Pages

Monday 18 February 2013

Pelancongan diperkasa melalui pakej ketenteraan

 

PENGERUSI Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Adat Istiadat Melayu negeri, Datuk Mohammad Razi Kail (baju merah) bersama pegawai pelancongan menunjukkan isyarat bagus ketika menaiki kenderaan perisai ATM, Condor 4x4 mengelilingi Muzium Tentera Darat di Port Dickson, baru-baru ini.
TELOK KEMANG 26 April - Peningkatan pelancong ke pantai peranginan Port Dickson akan bertambah dengan wujudnya Bandar Tentera Darat yang penuh dengan pakej dan tawaran menarik.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Abdul Wahab Shamsuddin berkata, orang ramai yang datang ke Port Dickson kini tidak perlu menggaru kepala kerana dalam kawasan ketenteraan sahaja, banyak tempat boleh dilawati.
''Banyak muzium selain yang besar iaitu Muzium Tentera Darat boleh dilawati dan merasai suasana ketenteraan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tambahnya, bagi meningkatkan rasa keterujaan dalam kalangan pelancong untuk melawat zon ketenteraan itu, maka diwujudkan kelainan warna di Dataran Pahlawan.
Abdul Wahab berkata, Port Dickson juga menempatkan kem latihan tentera terbesar dan tertua di negara ini.
''Lihatlah reka bentuk berek, kebanyakannya adalah zaman kolonial. Batu binaannya begitu kukuh dan merupakan satu tarikan kepada pelancong apabila diadakan pakej menginap di berek," tegasnya.
Sementara itu Pegawai Daerah Port Dickson, Ab. Khalid Mat berkata, masyarakat begitu gembira apabila bandar tersebut dijadikan Bandar Tentera Darat.
''Keterujaan rakyat begitu ketara. Setiap kali ada program berkaitan ketenteraan pasti ramai yang menunggu dan menyaksikannya. Sebab itulah, kita sentiasa merancang memperkasakan sektor pelancongan melalui kewujudan pasukan Tentera Darat itu.
Bagi rakyat katanya, ia adalah satu kebanggaan berada dalam Bandar Tentera Darat dan hari ini percakapan mengenainya semakin berkembang.
''Bila kita sebut Port Dickson, selain pantai yang cantik, zon kesihatan, maka satu lagi yang sering menjadi sebutan pelancong ialah Bandar Tentera Darat. Mereka berbangga apabila memasuki zon ketenteraan itu," katanya.