Pages

Sunday 17 February 2013

Festival Belia Putrajaya 2013 bermula 23 hingga 26 Mei

Mod Nadzri Yaacob (empat dari kanan) bersama kakitangan Sektretariat Hari Belia 2013 bergambar bersama iklan bunting Festival Belia Putrajaya 2013 di Putrajaya semalam.
 
PUTRAJAYA 16 Okt. - Festival Belia Putrajaya 2013 yang dijenamakan semula daripada Himpunan Jutaan Belia bakal berlangsung selama empat hari tiga malam bermula dari 23 hingga 26 Mei tahun depan.
Ketua Sekretariat Hari Belia Negara 2012, Mod Nadzri Yaacob berkata, festival yang menjadi kemuncak sambutan Hari Belia Negara 2013 itu berkonsepkan pembangunan potensi diri, melestari kreativiti dan inovatif, memartabat perpaduan serta jati diri.
Beliau berkata, festival yang akan diisi dengan 30 segmen dan 500 acara itu memberi fokus kepada aktiviti pendidikan, kerohanian, kemahiran, kesenian, bakat, interaksi dan sukarelawan.
"Lokasi kesemua acara ini akan diadakan di sepanjang lima kilometer di Persiaran Perdana dari Presint 6, 18, dan 20.
"Festival ini bertujuan memberikan peluang dan ruang kepada anak-anak muda untuk berekspresi dan menguji kebolehan diri bersaing di pentas yang terbuka serta mencabar," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Festival Hari Belia Putrajaya 2013 di sini hari ini.
Himpunan di Putrajaya anjuran Kementerian Belia dan Sukan itu telah bermula sejak 2010 dengan mencatat kehadiran lebih 200,000 pengunjung sebelum berjaya menarik kehadiran lebih sejuta belia pada tahun lepas.
Bagaimanapun, penganjuran pada tahun ini telah memecahkan rekod terdahulu apabila seramai 2.4 juta belia menghadiri karnival selama lima hari itu.
Mod Nadzri berkata, festival itu bersandarkan kepada konsep ruang untuk golongan belia menunjukkan bakat, pasaran belia itu sendiri, penampilan sesuatu yang baru dan semangat patriotik kepada negara.
"Festival Belia Putrajaya 2013 menonjolkan sekurang-kurangnya empat acara yang akan mencapai tahap ikonik.
"Antaranya ialah pelancaran festival oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 25 Mei pada pukul 5 petang, Perarakan Mega Belia, acara-acara antarabangsa (melibatkan ASEAN+3), dan Feista Muzik Dunia," katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya turut menubuhkan sebuah jawatankuasa khas untuk memastikan festival tersebut berjalan lancar.
"Ini melibatkan soal penambahbaikan, pendekatan terbaharu dan soal keselamatan selama penganjuran itu berlangsung," katanya.
Beliau menambah, perubahan lokasi untuk beberapa aktiviti juga akan dilakukan pada tahun depan bagi memberi keselesaan kepada pengunjung.
Sementara itu, beliau berkata, pelancaran Hari Belia Negara 2013 yang diadakan pada 15 Mei setiap tahun diadakan secara serentak di peringkat kebangsaan dan negeri di seluruh negara