Pages

Friday 8 February 2013

Pantai Port Dickson akan berubah wajah


Mohd. Azman Ahmad menunjukkan model pembinaan projek pelancongan bersepadu Port Dickson International Maritime Gateway ketika ditemui pemberita di Teluk Kemang, semalam.
 
TELOK KEMANG 11 Dis. - Industri pelancongan di pantai peranginan negara, Port Dickson, dekat sini akan mengalami lonjakan besar dengan pembinaan projek pelancongan bersepadu bertaraf antarabangsa yang dikenali sebagai Port Dickson International Maritime Gateway atau 'Image Port Dickson.'
Pengarah Urusan Maritime International Gateway Sdn. Bhd., Mohd. Azman Ahmad berkata, projek yang mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) lebih RM2 bilion itu akan dibangunkan di kawasan seluas 5.94 hektar di tepi pantai bandar Port Dickson milik syarikat berkenaan.
Beliau berkata, antara komponen utama projek itu ialah pembinaan hotel 300 bilik, 200 unit resort apartmen, kompleks imigresen, kastam dan kuarantin (CIQ) dan terminal antarabangsa.
Katanya, ia juga akan mempunyai pusat pengembaraan, pelancongan dan mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran (MICE), marina awam dengan rumah kelab serta pusat membeli belah dan gedung bebas cukai.
"Projek ini diyakini bakal membuat lonjakan besar untuk Port Dickson secara keseluruhan kerana apabila siap dan beroperasi kelak, ia menawarkan lebih 3,000 peluang pekerjaan dan 1,800 peluang niaga di semua premis berkenaan," katanya kepada Utusan Malaysia menjelang majlis doa selamat dan pecah tanah projek berkenaan esok.
Majlis pecah tanah itu dijangka dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad.
Mohd. Azman memberitahu, pembinaan projek yang akan mengambil masa selama tiga tahun itu sudah menerima kelulusan daripada semua pihak yang berkenaan seperti Kementerian Pelancongan, Kementerian Dalam Negeri, Unit Perancang Ekonomi Negeri, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Majlis Perbandaran Seremban.
Tambahnya, projek itu memenuhi keperluan untuk memelihara alam sekitar dengan menerima kelulusan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) daripada Jabatan Alam Sekitar.
"Kami juga gembira kerajaan negeri telah meluluskan cadangan supaya projek ini dijadikan Zon Bebas Cukai yang mampu menyemarakkan lagi industri pelancongan untuk negeri ini," ujarnya.
Tambahnya, pembinaan CIQ dan terminal antarabangsa bertujuan membolehkan kapal-kapal persiaran dari seluruh dunia membuat persinggahan yang mana para pelancong berpeluang menginap dan membeli belah di situ.
"Kelebihan kami ialah terminal jeti itu mempunyai laut dengan kedalaman semulajadi 20 meter yang membolehkan kapal persiaran sepanjang 300 meter berlabuh," katanya.
Beliau berkata, komponen lain yang dijangka mendapat perhatian ialah Aquaria Underwater World yang membolehkan pengunjung menikmati keindahan dan fenomena di bawah laut.

Utusan Malaysia 12 Disember 2012.