Pages

Monday 18 February 2013

Nikmati keindahan Putrajaya


MUNGKIN ramai tidak menyedari bahawa Putrajaya merupakan sebuah tempat yang menyeronokkan untuk bercuti, selain destinasi pantai, tanah tinggi mahupun pulau-pulau di sekitar Malaysia.
Baru-baru ini, penulis berpeluang menikmati keindahan Putrajaya dengan melawat beberapa tempat menarik di sekitar pusat pentadbiran negara itu.
Bagi pengunjung dari Kuala Lumpur, kamu boleh memilih sama ada menaiki perkhidmatan tren (ERL), bas, kereta mahupun teksi.
Adakah kamu tahu bahawa Putrajaya juga terkenal sebagai bandar dalam taman? Ini kerana lebih 40 peratus kawasan Putrajaya adalah taman-taman awam yang dibina khas sebagai kawasan rekreasi dan riadah untuk masyarakat.
Bagi mereka yang pertama kali datang ke Putrajaya pasti terpegun melihat kecantikan dan kehebatan bangunan-bangunan kerajaan serta masjid.
Masjid Putra contohnya yang terletak di tepi tasik memiliki reka bentuk Islam dari Timur Tengah dan sistem pengudaraan yang moden.
Bukan itu sahaja, selesai menikmati keindahan bangunan, penulis berpeluang melawat salah sebuah taman daripada 10 buah taman yang terdapat di Putrajaya.
Taman Botani mempunyai keluasan 92 hektar dan lebih 700 spesies flora dari sekitar Asia terdapat di sini yang boleh dinikmati oleh para pengunjung.
Bagi yang mempunyai basikal, mereka boleh mengayuh basikal di dalam taman ini tanpa sebarang bayaran, manakala harga bagi menyewa basikal adalah serendah RM4.
Jika kamu berasa malas untuk mengayuh, Taman Botani juga menyediakan tram untuk pengunjung menikmati keindahan di taman itu.
Di taman ini juga terletak sebuah bangunan yang dinamakan Morocco Pavilion. Bangunan itu mempunyai ciri-ciri seni bina Maghribi yang begitu indah dan unik yang boleh dilawati pengunjung.
Setelah puas menghayati keindahan alam, penulis bergerak ke tempat makan yang terletak berhampiran Cruise Tasik Putrajaya.
Alang-alang sudah berada di sana, penulis tidak melepaskan peluang untuk menaiki cruise bagi menikmati suasana yang mendamaikan di sana.
Mereka yang menaiki cruise pada sebelah petang berpeluang menikmati keindahan senja dari dalam cruise yang sangat memukau.
Keindahan tersebut sememangnya tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Jadi, bagi mereka yang belum pernah ke sini sememangnya Putrajaya menawarkan lebih daripada sekadar tempat berurusan dengan kakitangan kerajaan.
Perjalanan dengan cruise yang memakan masa 45 minit nyata memberi kepuasan kepada penulis sebelum penulis menamatkan lawatan sehari di Putrajaya.
Bagi yang ingin bermalam, banyak pilihan hotel ditawarkan daripada hotel murah sehinggalah hotel bertaraf lima bintang.
Rancang perjalanan kamu dengan baik kerana Putrajaya menawarkan pelbagai keunikan yang tidak ada di tempat lain

Utusan Malaysia 15 Disember 2012