Pages

Monday 18 February 2013

Tingkatkan kebersihan, tarik lebih ramai pelancong ke Putrajaya - Aseh

PUTRAJAYA 17 Sept. - Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Tan Sri Aseh Che Mat mahu tahap kebersihan Putrajaya berada di tahap terbaik bagi membolehkan sasaran kedatangan pelancong ke sini dari satu juta kepada lima juta orang setahun dapat dicapai.
Ini kerana, katanya, Putrajaya mempunyai banyak produk pelancongan yang berpotensi untuk menarik lebih ramai kedatangan pelancong asing dan tempatan tanpa sebarang masalah.
"Tetapi buat ketika ini saya masih tidak berpuas hati dengan tahap kebersihan di Putrajaya. Saya perhatikan banyak lagi yang perlu diperbaiki termasuk kebersihan tandas, keindahan taman dan penyenggaraan pokok.
"Kalau nak orang datang ke Putrajaya, kita kena pastikan tandas bersih, lantai berkilat dan wangi. Selain itu di sepanjang laluan tiada lagi sampah sarap atau puntung rokok merata-rata, baru orang ramai lebih seronok datang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Sambutan Aidilfitri dan Sambutan Hari Malaysia Cruise Tasik di sini semalam.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Cruise Tasik, Ahmad Jamil Ghazali.
Pada majlis tersebut, beliau turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada 50 anak yatim.
Sehubungan itu, Aseh berkata, beliau sendiri akan melakukan pemantauan secara berterusan agar aspek kebersihan di sekitar Putrajaya berada di tahap yang disasarkan.
"Saya sudah memaklumkannya kepada kakitangan PPj yang terbabit dan kontraktor mengenai impian saya itu dan berharap mereka mampu mencapainya," katanya.
Pada masa sama, beliau turut mencabar Cruise Tasik supaya meningkatkan hasil kutipan tiket sehingga RM2 juta sebulan berbanding sekitar RM250,000 sebulan ketika ini, dengan menumpukan kepada aktiviti promosi dan mengadakan pelbagai penambahbaikan.
"PPj dengan kerjasama Putrajaya Holdings akan melaksanakan aktiviti mendalamkan Tasik Putrajaya supaya bot Cruise Tasik boleh mengelilingi keseluruhan tasik membabitkan perjalanan 10.4 kilometer (km)," katanya.

Utusan Malaysia 18 September 2012