Pages

Sunday 17 February 2013

Menghidupkan Putrajaya

PERTEMUAN dengan Tan Sri Aseh Che Mat di Seri Empangan berlangsung dalam suasana santai. Mengadap tasik berlatar belakangkan seni binaan indah menambah tarikan intipati ‘sembang-sembang’ dengan Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) itu.
Umpama kehebatan Jambatan Seri Gemilang yang dikatakan ‘kembar’ Pont Alexandre III di Paris, Perancis yang turut melatari landskap tempat pertemuan kami, Aseh mahu kehebatan Putrajaya dikongsi oleh semua rakyat Malaysia. Beliau tidak mahu Putrajaya menjadi bandar raya elit atau hanya dikunjungi untuk urusan rasmi lantaran pelaburan untuk merealisasikan pembukaan Putrajaya bukannya sedikit.
Restoran Ikan Bakar Seri Empangan tempat kami menjamu selera misalnya hasil idea Aseh yang mahu warga Putrajaya serta orang luar menikmati makanan laut ala Umbai, Melaka atau Muara, Klang dengan harga berpatutan. Tidak perlu mengharungi kesesakan lalu lintas atau berebut mencari tempat letak kereta. Di Presint 5, Putrajaya pelbagai kemudahan disediakan malah Seri Empangan menawarkan resipi yang enak serta pemandangan menakjubkan terutama pada waktu malam.
Kemunculan restoran terbaru itu merupakan salah satu contoh usaha menonjolkan Putrajaya sebagai salah satu destinasi wajib dikunjungi baik dalam kalangan pelancong tempatan mahu pun dari luar negara.
Mengakui Putrajaya destinasi popular, Aseh percaya banyak lagi yang perlu dilakukan untuk mempopularkan Putrajaya, paling penting menerapkan rasa sayangkan Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan itu dalam kalangan penghuninya.
Sepanjang lebih enam bulan menerajui PPj, bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu berterus terang betapa sukarnya mendapat kerjasama penduduk di situ untuk menjayakan sesuatu program.
‘‘Mungkin disebabkan kebanyakan penghuni di sini mendiami kuarters sebagai kakitangan kerajaan maka perasaan memiliki dan sayangkan Putrajaya itu belum menebal dalam kalangan mereka.
‘‘Perkara ini yang perlu ditangani segera supaya penduduk Putrajaya dapat menghidupkan bandar ini yang sememangnya agak mati apabila hujung minggu, cuti umum atau pun pada waktu malam,’’ kata Aseh.
Aseh turut mengambil contoh beberapa program yang kurang mendapat kerjasama penduduk. Yang terbaharu program mengibarkan bendera sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan.
Pihaknya menyediakan bendera percuma, namun tidak banyak yang mahu mengibarkan bendera di premis sebagai tanda sayangkan Putrajaya. Begitu juga dengan program lain, PPj menyediakan baju T percuma, ada penduduk yang datang mengambil baju T tetapi tidak menyertai program.
‘‘Sikap seperti ini yang mesti dikikis supaya pelaburan kerajaan membina pusat pentadbiran yang hebat ini tidak menjadi sia-sia,’’ katanya.
Sememangnya sejak dilantik Presiden PPj pada 1 Ogos lalu, ada sahaja program yang dilaksanakan perbadanan terutama pada hujung minggu. Warga PPj bertungkus lumus mahu aset yang amat berharga itu terus bersinar tanpa ada sekatan mahu pun kekangan.
Seawal pagi atau pun lewat malam, setiap program dipastikan berjalan lancar dan mendapat sambutan hangat sama ada daripada penduduk setempat mahu pun orang luar yang sememangnya mengagumi Putrajaya terutama seni bina bangunan yang cantik dan unik. Berjalan kaki menjadi acara utama selain berbasikal. Aseh mahu warga Putrajaya menjalani gaya hidup sihat dan memanfaatkan segala kemudahan riadah yang disediakan di situ.
Mahu Putrajaya menjadi bandar untuk semua golongan, Aseh melontarkan satu lagi idea kepada pemaju perumahan supaya membina rumah mampu milik di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan itu.
Beliau tidak selesa apabila rumah-rumah yang dibina di Putrajaya rata-rata berstatus mewah. Jika ada pun untuk golongan berpendapatan sederhana, rumah yang dibina terletak di pinggir Putrajaya menyebabkan bandar itu menjadi terlalu elit.
‘‘Saya telah melontarkan idea ini kepada Putrajaya Holdings dan juga pemaju-pemaju perumahan supaya dibina rumah kos sederhana yang mampu dimiliki pegawai-pegawai kerajaan,’’ katanya.
Aseh percaya dengan memiliki rumah sendiri, semangat sayangkan Putrajaya dalam kalangan penghuninya dapat ditingkatkan sekali gus membantu merancakkan aktiviti di situ.
Dalam pertemuan hampir dua jam itu, Aseh juga mahu penghuni kuarters kerajaan mempelbagai aktiviti masing-masing. Beliau mahu setiap kelompok dikenali menerusi kreativiti mereka yang dijalankan secara berterusan dan bukannya bermusim.
Beliau mengambil contoh projek kebun komuniti Putrajaya yang tidak dilakukan secara bersungguh-sungguh selain tidak disepakati bagi membolehkan projek tersebut tampil menarik dan mendatangkan hasil yang sepatutnya.
‘‘Sepatutnya komuniti di Putrajaya melaksanakan projek tersebut bersungguh-sungguh dan semua orang mesti mengambil bahagian untuk menonjolkan kejayaan projek mereka,’’ katanya.
Presiden PPj itu turut menyentuh mengenai budaya penyelenggaraan yang belum lagi sebati baik dalam kalangan penduduk mahu pun pekerja-pekerja di situ.
Sebab itu masih banyak yang perlu diperbetulkan, dipertingkatkan dan diperbaiki untuk memastikan Putrajaya terus menjadi destinasi wajib dikunjungi oleh orang luar serta sukar ditinggalkan dalam kalangan penduduk.
Sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan yang diraikan sepanjang Februari ini di Putrajaya, Aseh mahu semangat mencintai Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan dipertingkatkan.
Pelbagai aktiviti sempena sambutan tersebut telah dan bakal dilangsungkan bagi menarik kehadiran orang ramai selain sebagai tanda terima kasih kerana membantu ‘menghidupkan’ Putrajaya.
Kelmarin berlangsung Kenduri Rakyat di Kelab Tasik Putrajaya dengan satu hasrat iaitu mahu merapatkan silaturrahim sesama komuniti Putrajaya. Menyusul seterusnya pelbagai program untuk menghidupkan Putrajaya, kesemuanya bertemakan Undiscovered Jewel lantaran masih banyak yang boleh diteroka di pusat pentadbiran yang menjadi kebanggaan semua.

Utusan Malaysia 18 Februari 2013