Pages

Monday 18 February 2013

Medan Ikan Bakar di Port Dickson


MEDAN Ikan Bakar MPPD bakal memberikan pelbagai pilihan ikan bakar kepada orang ramai terutamanya pelancong yang berkunjung ke Port Dickson. - utusan/Abd Razak Aid

TELUK KEMANG 9 Feb. - Keluhan orang ramai termasuk pelancong tempatan dan luar negara mengenai ketiadaan medan ikan bakar di kawasan pantai peranginan di negeri ini kerap kedengaran sebelum ini.
Namun, masalah itu kini berakhir apabila Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) mendirikan Medan Ikan Bakar MPPD di Batu 1 1/4 Jalan Seremban-Port Dickson bagi memberi pilihan kepada orang ramai menikmati makanan di kawasan itu.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Adat Istiadat Melayu negeri, Datuk Mohammad Razi Kail berkata, projek berkenaan merupakan antara usaha pihak berkuasa tempatan untuk merancakkan lagi sektor pelancongan di negeri ini.
"Sebelum ini kerajaan negeri dan MPPD mendengar banyak pandangan daripada orang ramai mengenai ketiadaan medan ikan bakar di kawasan pusat bandar, jadi kita melihat ada keperluan untuk mendirikannya.
"Pada masa sama, ini juga merupakan salah satu usaha MPPD dalam mempelbagaikan produk pelancongan di negeri ini di samping merancakkan lagi industri pelancongan," katanya di sini baru-baru ini.
Mohammad Razi memberitahu, projek pembinaan medan ikan bakar itu merupakan salah satu projek di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan ia mempunyai dua fasa.
Jelas beliau, fasa pertama yang siap dibina menelan kos sebanyak RM5 juta hasil daripada peruntukan Kementerian Pelancongan serta MPPD.
"Fasa kedua akan mula dilakukan apabila peruntukan daripada Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) diperoleh. Setakat ini beberapa kedai makanan telah beroperasi pada Disember lalu.
"Salah satu tarikan medan ikan bakar di sini ialah ia terapung dan salah satu kedai ini didirikan setinggi dua tingkat yang membolehkan orang ramai menikmati keindahan panorama bandar pada waktu malam," kata Mohammad Razi.
Sementara itu, Yang Dipertua MPPD, Abd. Wahab Shamsudin berkata, setakat ini terdapat tiga medan ikan bakar yang didirikan oleh pihaknya termasuk di Pasir Panjang serta di Tanjung Agas.
"Kita berharap dengan adanya medan ikan bakar ia akan memberi pilihan kepada orang ramai untuk menikmati hidangan makanan laut di kawasan ini," kata beliau.

Utusan Malaysia 10/2/2012