Pages

Monday 18 February 2013

PD berimej Bandar Tentera Darat

PINTU gerbang ke Bandar Tentera Darat.
 
TELOK KEMANG 26 April - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 29 September 2009 telah mengumumkan Port Dickson di sini sebagai Bandar Tentera Darat.
Pengumuman itu, nyata menggembirakan semua perajurit dan ketumbukan tentera yang berada di seluruh bandar peranginan ini, apatah lagi pengiktirafan itu mengambil kira pengorbanan, persekitaran serta kekuatan pelancongan yang berteraskan ketenteraan ini.
Kunjungan Najib baru-baru ini ke Port Dickson sekali lagi telah memberikan pengiktirafan sama.
Kata Najib, warga tentera wajar berbangga dengan pengiktirafan itu lebih-lebih lagi ia satu kebanggaan negara apabila begitu ramai wira yang lahir daripada latihan, pembelajaran dan keperkasaan ilmu ketenteraan di sini.
''Sejarah ketenteraan juga banyak bermula di Port Dickson ini dan sebab itulah, kita umumkan ia sebagai Bandar Tentera Darat bagi mengiktiraf pengorbanan para perajurit negara yang sentiasa komited dalam menjalankan tugas pemantauan keselamatan dan merekrut anggota baru," katanya .
Dengan perkembangan ini, esok akan berlangsung satu lagi detik bersejarah apabila Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan merasmikan pembukaan Bandar Tentera Darat di Port Dickson.
Uniknya, bagi menarik kehadiran pelancong, pada Persidangan Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-12 yang berlangsung kelmarin, turut menyatakan bahawa produk pelancongan ketenteraan ini adalah hak eksklusif yang perlu dipromosikan kepada umum.
Contohnya, penginapan dalam berek, Muzium Tentera Darat serta muzium lain berkaitan ketenteraan wajar diberikan 'nafas baru' agar ia menjadi daya tarikan yang tiada di negeri lain.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Adat Istiadat Melayu negeri, Datuk Muhammad Razi Kail berkata, sasaran kerajaan negeri ialah untuk mencapai empat juta pelancong sehingga hujung tahun ini.
''Antara yang menjadi perhatian ialah pelancongan ketenteraan sempena pengumuman Bandar Tentera Darat. Kini jika kita lihat terdapat warna berbeza di hadapan padang kawad dengan jalan raya di cat warna merah sebagai tanda kita telah memasuki zon ketenteraan,"' ujarnya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Katanya, antara projek permulaan yang telah dilaksanakan ialah pembinaan Dataran Boulevard dan menaik taraf Jalan Pahlawan dari Simpang Tiga Batu 4 hingga hadapan Muzium Tentera Darat, di Jalan Sua Betong, Port Dickson.
Apa yang menarik, di dataran inilah nanti akan dilangsungkan acara ketenteraan berskala besar seperti perbarisan tamat latihan, persembahan tatto dan perarakan ' change of guard'.
Satu lagi yang menarik sempena pengumuman Bandar Tentera Darat ini ialah Najib telah meluluskan peruntukan untuk membina kolam renang besar bagi kegunaan tentera dan orang awam sebagai tarikan pelancong.
Terdapat juga projek sokongan kepada pembangunan bandar ini seperti Auditorium Muzium Tentera Darat, Kompleks Kolej Tentera Darat dan pembinaan kompleks ketenteraan lain.
Pembinaan kolej ini nanti akan terus menjadikan Port Dickson sebagai destinasi latihan ketenteraan selain pantai peranginan yang cantik, sejajar dengan konsep 'mesra tentera, mesra pelancong dan mesra penduduk'.