Pages

Tuesday 8 October 2013

Orang ramai disaran tubuh koperasi keluarga

 

TANJONG KARANG - Orang ramai disaran supaya menubuhkan koperasi keluarga yang menyatukan harta anggota sesebuah keluarga untuk menjamin masa depan lebih cemerlang dalam bidang sosioekonomi.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata ini kerana penubuhan koperasi keluarga kaum India di Parlimen Tanjong Karang yang diwakilinya telah memberi sumber pendapatan baharu kepada anggota koperasi berkenaan.
"Konsep koperasi ini baik kerana menerusi koperasi ini, kita boleh kongsi untung yang dijana, iaitu siapa beli saham lebih mereka dapat untung lebih,” katanya ketika berucap pada majlis ramah mesra Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) bersama komuniti India di Parlimen Tanjong Karang di sini, malam tadi.
Turut hadir Pengerusi Eksekutif SKM, Datuk Nik Ali Mat Yunus.
Noh yang juga Pengerusi Pembangunan Koperasi Tanjong Karang berkata terdapat 52 koperasi di Tanjong Karang dengan enam daripadanya merupakan koperasi keluarga kaum India.
Sementara itu, Ketua MIC Bahagian Tanjong Karang Datuk N.S. Krishnan dalam ucapannya berkata, anggota koperasi yang terdiri daripada kalangan ahli keluarga sendiri lebih mudah ditubuhkan dengan adanya hubungan kekeluargaan antara mereka.
"Kalau hendak memulakan koperasi, mulakan dengan anggota keluarga sendiri dahulu,” katanya.
Beliau menambah, terdapat banyak peluang perniagaan yang boleh diusahakan dengan penubuhan koperasi keluarga sekali gus menjana pendapatan anggota koperasi terbabit.
Pada majlis itu, Noh mengumumkan sumbangan RM10,000 kepada setiap enam koperasi keluarga kaum India di Tanjong Karang untuk digunakan sebagai modal bagi mengembangkan perniagaan koperasi. - Bernama

31/03/2013 12:37pm


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0331&pub=kosmo&sec=Terkini&pg=bt_17.htm#ixzz2hBmd2imq
Hakcipta terpelihara