Pages

Sunday 17 February 2013

Karnival WOW 2013 ! bakal gegar Putrajaya


JANGAN lepaskan peluang bertemu Upin Ipin yang didatangkan khas untuk memeriahkan Karnival WOW! 2013 yang akan berlangsung di Putrajaya dari 28 Februari hingga 3 Mac 2013.
 
KARNIVAL WOW! Putrajaya 2013 sekali lagi bakal menggamit kehadiran ratusan ribu pengunjung ke Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan untuk menyaksikan pelbagai keunikan dan keistimewaan yang terdapat di sana.
Berpotensi sebagai salah sebuah destinasi pelancongan menarik di dunia, acara tahunan yang diadakan sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan itu, antara lain bertujuan mempromosikan Putrajaya yang terkenal dengan keindahan bangunan dan pemandangan neon pada waktu malam.
Sebagai penganjur, Perbadanan Putrajaya (PPj) mengambil inisiatif menjadikan Putrajaya sebagai destinasi pelancongan terunggul dan sebuah bandar raya yang memiliki kuasa tarikan tersendiri yang unik di mata dunia.
Karnival Wow! yang bakal berlangsung pada 28 Februari hingga 3 Mac ini akan dirasmikan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin di Pentas 2, Tapak A2, Putrajaya pada pukul 5 petang, 28 Februari ini.
Beliau akan diiringi 'orang kuat' PPj, Tan Sri Aseh Che Mat serta para pegawainya yang sentiasa kreatif mencari idea untuk terus menghidupkan Putrajaya dan menggamit kedatangan pelancong.
Bertemakan Undiscovered Jewel pelbagai acara menarik bakal disajikan kepada para pengunjung seperti pertunjukan bunga api, konsert Wow! Putrajaya, peluang menaiki helikopter, sukan lasak 4 x 4 dan belon panas.
Pengunjung cilik juga berpeluang menyertai sukaneka kanak-kanak, menemui karakter kartun yang mencetuskan fenomena, Upin & Ipin serta menyaksikan lawak jenaka daripada pelawak terkenal tanah air iaitu Shuib Sepahtu, Abon dan Jambu.
Bagi yang berhasrat menyerlahkan bakat nyanyian yang dimiliki bolehlah menyertai pertandingan karaoke pencarian bakat Bintang Wow! selain menyaksikan pameran pelancongan.
Pelbagai pertandingan turut diadakan bersesuaian dengan pengunjung pelbagai peringkat umur serta penyertaan pasukan keselamatan negara seperti Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Bukan sekadar menyaksikan pelbagai pameran yang disertai agensi-agensi kerajaan dan swasta, pengunjung juga boleh mendapatkan maklumat tentang pembangunan dan pencapaian terkini mengenai Putrajaya khususnya peranan PPj dalam membangunkan Putrajaya.
Pengisian Karnival Wow! Putrajaya 2013 ini mengandungi enam komponen utama iaitu pameran utama di Pavilion PPj, gerai pameran aktiviti agensi kerajaan serta gerai jualan dan aktiviti syarikat korporat.
Konsert berkonsepkan pop komersial, gerai jualan barangan, makanan dan minuman serta rekreasi, sukan, kekeluargaan, landskap, hiburan dan pelbagai lagi acara menarik.
Aktiviti pentas yang mampu mencuri perhatian remaja ialah klinik gitar Man Kidal dan rakan-rakan, tarian akrobatik Cina, pertunjukan silap mata, lelaki patung, pemakan api, berjalan menggunakan jangkungan, busker dan mini konsert untuk Gaza.
Selain berpeluang memenangi cabutan bertuah, mereka yang meminati aktiviti lasak bolehlah menyaksikan pertunjukan ekstrem 4 x 4, poket bike, pameran kereta super dan pemanduan amal, go kart dan menaiki helikopter.
Sembilan pertandingan untuk memeriahkan Karnival Wow! Putrajaya kali ini ialah pencarian bintang WOW! (karaoke), juara sosej WOW!, chef WOW! crazy chef, gusti lengan WOW!, auto salon WOW!, fotografi WOW!, explorace WOW!, sukaneka WOW! kanak-kanak serta paintball.