bidang ekonomi yang ada," katanya.
 
Tambahnya, sektor swasta lebih fokus kepada keuntungan peribadi sementara koperasi pula mampu mencari 'keuntungan bersama' dengan fokus kepada perniagaan serta perkhidmatan yang memberi impak positif terhadap sistem sosial dan komuniti setempat.
 
Beliau memaklumkan sektor koperasi dominan dan menguasai urusan yang memberi impak besar kepada rakyat di negara-negara maju seperti daging di Korea, Susu di New Zealand dan peruncitan di Singapura, sehingga mampu menyumbang sehingga 25 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
 
"Sektor koperasi tidak terhad kepada sektor tertentu sahaja dan lebih penting lagi mempunyai jaringan impak positif kepada sistem sosial dan masyarakat setempat.
 
"Kerajaan boleh gunakan koperasi untuk memperkasa ekonomi bumiputera misalnya dengan memberi lesen import (AP) untuk produk berasaskan makanan dan pada masa sama atasi masalah bekalan dan kenaikan harga, khususnya di musim perayaan," tegasnya.
 
Beliau memberi contoh import kelapa, ayam, daging dan banyak lagi yang boleh diuruskan jaringan lebih 10,000 koperasi seluruh negara bagi menyelesaikan masalah pengguna sukar mendapat bekalan serta manipulasi harga.
 
Pada masa sama jelas Abdul Fattah, untung yang diperolehi tender koperasi diagihkan kembali kepada ahli-ahlinya yang juga pengguna, majoritinya bumiputera, melalui dividen, peluang kerja dan pulangan nilai tambah kepada komuniti setempat.
 
"Lebih penting lagi, sektor koperasi dapat membantu mengatasi masalah orang tengah, spekulator harga dan monopoli oleh individu, kumpulan mahupun kartel tertentu.
 
"Prinsip sosial amat penting dalam koperasi, kita jaga keuntungan tetapi lebih utamakan kebajikan manusia. Lebih 8 juta ahli dan lebih 10,000 koperasi ini dapat atasi masalah orang tengah sektor peruncitan dan pertanian," ujarnya.
 
Abdul Fattah yang merangkap Pengerusi Tetap Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia turut mengambil contoh sistem di Jepun yang tiada orang tengah dengan semua peringkat sektor pertanian menggunakan koperasi yang mempunyai pengkhususan masing-masing.
 
Jelas beliau, benih, penanaman, baja, pengangkutan diuruskan koperasi malahan produk dijual di pasar koperasi sementara makanan ternakan daripada sumber protein ikan diuruskan koperasi nelayan.
 
"Di negara kita, siapa yang tanam sayur, getah, sawit dan banyak lagi? Siapa pula yang kumpul, siapa yang angkut dan ke kedai siapa sebelum diagihkan? Bekalan dimonopoli orang tengah, mereka tetapkan harga, mereka buat banyak 'lapisan' untuk naikkan harga di setiap peringkat.
 
"Orang tengah kerap gunakan pendahuluan dan pinjaman bagi 'mengikat' petani agar menjual kepada mereka sahaja. Koperasi dapat potong lapisan-lapisan ini, memastikan petani mendapat bayaran sewajarnya sementara pengguna membayar harga berpatutan," katanya.
 
Tambahnya, koperasi juga boleh menyediakan pinjaman, pendahuluan, khairat, pendidikan, kebajikan dan banyak lagi perkhidmatan yang memberi impak positif kepada sistem sosial setempat, khususnya untuk warga bumiputera yang miskin dan menghadapi kesusahan.
 
Lebih daripada itu, beliau melihat koperasi juga boleh mengeluarkan produk-produk sendiri yang boleh dijual melalui jaringan koperasi-koperasi lain di seluruh negara dengan potensi jualan minimum kepada lapan juta ahli koperasi, belum mengambil kira ahli keluarga mahupun komuniti setempat.
 
"Koperasi juga ada program wakaf, kita gunakan duit dan aset wakaf sediakan kemudahan seperti premis perniagaan untuk disewa usahawan bumiputera pada harga berpatutan berbanding peniaga bukan bumiputera yang mampu membeli bangunan sendiri.
 
"Wakaf tidak perlu keuntungan, maka kedai boleh disewakan dengan murah malahan percuma seterusnya kurangkan kos dan harga produk jualan. Premis itu juga boleh sertai jaringan menjual produk koperasi lain terutamanya produk keluaran usahawan bumiputera," jelasnya.
 
Beliau turut berkongsi konsep koperasi baharu diperkenalkan iaitu Koperasi Kariah Masjid bagi menggembleng sumber kewangan umat Islam, pada masa sama menyatupadukan ummah.
 
Katanya, umat Islam kini sukar bersatu dalam aspek politik mahupun sosial akibat perbezaan ideologi dan fahaman tetapi mereka masih boleh bersatu di bawah nama kariah masjid.
 
"Kita sudah ada 500 koperasi sebegini dengan potensi ribuan lagi ditubuhkan. Bukannya untuk membina pasar raya di masjid tetapi sebuah pusat gerakan ekonomi umat Islam.
 
"Ahli lembaga terdiri daripada ahli jawatankuasa masjid serta anggota masyarakat setempat seperti golongan profesional, belia dan lain-lain.
 
Jika ada yang mahu seleweng ataupun tidak bayar kembali pinjaman sekalipun, mungkin akan fikir dua kali," ujarnya.
 
Beliau yakin semua contoh itu membuktikan kemampuan sektor koperasi menjadi tunjang Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera tetapi kerajaan diharap melihat kembali beberapa peraturan dan undang-undang tidak mesra koperasi, melayan koperasi umpama komuniti orang kampung sedangkan ahli koperasi adalah kumpulan sasar utama dasar tersebut.
 
"Konsep 'bekerja bersama-sama, demi manfaat bersama' menggambarkan ikatan warga koperasi membantu satu sama lain demi manfaat bersama, bukan keuntungan peribadi. Angkasa yakin koperasi adalah jentera terbaik ke peringkat akar umbi dan menjayakan Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera," tegas Abdul Fattah

Oleh NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131009/re_03/Koperasi-tunjang--perkasa-bumiputera#ixzz2hBkbMazv
© Utusan Melayu (M) Bhd