Pages

Monday 18 February 2013

Selami rahsia hutan simpan dara

Pusat Pendidikan Pelancongan Pengurusan Hutan Tropika di Hutan Simpan Sungai Menyala, Port Dickson.
 
TELOK KEMANG 17 Mei - Jika anda mahu mempelajari kehidupan di hutan simpan dara, datanglah ke Pusat Pendidikan Pelancongan (Eco-Edutourism) Pengurusan Hutan Tropika di Hutan Simpan Sungai Menyala, Port Dickson dekat sini.
Ini kerana, di sinilah pengkaji, pencinta alam sekitar, pelajar mahupun penuntut universiti akan mendapat banyak ilmu berkaitan kehidupan sama ada melibatkan alam flora dan faunanya ataupun haiwan liar.
Hutan Simpan Sungai Menyala mempunyai keluasan 1,305 hektar dan terletak pada ketinggian 20 meter hingga 40 meter dari aras laut.
Struktur geografinya menunjukkan hutan itu merupakan Hutan Dipterokarp Tanah Pamah dan juga merupakan hutan jenis itu yang terluas serta terbesar di rantau Tropika.
Selain itu, hampir 15 peratus daripada keluasan sebenar Hutan Simpan Sungai Menyala merupakan kawasan berpaya dan ia membuktikan bahawa hutan simpan itu kaya dengan kepelbagaian biodiversiti flora dan fauna.
Lebih unik lagi, Hutan Simpan Sungai Menyala juga merupakan salah satu hutan dara yang masih wujud di Semenanjung Malaysia.
Bagi mereka yang mahu mengunjungi hutan simpan itu, ia terletak di lokasi yang agak strategik iaitu 29 kilometer dari pusat bandar Seremban atau empat kilometer dari Sungai Sungkala, Linggi, Port Dickson dan 12 kilometer dari Bandar Port Dickson dan terletak 70 kilometer dari Kuala Lumpur.
Pengarah Perhutanan negeri, Ahmad Fadzil Abdul Majid berkata, konsep pembangunan dan reka bentuk yang dirancang di pusat itu adalah berdasarkan pada gabungan elemen semulajadi, unsur sejarah, nilai pendidikan dan konservasi.
Menurutnya, konsep pembangunan bagi kawasan itu adalah lebih memfokuskan kepada pembelajaran pengurusan hutan tropika.
‘‘Jadi, ia amat bersesuaian untuk menganjurkan aktiviti berkonsepkan hutan untuk pendidikan dan pemuliharaan.
‘‘Bagi mengaplikasikan konsep ini, kawasan Hutan Simpan Sungai Menyala dibahagikan kepada tiga zon iaitu pentadbiran, pembelajaran dan penyelidikan.
“Setiap zon mempunyai rancangan aktiviti dan tahap pembangunan yang berbeza tetapi mempunyai perkaitan antara satu sama lain," ujarnya di Port Dickson, dekat sini baru-baru ini.
Antara aktiviti dan kemudahan yang boleh diperolehi di hutan simpan itu ialah penginapan, kantin, dewan, bilik pameran, perpustakaan, ruang pejabat, denai interpretasi, surau, gerai, pokok jelutong terbesar, pokok tualang, kolam semulajadi dan habitat burung helang.
‘‘Pokok jelutong setinggi 50 meter, pokok tertua berusia lebih 100 tahun di hutan ini turut menjadi tarikan pelancong.
‘‘Garis pusat pokok itu akan membesar setiap tahun iaitu tahun lalu, ia berukuran 188 sentimeter dan bertambah menjadi 190 sentimeter awal tahun ini," katanya.